Tuesday, July 06, 2010

Polemik kafir-mengkafir : Suatu pencerahan



Muslim kini. "Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus."


Senario kafir-mengkafir


Ada seseorang berkata kepada khalayak :


"Si fulan itu jahil aqidah"


"Persatuan itu jahil aqidah dan harus diperbaiki"


Ada juga mutakhir ini mereka yang sibuk membahas sama ada tauhid 3 (yakni uluhiyyah, rububiyyah dan asma' wa sifat) atau sifat-sifat Allah. Dan di antaranya juga ada yang ekstrem sehingga menuduh si fulan itu kafir dan si fulan ini kafir dan juga menuduh si fulan itu tidak ada aqidah.


Saya secara jujurnya sangat tidak selesa dengan senario ini. Senario menuduh dan mengkafirkan orang-orang Muslim sesuka hati yang menurut hemat mereka adalah benar. Allahuakbar, siapa sebenarnya kita sehingga layak mengkafirkan seorang Muslim?




Kekeliruan para pendakwah


Ketika berbincang bersama adik-adik usrah, kami mengesan wujud salah faham mengenai aqidah dalam masyarakat kini. Masalah ini berkisar kepada 3 perkara, iaitu :


1. Aqidah, yakni keyakinan (I'tiqod) bahawa Allah itu wujud, Allah itu Esa dan Allah itu bebas daripada setiap kekurangan. Keyakinan ini wujud dalam diri setiap Muslim.


2. Perbahasan ilmu Aqidah, yakni perbahasan tentang ilmu aqidah dari sudut istilah, perbahasan mengenai ayat mutasyabihat, perbahasan mengenai syirik, khurafat, sunnah dan bid'ah. Perbahasan ini lazimnya melibatkan ulama' yang ahli atau pakar dalam bidang ini.


3. Methodologi penyampaian aqidah(termasuk dalam dakwah), yakni bagaimana aqidah itu disampaikan kepada masyarakat umum sehingga aqidah itu membuahkan amal yang menepati syari'atullah (apa yang disyariatkan oleh Allah). 


Perkara ketiga ini amat penting untuk diteliti dan dicermati. Ramai pendakwah kini keliru mengenai isi dakwah mereka. Mereka menyampaikan apa yang mereka tahu, berbanding dengan apa yang masyarakat umum perlu tahu.




Bagaimana berinteraksi dengan masyarakat umum?


Dalam hal ini, Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya 'Aqidah Salaf dan Khalaf' membangkitkan satu persoalan :


"Bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan permasalahan ilmu yang sulit ini dengan masyarakat yang luas, iaitu golongan yang tidak mampu mengharungi bahtera ilmu dan penelitian serta bersama kita untuk tenggelam dalam lautan takwil? Apakah kita akan memperlakukan mereka ini sama seperti para ulama' dan yang lainnya (mereka yang pakar)?"


Sebenarnya, ada 1 perkara penting yang dilupakan oleh kumpulan-kumpulan yang berbeza pendapat antara satu sama lain ketika mereka membahaskan mengenai ilmu aqidah. Perkara tersebut ialah permasalahan orang awam yakni golongan yang tidak terlibat dengan polemik perselisihan pendapat dalam perkara aqidah.


Bagi mereka yang berselisih pendapat ini, apakah lebih penting apa yang mereka perbahaskan berbanding penjagaan terhadap aqidah masyarakat? Dan ketika perkara yang diperselisihkan itu dibawa kepada masyarakat umum, apakah aqidah mereka makin mantap sehingga membuahkan amal atau mereka semakin keliru?


Seharusnya, seorang pendakwah harus cerdas dan teliti. Pendakwah ketika turun ke lapangan masyarakat harus berbicara sesuai dengan akal mereka. Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya 'Jadilah Hamba Allah Yang Sejati' mengatakan bahawa  seorang pendakwah harus berbicara kepada manusia sesuai dengan kadar akal mereka, kemampuan mereka dan kesediaan mereka.


Beliau juga menggambarkan bagaimana Rasulullah s.a.w berinteraksi dengan manusia.


1. Ketika Rasulullah s.a.w berbicara dengan Muaz b. Jabbal, baginda berbicara mengenai ilmu, kesan ilmu, tentang pemeliharaan Allah, batas-batas Allah dan lain-lain (yakni mengenai perbahasan ilmu)


2. Manakala ketika Rasulullah s.a.w berbicara dengan masyarakat Badwi (orang awam), baginda berbicara tentang tauhid. Iaitu mengenai keyakinan kita kepada adanya Allah, Allah itu Esa dan bebas daripada sifat-sifat kekurangan.




Islam itu mudah, jangan menyusahkan


Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah dan menjamin kemaslahatan manusia. Rasulullah s.a.w sendiri tidak menyampaikan agama selain untuk membahagiakan manusia, dan baginda tidak datang kecuali untuk membawa kemudahan ini.


Firman Allah s.w.t :




Maksudnya : "Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan."(20 : 2)


Allah juga berfirman dengan jelas dalam surah Al-Haj ayat 78 yang bermaksud :


"Dia sesekali tidak menjadikan untuk kamu agama ini suatu kesempitan."


Umar Al-Khattab (seperti yang dijelaskan oleh Bukhari) berkata :


"Bahkan setiap urusan agama ini adalah suatu yang dapat diterima dan kebenaran yang tak lagi terbantah bagi semua kaum muslimin."


Dalam permasalahan yang sukar, Umar Al-Khattab berkata :


"Kita dilarang berlebihan dan menyukarkannya."


Sesungguhnya, setiap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu sesuai dengan seluruh manusia. Firman Allah s.w.t :




Maksudnya : "Tidak Aku jadikan engkau (wahai Muhammad) kecuali rahmat untuk sekalian alam."

Ketika manusia melihat betapa mudahnya apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w maka manusia akan masuk ke dalam agama ini beramai-ramai.


Ketika manusia melihat betapa sosok agung ini datang memimpin manusia; seorang yang mudah berinteraksi dengan manusia dengan jelas, mudah dan tawadhuk, manusia akan menerima agama ini dengan kelapangan dada.


Sesungguhnya Islam itu agama yang mudah, jangan kamu menyusahkan, tetapi jangan pula kamu terlalu memudahkan.




Rujukan




1. Aqidah Salaf dan Khalaf - Yusuf Al-Qardhawi
2. Jadilah Hamba Allah yang Sejati - Dr Aidh Abdullah Al-Qarni


"Allahumma faqihni fiddin wa 'alimni atta'wil"
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

7 comments:

Pawewet said...

Subhanallah artikel yang sangat bagus sekali..

Tks.. sudah sharing tentanghal ini

محمد زهراوي said...

masya Allah..perbahasan yg bagus..
ana setuju dgn perbahasan ini..dulu,mereka menyerang tentang hal ibadah..kini diserang dengan hal aqidah..
soal serang menyerang diserang..
yahudi di sana berpesta..kita masih bertelagah soal asas agama..
masih tega menjadi biri-biri menentang serigala pemangsa..
salaf,khalaf..
khilaf itu rahmat..

kombat said...

pawewen :

insyaAllah, sama2 kita berkongsi.

terima kasih juga sudi melawat blog yang tak seberapa ini.. :)

kombat said...

muhammad zahrawi :

terima kasih saudara.

seharusnya kita maklum adabul ikhtilaf yang digariskan oleh para ulama'. sebenarnya dalam asyik kita berselisih dan bertelagah, masyarakat masih jahil aqidah dan ibadah. lalu, tidak ada apa yang boleh kita banggakan dengan perselisihan.

Benar, khilaf itu rahmat kepada yang memahaminya.

Syukran sudi melawat blog ini :)

Pencinta Islam said...

Salam perkongsian ilmu..

polimek ini perlu diselami dan dikaji secara matang dan masak.. sebenarnya, senario ini bukanlah mengtakfirkan seseorang Muslim. Banyak kaedah2 yang perlu dipelajari melalui pendekatan bertallaqi deangan alim ulama supaya kita lebih memahami senario ini.. bukan hanya kita baca buku, tanye kawan, dgr kuliah2 agama dari media massa mahupun elektronik.

Hal ini kerana ILMU AGAMA tidak sama seperti ilmu dunia. Agama yang menentukan syurga atau neraka di akhirat kelak. Oleh itu kesucian ILMU AGAMA tidak boleh dicabuli dengan tangan2 yang menyamakan ILMU AGAMA ini dengan ilmu dunia.

Aspek AQIDAH merupakan akar umbi dalam ILMU AGAMA. Akar perlu kukuh dan mantap, bagi menghasilkan pohon AGAMA yang indah. Jadi akar ini perlu dijaga dgn rapi, kemas dan istiqamah dengan cara menuntut ilmu secara berguru. Ulama pewaris para nabi. jadi ambillah ilmu ini dengan ulama. Islam disampaikan oleh Nabi SAW, diteruskan oleh para ulama, jadi belajarlah secara berguru dengan ulama.

Telah berkata Imam Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi(ulama besar dan juga seorg muhaddis): "Tidak diambil ilmu agama itu hanya daripada mulut-mulut para ulama."


AMAT RUGI bagi kita yang bergelar PEJUANG ini hanya mempelajari Ilmu Aqidah ini secara semberono atau tangkap muat. Hasilnya, wujudlah kekeliruan yang dibangkitkan sehingga menular. Wujudlah kekeliruan tentang permasalah Akidah kerana sikap ego kita drpd menuntut ilmu akidah..

Islam itu sememangnya mudah.. Namun apakah bagi kita yang bergelar PEJUANG ini juga menganggap ISLAM itu MUDAH??? Kita mengaku bhwa kita ini PEJUANG AGAMA ALLAH. namun kita pula MENGAMBIL MUDAH ttg AGAMA ALLAH... ISLAM ITU MUDAH, TAPI JANGAN AMBIL MUDAH.. Amat memalukan bagi kita yang bergelar PEJUANG AGAMA ALLAH ini mengambil mudah soal AKIDAH, soal SIFAT2 ALLAH, soal MENGENAL ALLAH, soal tuntutan2 SYAHADAH dan soal2 yang wajib dipelajari oleh setiap umat Islam dewasa ini.

Soal DAKWAH paling utama para pendakwah perlu mantap dari segi aspek disiplin Ilmu ini.. jikalau pendakwah sendiri sudah gagal aspek disiplin dakwah ini, masakan pula untuk berdakwah. Bak kata pepatah, ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus, dia sendiri berjalan senget.

Langkah indahnya jika PEJUANG itu tinggi cinta SYAHIDNYA sama dengan rindu dan cinta kepada Allah SWT..

tak KENAL maka tak CINTA,
tak CINTA maka tak KENAL..

layyinulharir said...

Terima kasih saudara Pencinta Islam.

1. Saya setuju bahawa senario ini mesti dikaji secara ilmiah. Bagi saya, tindakan sesetengah golongan yang mentakfir ini adalah akibat daripada fanatik kepada sesebuah pandangan dan tidak dilandasi dengan adab-adab berikhtilaf yang digariskan ulama. Sehingga masyarakat yang tidak tahu-menahu pula jadi pening dengan tindakan golongan-golongan ini.

2. Islam sememangnya menganjurkan ummatnya menuntut ilmu daripada ulama'. Firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan." (58:11)

Cuma bagi saya, method untuk mendalami ilmu agama adalah fleksibel. Dan apa yang penting adalah kesungguhan dan usaha kita untuk mendapatkan yang terbaik. Cadangan saya, di mana sahaja institusi pengajian kita sama ada di pondok, universiti, talaqqi di masjid atau lain-lain tidak patut menjadi perbahasan, bimbang membawa perselisihan.

3. Islam itu MUDAH dan tidak patut ia dipermudah-mudahkan. Saya amat bersetuju dengan saudara. Benar, pejuang Islam tidak seharusnya mengambil mudah dalam menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi ilmu dasar iaitu akidah. Maka seharusnya pejuang Islam membekalkan dirinya dengan ilmu-ilmu agama sedayanya mengikut kemampuan.


Wallahua'lam.

Pencinta Islam said...

Terima Kasih kepada Saudari kerana menerima pandangan saya. Diharap saudari dapat memahami apa maksud yang ingin disampaikan. Bukan hanya perbualan kosong sahaja. Sama-samalah kita amanah dengan ilmu. Cuba kita jadikan polemik ini sebagai indikator untuk memotivasi dan memuhasabahkan diri kita. rasailah diri kita ini hina dan jahil lantas sentiasa dahagakan ilmu. Bukannya sombong dan ego dalam menuntut ilmu.

Kaji perkara yang dikafirkan itu.. sebab musabab, keadaan, dan hal yang dikafirkan. istilah 'fanatik' tidak sepatutnya digunakan. biasanya fanatik ini ditujukan kpd seseorg yg jahil tentang ilmu. namun bagi org yang berilmu, mereka amanah dengan ilmu yang mereka pelajari. maka, kita jangan cepat melatah. bawa berbincang dan berdiskusi secara baik. jikalau hanya cakap2 belakang, sudah cukup membuktikan kita tidak amanah pada ilmu.

sepanjang masa kita tidak lari dari melakukan kesilapan, maka hendaknya kita bersama2 berusaha untuk menutup kelompongan itu agar diri kita terhindar daripada api neraka yang azab....