Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Monday, December 27, 2010

Masyarakat miskin dan Demokrasi perut




Kajian yang dijalankan oleh Economist Intelligence Unit mendapati bahawa demokrasi di Malaysia jatuh kepada anak tangga ke 71 berbanding tangga ke-68 pada tahun 2008. Penilaian tersebut dibuat melalui lima kriteria iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebasan sivil, meskipun meningkat dalam peratusan fungsi kerajaan. Lihat berita di sini.


Malaysia dan masyarakat miskin


Saya pernah berbual-bual dengan masyarakat kampung berkenaan dengan keluarga, pekerjaan, pendapatan, bantuan kewangan, politik dan kerajaan. Saya mendapati ramai di antara mereka yang berada di bawah paras kemiskinan tegar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rupanya, ada lagi masyarakat sebegitu dalam negara membangun seperti Malaysia pada zaman pasca moden ini.


Mereka yang dikategorikan sebagai miskin ialah yang sukar memenuhi keperluannya yang amat asasi sebagai manusia, yang dinamakan kemiskinan mutlak. Namun pengkategorian kemiskinan adalah relatif, berbeza mengikut kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar dan luar bandar. 


Ada di antara mereka yang mempunyai penghasilan gaji tetap, swasta, usahawan kecil dan bekerja sendiri. Akan tetapi penghasilan yang diperoleh setiap bulan tidak mencukupi untuk hidup secara selesa, apatah lagi untuk mendapatkan tempat tinggal yang layak, pendidikan anak-anak, kemudahan kesihatan yang terbaik dan sebagainya. Ada pula yang tidak mempunyai penghasilan tetap, bahkan ada yang tidak bekerja. Mereka mendapatkan sumber wang melalui cara meminta sedekah dan mencuri.


Masyarakat miskin dan demokrasi perut


Saya boleh membuat rumusan, tekanan hidup yang mereka hadapi memberi kesan kepada sokongan politik. Disebabkan tekanan hidup yang tinggi, mereka cenderung untuk mengharap kepada bantuan. Ada juga yang berpendapat masyarakat miskin adalah masyarakat warung, sesiapa yang membeli dan membayar akan dilayani. Apa maksudnya?


Masyarakat miskin sangat dipengaruhi oleh pemberian yang memberi kesan kepada sokongan. Ini bermakna, sesiapa yang membayar mereka, maka itulah pihak yang akan diundi di dalam pilihanraya. Maka timbul persoalan, dapatkah masyarakat sebegini mengamalkan demokrasi secara baik, penuh kesedaran dan tanggungjawab?


Terdapat sarjana yang berpendapat demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat miskin adalah demokrasi perut (stomach democracy). Ia bermaksud mana-mana pihak yang dapat memenuhi keperluan mereka secara pragmatik seperti memberi wang, bahan makanan dan sebagainya menjelang pengundian, pihak itulah yang akan mereka undi dalam pilihanraya (Musni Omar : 2007)


Apabila ditanya kepada masyarakat kampung, khususnya masyarakat di pedalaman mengenai politik, maka jawapan mereka sangat membimbangkan. Mereka akan memilih pihak yang memberi bantuan wang (yang sebenarnya hanya diberikan apabila menjelang hari pengundian). Apa yang menarik, ada juga di antara mereka yang mempertaruhkan 1 undi hanya untuk mendapatkan wang 50 ringgit yang dijanjikan.


Impak kemiskinan kepada budaya politik


Masyarakat di kawasan pedalaman juga mempunyai kadar akses maklumat yang terhad, yang hanya boleh didapati melalui media dan akhbar perdana. Tanpa akses kepada media dan akhabr alternatif, masyarakat sebenarnya lebih terdedah kepada maklumat sebelah pihak akibat daripada penguasaan media yang hanya terhad kepada pemerintah.


Dalam faham demokrasi, yang berkuasa adalah rakyat. Tetapi secara realiti, rakyat hanya menjadi instrumen untuk keabsahan suatu kekuasaan melalui mekanisme pilihanraya yang pada umumnya dimenangkan oleh pmilik modal dan pemegang kuasa politik. Maka demokrasi dalam kalangan masyarakat miskin hanya nampak di permukaan sebagai berjalan dengan baik.


Dalam masyarakat miskin dan akses kepada pendidikan kualiti yang kurang, demokrasi tidak dapat tumbuh dan berkembang dengan baik. Demokrasi dapat dijual kepada kuasa ekonomi dan politik dengan harga yang murah, kerana tekanan kemiskinan dan ketidaktahuan. Maka, masyarakat sebegini akan menyalurkan aspirasi politik mereka kepada mereka yang mempunyai kuasa wang.


Justeru, mimpi Malaysia untuk melahirkan masyarakat sivil, yang berbudaya politik partisipasi masih jauh. Kesedaran ke atas tanggungjawab masyarakat masih minimum tanpa usaha sosialisasi yang konsisten daripada mana-mana pihak.




Masturah Abu Bakar
Mahasiswa Tahap Pertengahan
Jabatan Sains Politik Islam, APIUM
Universiti Malaya

Wednesday, March 31, 2010

Bolehkah berliberal dalam ekonomi?


Saya dan ekonomi

Saya bukanlah orang yang berminat dengan bidang bisnes dan perniagaan. Tidak seperti majoriti keluarga saya yang sangat berminat dengan bidang ini. Saya juga boleh berbangga dengan kakak dan abang ipar saya yang sekarang sudah mempunyai butik dan syarikat sendiri di Kuantan, Pahang. Kadangkala ada juga mereka tawarkan kepada saya untuk membantu perniagaan mereka. Ketika pulang bercuti hujung minggu lalu, abang ipar saya (yang saya panggil 'Abang Ngah') bertanya kepada saya,

"Kakak, kawan-kawan ko tak ada ke yang nak beli Eumora? Ko jualkan la."

Dengan tanpa berfikir panjang, saya pun menjawab,

"Eh, tak apa. Nanti tak terjual. Kakak pulak yang jadi customer utama."

Namun, saya boleh layan juga teori-teori dalam ekonomi dan membahaskannya secara kritikal.


Liberalisme Ekonomi

Secara ringkas, ideologi ini menekankan kebebasan dan hak asasi manusia termasuk juga hak kebebasan mengumpulkan harta dan mencari keuntungan. Idea mengenai kebebasan ekonomi ini dihuraikan oleh Adam Smith di dalam bukunya Wealth of Nations. Dengan tidak hanya menekankan aspek keuntungan, Smith juga menggariskan konsep moral dalam teori ekonominya. Bermaksud, etika moral juga perlu dicermati di samping kebebasan bermatlamat keuntungan.

Pada abad ke 20, muncul idea Neo-Liberalisme yang menolak idea liberalisme klasik daripada Smith yang mengatakan tiada campur tangan daripada kerajaan dalam bidang ekonomi. Bagi Smith, kerajaan hanya berperanan sebagai menjaga keamanan negara, menjaga pertahanan negara dan hanya bersikap night-watchman.

Berbanding Neo-Liberalisme, idea ini menggariskan bahawa kerajaan harus menentukan polisi-polisi di dalam kebebasan berekonomi. Hal ini kerana, persaingan ekonomi yang kritikal pada abad ini terdedah kepada risiko pencabulan hak dan pemonopolian sesetengah pihak dalam bidang ekonomi. Atas dasar itu, idea baru ini menuntut kerajaan berperanan dalam menentukan dasar ekonomi yang menjadi keperluan.


Islam dan Liberalisme ekonomi.

Islam adalah agama yang mengiktiraf kebebasan dan hak asasi manusia. Malah, Islam juga mengiktiraf kebebasan dalam beragama. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

”Maka siapa yang ingin beriman, hendaklah ia beriman, dan siapa yang ingin kafir, biarlah ia kafir” (Qur’an 18:29).

Tetapi, Islam juga menetapkan bahawa kebebasan individu mestilah selari dengan apa yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah, tanpa melampaui batas.

”Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampaui batas”(Qur'an 2:190)

Oleh itu, saya mendapati beberapa perkara yang perlu dicermati dalam prinsip liberalisme ekonomi :

  1. Kebebasan ekonomi mestilah berasaskan nilai-nilai agama atau nilai-nilai moral dan spiritual. Cuba anda bayangkan jika berlaku liberalisme ekonomi yang tidak terbatas. Kekayaan akan dimonopoli oleh sesetengah pihak, berlaku penindasan hanya untuk mencapai matlamat keuntungan, berlaku jurang ekonomi dalam masyarakat dan pelbagai masalah lain. Contoh nilai yang dapat saya sertakan ialah tolong-menolong dan konsep berkat.

  2. Kebebasan individu mencari harta untuk keperluannya terbatas dengan pembatasan pemilikan peribadi dan method pencariannya. Hal ini berlaku dengan cara melunaskan kewajipan zakat dan tuntutan memberi sedekah untuk kebaikan sosial umat Islam. Dari sudut method, individu mestilah menggunakan method yang halal.

  3. Negara mestilah berperanan sebagai pembuat polisi-polisi ekonomi bagi mengelakkan masalah-masalah pencabulan terhadap hak-hak berekonomi yang sepatutnya. Menurut Islam, negara dan rakyat sama-sama berperanan dalam menjayakan sistem ekonomi.  

Akhirnya, mari kita renungkan ayat ini :

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Ar-Rum : 30)


Wallahua'lam.


Masturah Abu Bakar
Islamic Political Science
University of Malaya