Wednesday, March 31, 2010

Bolehkah berliberal dalam ekonomi?


Saya dan ekonomi

Saya bukanlah orang yang berminat dengan bidang bisnes dan perniagaan. Tidak seperti majoriti keluarga saya yang sangat berminat dengan bidang ini. Saya juga boleh berbangga dengan kakak dan abang ipar saya yang sekarang sudah mempunyai butik dan syarikat sendiri di Kuantan, Pahang. Kadangkala ada juga mereka tawarkan kepada saya untuk membantu perniagaan mereka. Ketika pulang bercuti hujung minggu lalu, abang ipar saya (yang saya panggil 'Abang Ngah') bertanya kepada saya,

"Kakak, kawan-kawan ko tak ada ke yang nak beli Eumora? Ko jualkan la."

Dengan tanpa berfikir panjang, saya pun menjawab,

"Eh, tak apa. Nanti tak terjual. Kakak pulak yang jadi customer utama."

Namun, saya boleh layan juga teori-teori dalam ekonomi dan membahaskannya secara kritikal.


Liberalisme Ekonomi

Secara ringkas, ideologi ini menekankan kebebasan dan hak asasi manusia termasuk juga hak kebebasan mengumpulkan harta dan mencari keuntungan. Idea mengenai kebebasan ekonomi ini dihuraikan oleh Adam Smith di dalam bukunya Wealth of Nations. Dengan tidak hanya menekankan aspek keuntungan, Smith juga menggariskan konsep moral dalam teori ekonominya. Bermaksud, etika moral juga perlu dicermati di samping kebebasan bermatlamat keuntungan.

Pada abad ke 20, muncul idea Neo-Liberalisme yang menolak idea liberalisme klasik daripada Smith yang mengatakan tiada campur tangan daripada kerajaan dalam bidang ekonomi. Bagi Smith, kerajaan hanya berperanan sebagai menjaga keamanan negara, menjaga pertahanan negara dan hanya bersikap night-watchman.

Berbanding Neo-Liberalisme, idea ini menggariskan bahawa kerajaan harus menentukan polisi-polisi di dalam kebebasan berekonomi. Hal ini kerana, persaingan ekonomi yang kritikal pada abad ini terdedah kepada risiko pencabulan hak dan pemonopolian sesetengah pihak dalam bidang ekonomi. Atas dasar itu, idea baru ini menuntut kerajaan berperanan dalam menentukan dasar ekonomi yang menjadi keperluan.


Islam dan Liberalisme ekonomi.

Islam adalah agama yang mengiktiraf kebebasan dan hak asasi manusia. Malah, Islam juga mengiktiraf kebebasan dalam beragama. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

”Maka siapa yang ingin beriman, hendaklah ia beriman, dan siapa yang ingin kafir, biarlah ia kafir” (Qur’an 18:29).

Tetapi, Islam juga menetapkan bahawa kebebasan individu mestilah selari dengan apa yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah, tanpa melampaui batas.

”Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampaui batas”(Qur'an 2:190)

Oleh itu, saya mendapati beberapa perkara yang perlu dicermati dalam prinsip liberalisme ekonomi :

  1. Kebebasan ekonomi mestilah berasaskan nilai-nilai agama atau nilai-nilai moral dan spiritual. Cuba anda bayangkan jika berlaku liberalisme ekonomi yang tidak terbatas. Kekayaan akan dimonopoli oleh sesetengah pihak, berlaku penindasan hanya untuk mencapai matlamat keuntungan, berlaku jurang ekonomi dalam masyarakat dan pelbagai masalah lain. Contoh nilai yang dapat saya sertakan ialah tolong-menolong dan konsep berkat.

  2. Kebebasan individu mencari harta untuk keperluannya terbatas dengan pembatasan pemilikan peribadi dan method pencariannya. Hal ini berlaku dengan cara melunaskan kewajipan zakat dan tuntutan memberi sedekah untuk kebaikan sosial umat Islam. Dari sudut method, individu mestilah menggunakan method yang halal.

  3. Negara mestilah berperanan sebagai pembuat polisi-polisi ekonomi bagi mengelakkan masalah-masalah pencabulan terhadap hak-hak berekonomi yang sepatutnya. Menurut Islam, negara dan rakyat sama-sama berperanan dalam menjayakan sistem ekonomi.  

Akhirnya, mari kita renungkan ayat ini :

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Ar-Rum : 30)


Wallahua'lam.


Masturah Abu Bakar
Islamic Political Science
University of Malaya
  

No comments: