Saturday, March 27, 2010

Siapa tidak suka?


Tinggal anda untuk menilai dan memilih!

"Berita terbaru yang saya dengar daripada sana ialah Menteri Luar Turki mencetuskan idea United of Islam. Iaitu seluruh negara-negara Islam bersatu di bawah satu pemerintahan Islam." - Sdr. Faiz, Panel Diskusi 'Kebangkitan masyarakat Turki : Peranan Erdogan, Erbakan dan Said Nursi'.

Apa perasaan anda bila terdengar kenyataan ini?

Terdetik dalam hati saya, alangkah indahnya berada di bawah pemerintahan Islam. Tiada jenayah, rasuah, korupsi dan kezaliman. Tiada rogol, judi, liwat dan lompat.

Selama ini saya dan rakan-rakan Jabatan Siyasah Syariyyah mendalami ilmu Siyasah Syariyyah dalam bentuk teoritikal. Susah untuk membayangkannya secara praktikal. Secara hakikinya memang tidak ada pemerintahan yang benar-benar seperti di dalam buku dan kitab-kitab.

Bagi saya, dan kepada anda yang pesimis kepada politik, hakikat politik sebenar bukanlah seperti yang anda lihat hari ini. Walau bagaimanapun, saya kasihan kepada mereka yang tidak mendapat pendidikan politik yang sebenar. Kasihan kerana mereka hanya memahami politik sebagai politik kepartian, bukan politik nilai.

Saya melihat di kampus perdana saya, ramai dalam kalangan rakan-rakan yang punya pengetahuan minimum tentang politik nilai. Yang mereka gambarkan tentang politik ialah pergaduhan antara dua parti gergasi dalam merebut kerusi pilihanraya(Sekadar pemerhatian saya).

Politik nilai atau  politik yang berasaskan sistem nilai seperti Nilai Sejagat atau Nilai Wahyu-Islam atau Nilai Agama-Transcendental yang lain. Nilai Amanah atau Integriti, Keadilan, Ketelusan, Pertanggungjawaban, Hak Asasi Manusia (Huquq Insaniyah) adalah contoh tunggak-tunggak politik nilai.

Tanggungjawab memberikan pendidikan politik yang sebetulnya adalah tanggungjawab kerajaan dan parti yang memerintah. Ini bermaksud, terpulang kepada si pemerintah atas kuasanya untuk memberi pendidikan politik nilai. Ayah saya pernah bercerita tentang seorang pemerintah kejam di Kemboja bernama Pol Pot bertindak memperbodohkan rakyatnya. Ini antara cerita yang saya petik daripada Wikipedia,

"Semasa beliau memegang kuasa, Pol Pot memulakan dasar yang agresif untuk menempatkan semula penduduk-penduduk Kemboja ke kawasan luar bandar dalam sebuah percubaan untuk menuju ke arah komunisme. Cara untuk mencapai matlamat ini termasuk penghapusan para cendekiawan dan musuh-musuh borjuis."


Pun begitu, perubahan Tsunami politik yang berlaku pada Mac 2008 membuktikan bahawa rakyat boleh mendapatkan pendidikan secara tidak langsung mengenai politik nilai melalui pemerhatian mereka. Ya, jika sesebuah parti politik gagal menunjukkan kebolehan mereka dalam memimpin kepada rakyat maka tunggulah, rakyat akan mengadili mereka.


Cuba saya tanya, siapa tidak suka kepada keadilan? Siapa tidak suka kepada integriti? Siapa tidak suka kepada Ketelusan?

Jawapannya sama, saya suka, anda suka dan semua suka.

Bila semua suka, maka semua tahu yang Haq dan semua tahu yang Batil. Anda punya peluang untuk menilai dan memilih.

Ya.

Terpulang kepada anda untuk memilihnya!


Masturah Abu Bakar
06 : 01 am
Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

No comments: