Sunday, July 04, 2010

Mari mencintai sunnah



1. Alhamdulillah, setiap hari ada nikmat Allah buat kita semua. Hari ini Allah beri kepada saya nikmat sahabat-sahabat yang sudah seperti keluarga. Solat maghrib berjemaah, makan malam dan kemudiannya solat isya bersama mereka seketika tadi membuatkan saya terfikir firman Allah seketika.


Maksudnya : Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Arrahman : 5)



2. Sekali-sekala menyelak semula helaian kitab terjemaham Bulughul Maram yang ditulis oleh Alhafiz Ibnu Hajr Al-'Asqalani[1] membuatkan saya rindu. Setiap bait hadith yang dimuatkan dalam kitab tersebut melahirkan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Ah, betapa rindunya saya. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad.


Hari ini saya sempat membuka kembali bab wudhu dan bab solat. Alhamdulillah, kitab yang berada pada tangan saya ini merupakan kitab terjemahan lengkap merangkumi penjelasan hadith dari sudut perawi, darjat hadith, maksud hadith dan hukum.


Drs Muhammad Talib[2] yang menyusun kitab ini menjelaskan bahawa masyarakat hari ini sangat memerlukan adanya huraian yang jelas mengenai ketentuan atau ketetapan hukum daripada tiap hadith yang dimuatkan dalam kitab asal. Maka, syarah kitab ini diketengahkan agar perkembangan masyarakat yang memberi akibat kepada perkembangan hukum ini diraikan.




3. Dalam kitab ini, dalam bab solat, Ibn Hajr Al-'Asqalani ada menulis tentang hadith Rasulullah s.a.w yang menggalakkan kita membaca doa ini :




اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada azab kubur, aku berlindung kepadaMu daripada fitnah Dajjal dan aku berlindung kepada daripada fitnah manusia."[3]


Dalam hadith yang lain juga Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan kepada Abu Bakar r.a ketika beliau meminta Rasulullah s.a.w mengajarkannya suatu doa yang boleh dibacakannya selepas solat. Iaitu :


  ، اللهم إني ظلمت نفسي ظلماً كثيراً ولا يغفر الذنوب إلا أنت فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني  إنك أنت الغفور الرحيم

Maksudnya :"Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan sangat banyak, dan tiadalah yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunanMu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [4]



4. Sebenarnya kehidupan ini bagi ummat manusia sudah lengkap dengan panduan. Analoginya mudah, seperti kita membeli telefon bimbit baru dan di dalam kotak tersebut dibekalkan buku panduan lengkap. Begitu mudah, tinggal kita mahu menggunakannya berdasarkan kepada panduan yang diberi(Al-Quran dan Assunnah). Moga kita termasuk daripada golongan yang mecintai sunnah baginda Nabi s.a.w. Selamat beramal!


Nota kaki


[1] Ibn Hajar Al-'Asqalani adalah seorang ahli hadith, mufti dan hakim agung di Mesir. Kitab syarah (penjelasan) Shahih Al-Bukhari hasil tulisannya merupakan kitab syarah Shahih Al-Bukhari terbaik daripada kitab syarah yang lainnya dan dianggap karya agung. Karya-karya Ibnu Hajar Al-Asqalani yang mencapai 150 buku baik yang besar maupun yang kecil.

[2] Penulisan sistematik yang diketengahkan oleh beliau dalam kitab ini jarang sekali dipakai oleh ulama' sebelumnya. Beliau merupakan tenaga pengajar di Pesantren Persatuan Bangil, Indonesia.

[3] Bab solat : hadith 337. Lafaz di atas adalah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah, manakala dalam kitab asal adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. (Maaf, disebabkan laptop saya tidak ada perisian jawi.)

[4] Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim


"Allahumma faqihni fiddin, wa 'alimni atta'wil.."
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

No comments: