Monday, June 28, 2010

Saya seorang ibu?

"Seorang ibu adalah madrasah. Jika engkau mempersiapkannya dengan baik, maka engkau telah membangun bangsa dengan baik." - Pepatah Arab



Saya terfikir suatu soalan. "Bagaimana dalam satu-satu masa, kita mesti menjadi anak, isteri, ibu, daie dan juga bekerja?"



Ibu : Apa yang ditanam, itulah juga yang akan dituai.


Saya pun tak pasti harus bagaimana. Tapi dalam banyak-banyak 'kerjaya' di atas, saya selalu perhatikan 'kerjaya' ibu dahulu.

Ketika saya menaiki tren lrt atau komuter (pergi-balik sungai buloh-pj), ketika berjalan-jalan di pasar bersama sahabat-sahabat dan ketika hadir bersama dalam majlis reunion Ma'had Al-Ummah, dan ketika saya di mana-mana sahaja saya akan perhatikan sesiapa yang bergelar ibu.

Saya fikir, apalah lagi kerjaya yang lebih mulia berbanding menjadi ibu? Kerjaya yang tidak boleh sama sekali hanya dipandang ringan. Kerjaya ini sangat berat, tidak diberi upah dan ia menuntut kesabaran dan kegigihan yang tinggi. Sebab itu, bukan mudah untuk menjadi ibu.

Saya melihat dua aspek penting yang mesti disempurnakan oleh setiap yang ibu iaitu kasih sayang dan pendidikan.

Seorang ibu adalah pendidik. Seperti yang disebut oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz ketika membahaskan tajuk 'Adab-adab nikah' yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin,

"Pendidik yang pertama adalah ibu bapa."

Dalam banyak hal, seorang ibu tidak akan lupa memberi kasih sayang kepada anak-anak. Tetapi yang amat membimbangkan, seseorang ibu selalu lupa memberi didikan yang sempurna kepada anak-anak.

Pendidikan ini tidak diperoleh daripada tadika, sekolah atau universiti tetapi datang daripada ibu bapa. Syeikh Abu Hamid Al Ghazali ketika membahas tentang peranan ibu bapa dalam pendidikan mengatakan : 

"Ketahuilah, bahawa anak-anak merupakan amanah bagi setiap ibu bapa. Hatinya yang masih suci merupakan permata yang bersih dari pahatan dan bentukan. Anak-anak siap diberi pahatan apapun dan ia akan condong kepada apa saja yang diberikan kepadanya."

Bahkan, kerapkali ketika membincangkan peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak ini kita dihidangkan dengan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud :

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Sahih Muslim)

Tetapi, lebih membahayakan jika seorang ibu tidak menyempurna kedua-duanya, iaitu kasih sayang dan mendidik. Ah, alangkah gersangnya keluarga.

Saya pernah melihat situasi ini. Ketika saya menghadiri majlis reunion di Kemensah Challet, Ampang.

"Ibu, kat tempat ni mesti ada hantu kan? Ee, takutnya. Ada hantu.." kata si anak.

Kebetulan tempat reunion kami memang agak gelap.

"Bodoh la kau ni. Diam la. Mana ada hantu!" sergah si ibu. Si anak pula terkebil-kebil dan terus terdiam.

Kasihan si anak, sudahlah dimarahi dengan bahasa kasar. Dalam masa yang sama si ibu langsung tidak cuba menyisip isi pendidikan dalam diri anak tersebut.

Kasihna, tandusnya kasih sayang dan pendidikan dalam institusi kekeluargaan. Jika dua aspek ini sudah tiada, jangan menyesal apabila bila anak-anak sudah dewasa, baktinya buat ibu bapa juga tiada.

Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali juga menyebut :

"Jika anak-anak dibiasakan dan diajarkan dengan kebaikan, maka mereka akan tumbuh dalam kebaikan dan ketika itu berbahagialah ibu bapa di dunia dan akhirat. Tetapi jika mereka dibiasakan dengan keburukan dan dibiarkan sebagai mana binatang temak, nescaya mereka akan menjadi jahat dan binasa. Dosanya pun ditanggung oleh pendidik dan walinya."

Kita juga selalu mendengar pepatah Inggeris :

"What you give you get back."

Ya, benar. Apa yang kita beri kita akan dapat semula. Begitu juga dalam hal mendidik, apa yang kita didik, begitu jugalah yang akan kita dapat. Apa yang kita tanam, yang itu jugalah kita akan tuai.

Kelak, bagaimana jika kalau saya seorang ibu? Akan bagaimanakah saya? Akankah memberi kasih sayang dan mendidik dengan sempurna?



"Dan orang-orang yang berkata : "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami kesenangan hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (Al-Furqan : 74)



P/s : Mesti ada rumors nakal di luar sana. "Dah dekat ke?" atau "Dah sampai seru ke?"

P/s : Saya petik kata-kata Faisal Tehrani dalan novelnya Tuhan Manusia,


"Apa yang berlaku hari ini ialah kami remaja dianggap tidak bersedia untuk mengetahui atau mendalami persoalan orang dewasa. Akibatnya, apabila tiba masa yang penting itu, kami tidak bersedia sama sekali. Malah kami terkejut dan kalah."



Masturah Abu Bakar
Ghurfah Layyinulharir, Sungai Buloh, Selangor

No comments: