Tuesday, June 01, 2010

Buku : Beli tapi tak baca?



Saya sedang bercuti kini, berada di rumah bersama keluarga tercinta. Jarang-jarang saya dapat pulang ke rumah begini. Alhamdulillah.


Cuti-cuti begini rasa seperti kosong. Minda terasa kosong. Tiada pembacaan berat, tiada brainstorming. Bahan bacaan pun saya pilih-pilih, yang ringan-ringan saja.


"Kakak ni, selalu sangat beli buku baru. Tapi buku lama banyak lagi yang tak habis baca." rungut adik bongsu saya yang saya gelarnya sekadar 'Amad'.


Bila bercakap tentang bahan bacaan/buku, memang saya akui saya lebih banyak membeli daripada membaca. Bila dikemaskini, sehingga kini koleksi buku dalam 'Maktabah Mini' saya mencecah angka 200. Mungkin tak seberapa banyak seperti sahabat-sahabat tetapi bagi saya agak banyak juga :)


Dahulu saya pernah menulis artikel tentang ini juga, tentang cinta buku. Saya sendiri daripada kecil mencintai buku. Ketika di sekolah rendah, saya selalu mendesak ummi saya untuk membeli buku. Ketika itu, saya menyukai buku-buku non-fiksyen. Buku cerita tentang penyiasat muda, buku hikayat sejarah tanah Melayu, buku cerita sahabat-sahabat Rasulullah dan sebagainya.


Menginjak dewasa di alam sekolah menengah, saya mula sukakan novel-novel cinta. Novel Alaf 21 menjadi pilihan. Novel-novel tersebut saya pinjam daripada teman-teman seasrama yang di 'pas-pas' mengikut turn bacaan. Kini, bahan-bahan bacaan yang lebih berat menjadi pilihan untuk dibeli. Mungkin kerana pengaruh kos yang saya ambil di kampus menyebabkan saya begitu. Dan mungkin juga faktor sahabat-sahabat yang juga menyukainya.





Di Rumah Sumayyah kini, saya punyai mini maktabah sendiri. Cuma ia hanya memuatkan buku-buku pilihan dan yang penting-penting sahaja. Buku-buku yang saya labelkan sebagai buku politik & pemikiran, buku haraki dan bahan bacaan penting sebagai persediaan untuk 'memberi' nanti. Koleksi yang lain saya tinggalkan di rumah. 


Tapi tak semua buku saya habiskan 'dari kulit ke kulit'. Kebanyakan buku yang saya beli yang dimuatkan di Rumah Sumayyah hanya untuk reference course.


Cuma satu perkara yang saya belajar daripada kecil hingga dewasa, dengan membeli buku membuatkan kita minat membaca. Dan, membeli dan membaca membuatkan kita mencintai ilmu. Lalu, segalanya itu akan mengerahkan otak kita untuk berfikir dan membuahkan zikir.


Islam adalah agama cinta. Segalanya dalam Islam adalah cinta. Termasuk cinta ilmu, cinta fikir dan cinta zikir. Juga cinta kepada belajar dan mengajar. Firman Allah s.w.t :


"Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar". Malaikat itu menjawab: "Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka selepas Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan." - Surah Al-baqarah


Dalam Al-Quran juga Allah telah menempelak manusia dengan firmannya yang bermaksud : "Adakah sama mereka yang mengetahui dan tidak mengetahui?"


Lalu bila dikoreksi diri, rasanya ilmu di dada ini tidak sampai setitis pun jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Allahuakbar, naifnya diri.


Tetapi jangan putus asa. Teruskan cinta buku dan cinta ilmu. Pasti Allah suka dan Allah cinta.


Wallahua'lam.


P/s : Sekadar perkongsian santai untuk yang sudi :)




Masturah Abu Bakar
Ghurfah Layyinulharir, Sg Buloh, Selangor

No comments: