Thursday, September 30, 2010

First Lady bukan sekadar nama





Riuh satu Malaysia apabila Datin Seri Rosmah Mansor seolah-olah menganggap dirinya Wanita Pertama di Malaysia. Saya tidak kisah perbahasan mengenai 'Siapa First Lady di Malaysia'. Tetapi fokus saya adalah apa sebenarnya sikap yang harus ada dan peranan yang patut dimainkan oleh Wanita Pertama atau First Lady ini.


Janganlah. Janganlah Wanita Pertama itu hanya pada nama. Wanita Pertama bukan hanya gelaran dan nama. Lalu, bagaimanakah seharusnya seorang Wanita Pertama itu?


Saya fikir, Wanita Pertama bukan perkara yang baru, yang 'riuh' pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Dahulu, ketika zaman Rasulullah, ada juga Wanita Pertama. Tetapi perbezaannya adalah sikap dan peranan.


Ibunda Khadijah Wanita Pertama yang mulia


Ibunda Khadijah, dinobatkan sebagai Wanita Pertama yang memeluk agama Islam, dinobatkan sebagai Wanita Pertama yang menjadi suri kepada Baginda Rasulullah s.a.w. Ibunda Khadijah mendapat anugerah Wanita Bumi yang terbaik oleh baginda s.a.w.


Ali r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : "Sebaik-baik wanita (langit) adalah Maryam binti Imran dan sebaik-baik wanita (bumi) adalah Khadijah binti Khuwailid." (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w juga menobatkan Khadijah r.a sebagai Wanita Pertama yang bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai isteri yang taat, malah bersama baginda saat suka mahupun duka, membenarkan dakwah baginda tatkala insan lain mendusta, menasihati, memberi dorongan, semangat dan galakan kepada pemimpin umat akhir zaman.


"Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untukku orang yang lebih baik daripadanya. Dia beriman tatkala manusia lain ingkar, dia membenarkanku tatkala manusia lain mendustakanku, dia membelaku dengan hartanya tatkala manusia lain menghalangiku, dan aku dikaruniakan Allah anak darinya yang aman aku tidak dikaruniakan anak daripada yang lainnya."

Khadijah sepanjang hidupnya bersama nabi, tidak pernah mencari nama dan gelaran. Ibunda Khadijah tidak pernah mengambil kesempatan menggunakan kedudukan Wanita Pertama ini untuk mendapat banyak kemudahan dan hidup dalam keadaan kesenangan.


Subhanallah. Terlalu besar peranan yang dimainkan oleh ibunda Khadijah ketika saat permulaan turunnya wahyu. Ibunda Khadijah memberi ketenangan saat Rasulullah sedang diamuk kegelisahan. Ibunda Khadijah menenangkan sosok tubuh yang dalam kedinginan itu dengan berkata :


"Bergembiralah! Demi Allah, Allah sama sekali tidak akan membuat engkau kecewa. Engkau adalah seorang yang suka menyambung silaturrahim, selalu membantu orang yang dalam kesusahan, menghormati tetamu dan membela orang yang berdiri di atas kebenaran."

Demikianlah Ibunda Khadijah, yang menyemai cinta terhadap agama, yang menyemai cinta tulus terhadap Utusan Allah, yang hidupnya bersederhana dengan apa yang ada, yang tidak mencari pangkat, gelaran dan nama, yang tidak menggunakan kedudukannya menuruti kepentingan peribadinya.


Ummu Wafa, suri Al-Banna


Ketika membelek buku kecil "Cinta di rumah Hassan Al-Banna", saya terjumpa beberapa kisah menarik mengenai isteri beliau. Tidak banyak, cuma dua perenggan. Itupun diceritakan oleh anak perempuannya, Tsana. Tetapi cukup untuk memberi pengertian bagaimana seharusnya sikap dan peranan Wanita Pertama.


Tsana menceritakan :
"Ketika menjejakkan kaki ke Kaherah, mereka menyewa sebuah pejabat untuk digunakan sebagai ibu pejabat. Ketika itu, ibu mengambil hampir kesemua perabot di rumah untuk digunakan di ibu pejabat."


Beliau menambah :
"Ketika ayah menubuhkan sekretariat Ikhwanul Muslimin, ibu malah meminta ayah membawa sebahagian besar perabot rumah agar sekretariat menjadi lebih hidup. Ayah pun memindahkan permaidani, langsir, meja-meja dan banyak perabot lain dibawa ke sekretariat, Ibu sangat senang hati. 
Di rumah kami sendiri, tidak ada wang kecuali dalam jumlah yang sangat sedikit, termasuk hanya sejadah dan langsir yang sebenarnya dibuat sendiri oleh ibu. Dan untuk menutup kamar, kami menggunakan apa sahaja yang boleh digunakan."


Tsana turut menceritakan :
"Sampai ketika rumah kami termasuk dalam senarai rumah yang akan dimusnahkan, ibuku meminta ayah untuk membelikan sebuah rumah kecil untuk kami. Tetapi ayah dengan keimanan yang mendalam mengatakan, "Wahai Ummu Wafa, istana kita menanti kita di syurga. Allah tidak akan mensia-siakan kita di dunia." 
Perkataan itu meresap dalam hati ibuku dengan penuh cinta dan lapang dada. Ibu tidak marah dan kecewa seperti apa yang dilakukan oleh para isteri pada hari ini.." 

Sikap dan peranan kita


Kita tidaklah semulia Ibunda Khadijah dan Ummu Wafa yang begitu qanaah dan bersederhana dalam kehidupan meskipun mempunyai kedudukan dalam masyarakat. ataetapi bukanlah bererti Wanita Pertama hanya menjadi Wanita Pertama dan tidak berfungsi. Pada hari ini, seharusnya para Wanita Pertama mencontohi peranan yang dimainkan oleh Ibunda Aisyah r.a. Ibunda Aisyah mencintai aktiviti sosial, mencintai budaya keilmuan dan keintelektualan, berpartisipasi dalam pembangunan ummah di samping menjadi seorang isteri yang taat.


Justeru, saya suka untuk berpesan kepada semua wanita, khususnya Datin Seri Rosmah Mansor agar mencontohi sikap dan peranan yang dimainkan oleh Wanita Pertama generasi terdahulu agar gelaran Wanita Pertama ini bukan hanya kita peroleh di dunia, malah di syurga.


p/s : Kepada sesiapa yang ingin membaca perbahasan kritikal isu first lady dari aspek perlembagaan boleh lihat di sini


Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

1 comment:

morsmode said...

'first lady' perlu letakkan first effort untuk menjadi first lady dalam sejenak hal.


hehe.