Wednesday, April 07, 2010

Demokrasi Islam ; Realiti di Malaysia (1)



       Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen. Walaubagaimanpun, status Malaysia sebagai salah sebuah negara membangun turut mencorakkan bentuk pengamalan demokrasi yang juga bersifat ‘membangun’. Hal ini disebutkan oleh Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif dalam tulisannya Islam, Demokrasi dan Pilihanraya di Malaysia.[1]

Penentuan sesebuah negara mengamalkan sistem demokrasi yang berlandaskan syariat bergantung kepada sejauhmana pelaksanaannya mengikut kaedah Islam. Justeru, pelaksanaan elemen-elemen utama demokrasi di Malaysia seperti pilihanraya dan institusi parlimen harus diteliti mengikut kacamata Islam.


Pilihanraya

Ciri utama bagi negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen ialah mengadakan pilihanraya yang bebas. Dalam hal ini tujuan diadakan pilihanraya ialah agar rakyat menggunakan hak mereka untuk memilih kerajaan yang mereka percaya boleh memerintah dengan baik dan memenuhi kehendak -kehendak
rakyat.

Namun, sifat demokrasi di Malaysia yang masih ‘membangun’ sedikit sebanyak menjejaskan aspek perwakilan dan persaingan. Hal ini selari dengan sifat parti politik dominan yang diamalkan di Malaysia di mana secara konsisten satu parti sahaja yang mendominasi pentas politik dan pentadbiran. Antara kesannya ialah :

             I.        Penyertaan parti-parti pembangkang dalam pilihanraya agak terhad. Misalnya masa berkempen yang diberi sangat singkat
            II.        Penyekatan terhadap aktiviti-aktiviti parti-parti pembangkang ;peluang mengakses media yang terhad, wujud akta-akta sekatan seperti ISA dan OSA.
          III.        Tidak berlaku pemisahan yang jelas antara kerajaan dan parti menyebabkan parti yang pernah menduduki tampuk pemerintahan menggunakan kuasa kerajaan untuk memenangi pilihanraya.
          IV.        Suruhanjaya yang berkuasa mengendalikan pilihanraya seperti Suruhanjaya Pilihanraya Raya memihak kepada parti kerajaan akibat tiada kuasa autonomi dan tunduk kepada kuasa eksekutif

Seharusnya, apa yang berlaku ketika pilihanraya ialah apabila kabinet dan parlimen dibubarkan, maka tiada pihak yang boleh menggunakan aparat kerajaan untuk tujuan memenangi pilihanraya. Salahguna kuasa ini menyalahi prinsip Islam iaitu keadilan dan amanah terhadap tanggungjawab.

Sesungguhnya Islam sangat menitikberatkan persoalan amanah dalam kepimpinan dan pemerintahan.Firman Allah dalam Surah As-Sad ayat 36 yang bermaksud :

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.”

Di dalam mentafsirkan ayat di atas, Al-Mawardi menyebutkan bahawa Allah s.w.t tidak hanya memberikan tugas, tetapi lebih dari itu Allah s.w.t memerintahkan amanah dalam tanggungjawab. Al-Mawardi juga berkata bahawa amanah dalam tanggungjawab ini termasuk dalam hak politik setiap pemimpin.[2]

 Nabi s.a.w juga menegaskan bahawa setiap pemimpin tidak boleh menyeleweng dalam menjalankan amanahnya. Dalam hadith riwayat Muslim Nabi s.a.w bersabda :

Tidak seorang pun penggembala (pemimpin) yang diberikan tanggungjawab oleh Allah untuk memimpin sesuatu, lalu dia mati, dalam keadaan menyeleweng dalam kepimpinannya, kecuali Allah akan mengharamkannya daripada bau syurga.

Ibn Taimiyah dalam membahaskan persoalan amanah ini mengatakan bahawa individu yang melaksanakan amanahnya sekalipun dalam keadaan amanah itu bertentangan dengan hawa nafsunya, maka Allah akan meneguhkan, menjaga dan memelihara ahli keluarganya dan hartanya. Sebaliknya, jika individu tersebut mengkhianati amanahnya, maka Allah akan mennyeksanya dengan siksaan yang berat.[3]

Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif dalam tulisannya menyebutkan bahawa antara halangan besar terhadap keberjayaan pelaksanaan demokrasi yang selaras dengan Islam ialah faktor integriti. Jika integriti tidak diperjuangkan, maka pelaksanaan demokrasi yang sesuai dengan Islam tidak dapat dijayakan.


[1] Ibid. Hlm. 52
[2] Imam Al-Mawardi. 2006. Al-Ahkam As-Sulthoniyyah. Jakarta : Darul Falah. Hlm. 25
[3] Ibn Taimiyah. 1995. Assiyasah Syariyyah fi Islahi Arro’iy wa Ar-Ro’iyah. Surabaya :Penerbit Risalah Gusti. Hlm. 7


(Artikel ini adalah petikan daripada proposal assignment Kaedah-Kaedah Siyasah Syariyyah ; Pembumian Siyasah Syariyyah di Malaysia dan Realitinya)



Masturah Abu Bakar
Islamic Political Science, University of Mahasiswa







No comments: