Wednesday, April 07, 2010

Islam dan Demokrasi

 


1.    Islam adalah agama yang fleksibel yang membenarkan manusia menggunakan akal fikiran untuk memikirkan bagaimana seharusnya mereka mengurus negara mengikut acuan Islam. Justeru itu, siyasah syariyyah dan ruang lingkup pelaksanaannya mestilah difahami dalam konteks yang luas dan ia terdedah kepada kepelbagaian ijtihad mengikut keadaan setempat. Hal ini dijelaskan oleh Ibn ‘Aqil dalam takrifannya mengenai Siyasah Syariyyah, iaitu :

“Siasah ialah apa saja tindakan yang dapat mendekatkan orang ramai kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kemusnahan, walaupun perkara itu tidak dinyatakan oleh Rasulullah SAW dan tidak dijelaskan oleh al-Quran (secara langsung).”[1]

Oleh itu, Siyasah Syariyyah tidak hanya terhad kepada apa yang disebut oleh syarak, tetapi disyaratkan agar tidak menyalahi teks Al-Quran, Sunnah, ijmak dam kaedah-kaedah syarak serta dasar-dasar amnya.[2]

Dalam hal ini, Ibn Al-Qayyim berkata :

“Sesiapa yang berkata bahawa politik ialah apa yang disebut oleh syarak sahaja, maka ia adalah suatu kesilapan dan menyalahi para sahabat. Ini merupakan suatu perkara yang tidak difahami oleh segolongan manusia, lalu dengan itu mereka telah menjadikan syariat itu lemah dan tidak mampu menangani maslahat manusia, dan ia memerlukan kepada yang lain. Sesungguhnya Allah telah mengutuskan para rasul-Nya dan menurunkan kitab-kitab-Nya supaya manusia berlaku adil. Maka apabila terdapat tanda dan ia Nampak jelas dalam apa bentuk sekalipun, maka itulah yang dikatakan syariat dan agama Allah.”[3]


2.   Demokrasi sebagai sistem pemerintahan

Selepas kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah, kerangka Siyasah Islam tidak dapat dilihat dengan begitu jelas. Oleh sebab itu, persoalan yang timbul adalah bagaimana negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam meneruskan identiti mereka sebagai umat Islam dan bagaimana mereka harus hidup dalam sistem siasah moden iaitu demokrasi.

Penerimaan demokrasi sebagai sistem pemerintahan menjadi perbincangan yang hangat dalam kalangan sarjana Islam. Muhammad Uthman El-Muhammady dalam tulisannya Islam dan Demokrasi membahagikan golongan sarjana Islam ini dalam beberapa bahagian. Pertama, golongan yang menolak demokrasi terus-menerus. Kedua, golongan yang menerima demokrasi dengan segala aspeknya tanpa ada apa-apa pengubahsuaian, dan ketiga adalah golongan yang menerima demokrasi dengan beberapa pengubah suai berdasarkan pandangan Islam dan budaya serta tradisi yang berkenaan.

 
Pandangan positif sarjana Islam mengenai Islam dan Demokrasi

Rashid Al-Ghannoushi adalah antara sarjana Islam yang membahaskan Islam dan Demokrasi dalam kontes yang moderat. Dalam hal ini, beliau berpendapat bahawa demokrasi adalah serasi dengan Islam. Walaubagaimanapun, disebabkan demokrasi yang wujud sekarang adalah berasaskan dasar sekular dan liberal, maka demokrasi dilihat tidak sesuai dengan masyarakat Islam[4].

Interaksi antara Islam dan demokrasi barat wujud dalam elemen-elemen nilai seperti keadilan, hak asasi dan kebebasan. Namun berlaku percanggahan dalam kedudukan kedaulatan di mana umat Islam meletakkan bahawa kedaulatan terakhirnya adalah milik Allah, manakala demokrasi barat menekankan bahawa kedaulatan adalah milik manusia.

Rashid Al-Ghannoushi berpendapat bahawa demokrasi dan prosedur-prosedurnya adalah hasil pengaruh peradaban Islam. Maka dari segi hujahnya, jika umat Islam mengambilnya, maka ia adalah perbuatan mengambil semula apa-apa yang berasal daripadanya selepas dimanfaatkan oleh Barat dengan pengalaman kolektif dan ketamanadunannya.[5]

Beliau berkata, jika demokrasi yang ada di Barat sekarang berada dalam konteks falsafah dan sekularisme yang tidak serasi dengan Islam, maka perlu dibezakan antara aspek prosedural dan aspek budayanya.[6] Bagaimanapun, Barat banyak mengambil ilmu-ilmu daripada tamadun Islam dan memajukannya dengan memisahkan tauhid daripadanya.



[1] Shukeri bin Mohamad, Kertas Kerja ‘Siyasah Syariyyah dalam Membentuk Gagasan Fiqh Masyarakat Majmuk’, Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara Islam, Selangor.
[2] Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy. 2008. Sistem Politik Islam Menurut Pandangan Al-Quran, Al-Hadis dan Pendapat Ulama Salaf. Malaysia : Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm. 3
[3] Ibid. Hlm. 3
[4] Mohd Izani Mohd Zain. 2007. Demokrasi dan Dunia Islam. Malaysia : Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 7
[5] Ibid. Hlm. 11
[6] Ibid. Hlm. 11



(Artikel ini adalah petikan daripada proposal assignment Kaedah-Kaedah Siyasah Syariyyah ; Pembumian Siyasah Syariyyah di Malaysia dan Realitinya)



Masturah Abu Bakar
Islamic Political Science, University of Mahasiswa

No comments: