Thursday, April 08, 2010

Demokrasi Islam ; Realiti di Malaysia (2)


Institusi Parlimen

Secara asasnya sistem dan amalan Parlimen Malaysia mestilah selaras dengan ketetapan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Sesuatu peraturan atau undang-undang yang ingin dilaksanakan di Malaysia tidak boleh sama sekali bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu sekiranya terdapat nilai-nilai Islam yang ingin dilaksanakan di Parlimen, nilai-nilai tersebut mestilah tidak bertentangan dengan perlembagaan yang ada.[1]

Dalam aspek pelantikan ahli parlimen, ia juga mestilah berlandaskan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara ringkas di antara kelayakan yang diperlukan ialah ; warganegara yang bermastautin di dalam Persekutuan, berumur tidak kurang dari 30 tahun bagi ahli Dewan Negara dan tidak kurang dari 21 tahun bagi ahli Dewan Rakyat serta tidak hilang apa-apa kelayakan menjadi ahli parlimen menurut perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam membahaskan tentang kelayakan ahli parlimen Malaysia menurut Islam, Bharuddin Che Pa[2] dan Raja Hisyamuddin Raja Sulong[3] berpendapat bahawa terdapat beberapa syarat kelayakan ahli parlimen menurut Islam yang tidak diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Di antaranya ialah pensyaratan dari segi keilmuan, keagamaan (Islam atau bukan Islam) dan lain-lain.

Mereka juga berpendapat bahawa sebahagian dari syarat-syarat dan kelayakan ahli parlimen yang diamalkan di Malaysia hari ini bersesuaian dengan konsep Islam dan sebahagian yang lain masih lagi belum menepati kehendak Islam. Oleh itu syarat-syarat yang diperuntukkan masih belum memadai bagi menghasilkan ahli parlimen menurut perspektif Islam di Malaysia.

Al-Mawardi dalam tulisannya Al-Ahkam As-Sulthoniyyah menggariskan beberapa syarat dan kriteria ahlu al-aqdi wa al-ahli iaitu ahli parlimen. Antaranya ialah :

             I.        Adil engan syarat-syaratnya yang universal
            II.        Ilmu yang membuatnya mampu berijtihad terhadap keputusan dan hokum.
          III.        Sihat pancainderadsn sihat tubuh badan.
          IV.        Mempunyai wawasan yang membuatkannya mampu memimpin rakyat dan mengelola semua kepentingan.
           V.        Berani dan mampu melindungi wilayah negara daripada serangan musuh.

Sebaik-baiknya syarat-syarat keahlian parlimen sebagaimana yang digariskan oleh Islam dimasukkan sebagai peruntukan tambahan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia boleh dijadikan garis panduan utama dalam pemilihan atau pelantikan ahli parlimen. Begitu juga untuk mengislamisasikan institusi Parlimen Malaysia, undang-undang yang berkaitan dengannya hendaklah diperbaiki dari masa ke semasa berpandukan nilai-nilai keislaman.[4]


      Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa elemen dalam pemerintahan Malaysia berjalan mengikut kerangka Islam. Namun kita juga mendapati bahawa terdapat banyak perkara yang perlu dicermati dalam pelaksanaan elemen-elemen demokrasi di Malaysia mengikut lunas-lunas Islam. Dalam proses kearah negara Islam yang kolektif, ulama, umara’, para pemikir dan ahli politik Islam dalam agen check and balance bagi memastikan pelaksanaan pemerintahan Malaysia berdiri atas nilai-nilai Islam.


[1] Bharuddin Che Pa, Raja Hisyamuddin Raja Sulong. 2008. Penilaian Terhadap Kelayakan Ahli Parlimen di Malaysia Menurut Perspektif Islam. Jurnal Fiqh (5), 67-96.
[2] Pensyarah, Jabatan Siasah Syar`iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[3] Pensyarah, Jabatan Siasah Syar`iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[4] Bharuddin Che Pa dan Raja Hisyamuddin Raja Sulong. 2007. Op. Cit. Hlm. 96.

No comments: