Tuesday, September 01, 2009

Islam mengiktiraf wanita

Saya melihat isu sebatan Kartika kini menjadi isu dominan gerakan wanita sama ada gerakan yang bersifat Islamis atau liberalis. Pembahagian dua blok gerakan ini menunjukkan dua matlamat dan pelaksanaan yang berbeza namun menuju satu titik pertemuan untuk mencapai suatu matlamat iaitu memperjuangkan hak-hak dan isu-isu wanita. Saya kira sudah sampai masanya gerakan-gerakan wanita ini duduk semeja membincangkan isu wanita dengan lebih serius berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Hakikatnya, masyarakat Malaysia kini makin jauh dengan prinsip-prinsip Islam. Justeru, tugas utama gerakan-gerakan wanita kini ialah mendidik masyarakat untuk kembali kepada agama suci ini dan memandang Islam adalah solusi. Jika ia dapat dilakukan, maka datanglah 10 isu Kartika pun masyarakat akan mengatakan Islam adalah solusi sekaligus sama-sama memikirkan solusi terbaik berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Dewan Muslimat Pas, Nisa’, Sister In Islam(SIS), Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), Hal Ehwal wanita Islam dalam badan-badan persatuan mahasiswa Islam seperti HEWI PMIUM dan semua gerakan-gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita perlu bersatu untuk menyelesaikan hal ini. Keputusan yang hendak dicapai mestilah berdasarkan 3 prinsip Perpaduan Nasional yang digagaskan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu,

Pertama, kembali kepada kehidupan beragama iaitu meletakkan Islam sebagai landasan kehidupan. Kedua, kerajaan berjiwa rakyat. Umum mengetahui bahawa kita telah memilih demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintahan dan premis hidup bernegara maka kerajaan yang berjiwa rakyat adalah kerajaan yang mengiktiraf amalan hak asasi manusia, hak-hak sivil, kebebasan bersuara dan keadilan perundangan.

Ketiga, perlindungan keselamatan rakyat daripada jenayah. Negara yang aman adalah Negara yang dapat memberi perlindungan keselamatan yang total kepada rakyat berlandaskan  5 perkara yang dilindungi Islam yang tiada dalam agama lain iaitu perlindungan diri, harta benda, maruah, akal dan keturunan.

Justeru saya mencadangkan front-front utama mahasiswi seperti SIGMA, Gabungan HEWI Persatuan Mahasiswa Islam seluruh Malaysia dan gabungan HELWA Majlis Perwakilan Mahasiswa seluruh Malaysia mengadakan suatu perbincangan terbuka peringkat nasional berkenaan isu sebatan terhadap Kartika ini. Perbincangan tersebut mesti meliputi soal perundangan Islam, hak-hak wanita dalam Islam, maruah wanita Islam dan penerangan terhadap kekeliruan masyarakat dalam memandang isu ini. Lebih menarik jika dialog tersebut melibatkan kedua-dua blok gerakan wanita yang telah saya perkatakan di awal artikel ini.

Apa yang penting, saya lihat jika perbincangan tersebut berjaya memberi pencerahan terhadap masyarakat supaya kembali kepada Islam dan menjadikan Islam adalah solusi maka ia menunjukkan slogan-slogan seperti ‘muslimat power,power,power’ adalah bukan hanya slogan. Malah, ia merupakan suatu momentum gerakan feminis Islamis  yang saban hari dilihat makin jelas taringnya untuk bergerak dengan lebih dinamik dan konsisten. insyaAllah.

Mohd Syafie b. Hasyim
JKP Perhubungan Luar & Hal Ehwal Semasa
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Ulasan

Saya melihat idea yang dikemukakan adalah idea bersifat 'membumikan rakyat' di mana cadangan untuk menjalankan perbincangan terbuka peringkat nasional adalah bertujuan untuk memberi pendidikan kepada rakyat. Realitinya, rakyat masih bingung memikirkan isu ini. Apakah wajar disebat, atau tidak masih bermain-main di fikiran mereka tanpa pencerahan yang sepatutnya.

Saya secara peribadi memuji tindakan Kartika yang secara telus tampil memberi pengakuan dan menyesal akan kesalahannya. Dewasa ini masyarakat seakan-akan hilang norma-norma tersebut. Ketelusan, kejujuran dan amanah sudah makin terhakis bersama nilai-nilai yang lain.

Islam sebagai agama yang suci di muka bumi ini sangat mengiktiraf wanita dari segenap sudut. Justeru wanita juga dinobat untuk memenuhi peranan sebagai hamba Allah, anak, isteri, ibu dan sebagai kepimpinan masyarakat. Prof Dr Yusuf Alqardhawy dalam bukunya ' Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan' menyebut bahawa,
"Islam muncul ketika sebahagian manusia menolak keinsanan wanita, ketika sebahagian manusia masih ragu-ragu mengenainya dan ketika mana sebahagian manusia mengiktiraf keinsanan wanita tetapi menganggap wanita hanya sebagai suatu makhluk yang dijadikan semata-mata untuk berkhidmat kepada lelaki."
 
 Alqardhawy juga menyebut bahawa Islam mengiktiraf wanita dari pelbagai aspek iaitu :
  1. Aspek asal-usul kejadian (lihat dalil dalam surah Annisa :1)
  2. Aspek tuntutan agama dan beribadat (lihat dalil dalam surah Al-Ahzab :35)
  3. Aspek tanggungjawab agama dan kemasyarakatan (lihat dalil dalam surah At-taubah :71)
  4. Aspek balasan (dosa & pahala) dan tempat kembali suatu hari nanti (lihat dalil dalam surah An-nahl : 97)
  5. Aspek hak-hak harta
  6. Aspek-aspek lain seperti menuntut ilmu, kewajipan sosial dll.

 Merujuk kepada poin ke 4, jelaslah bahawa dalam aspek balasan amalan yang dilakukan sama ada amalan baik dan buruk akan mendapat balasan yang setimpal. Islam juga menetapkan undang-undang terhadap pesalah jenayah yang sesuai terhadap pesalah tetapi hal ini berubah-ubah mengikut masa, keadaan, sebab dan lain-lain yang boleh dipertimbangkan oleh pakar-pakar syariah perundangan dan siyasah syariyyah.

Namun perlu difahami bahawa setiap undang-undang yang dikenakan kepada pesalah yang melakukan jenayah mempunyai hikmah yang besar dan bukanlah hanya suatu pelaksanaan yang sia-sia seperti undang-undang barat. Antara hikmah yang terbesar ialah tarbiyah (pendidikan) bukan suatu penyeksaan diri dan maruah.
Wallahua'lam.

My-Kombat
12 : 06 pm
Pejabat Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam

No comments: