Lagi cerita tentang Kartika
Cerita tentang Kartika masih menduduki tangga teratas dalam media massa. Komentar, pandangan dan kritikan sudah terlalu banyak, sama ada ianya datang daripada ahli akademik, pemimpin-pemimpin negara (Kerajaan BN & Pakatan Rakyat) dan masyarakat awam. Saya yakin, Kartika mulai ditarbiyah terus oleh Allah melalui sebatan emosi yang harus dihadapi dengan tabah.
Saya dan sahabat-sahabat berkesempatan ke RTM semalam bagi menjayakan rancangan 'Di Luar Lingkungan' yang dikendalikan oleh Sayed Munawar. Apa yang lebih menarik, tajuk diskusi pada malam itu ialah 'Isu sebatan Kartika, apa masalah sebenarnya'. Antara panel jemputan ialah :
- Prof. Dato’ Dr. Zaleha Binti Kamaruddin - wakil IKIM
- Dr Hamidah Marican - wakil SIS
- Peguam Syarie (tidak pasti namanya)
Saya berpeluang duduk di barisan hadapan, mendengar secara teliti setiap hujah yang dilontarkan oleh semua panelis yang hadir. Tidak dinafikan bahawa wujud kontradiksi pendirian antara ketiga-tiga panelis. Hal ini juga diakui oleh pengacara diskusi tersebut, Sayed Munawar.
Kupasan Panelis
Prof Dato' memulakan diskusi dengan menyatakan keburukan arak yang disebut dalam alquran dan assunnah. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Arak itu adalah ibu kepada kejahatan" (Hadith Hasan : Albani ; Silsilah Alhadith Assohihah 1854)
Beliau juga menegaskan bahawa sebatan yang dijalankan mengikut lunas Islam amat berbeza dengan sebatan cara sivil. Terdahulu, ust Zaharuddin Abdul Rahman di dalam website nya menyebut bahawa :
"Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kasihan dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul."
Dr. Hamidah Marican pula menyifatkan hukuman sebatan yang dijatuhkan adalah terlalu keras dan akan menyebabkan trauma psikologi terhadap pesalah. Beliau juga mempersoalkan mengapa mesti Kartika yang dihukum walaupun ramai lagi peminum arak di Malaysia. Sister in Islam (SIS) berpendirian bahawa isu ini mesti diperjuangkan kerana ianya melibatkan golongan wanita dan tetap dengan undang-undang yang menyatakan wanita dilarang disebat.
Dengan menggunakan dalil dalam Surah Al-maidah yang menyatakan firman Allah bahawasanya Allah Maha Pengampun, SIS mempersoalkan pengampunan terhadap pesalah kali pertama seperti Kartika. Lebih kontroversi, SIS mempertikaikan hukum-hukum yang telah difatwakan oleh ulama dan mengatakan hukum sebatan dalam Islam masih lagi menjadi perkara ikhtilaf ulama. Penetapan hukum oleh hakim lelaki ke atas isu wanita juga dipertikaikan. Namun Prof Dato' dan wakil Peguam Syarie berjaya menyangkal hujah-hujah SIS.
Kesimpulan
Saya berpandangan bahawa diskusi hangat ini tidak mencapai suatu resolusi yang terbaik memandangkan wujudnya 2 blok pandangan yang berbeza. Jika masalah fundamental ini tidak berjaya diselesaikan, maka saya berani memberi jaminan bahawa kes-kes seperti ini semakin berpanjangan.
Saya sempat menanyakan 2 soalan kepada panelis. Soalan pertama lebih kepada meminta pandangan tentang bagaimana cara terbaik untuk menyebarkan fahaman kepada masyarakat umum tentang isu sebatan ini yang sebenarnya bertujuan untuk memberi pendidikan. Soalan ini saya tujukan kepada Prof Dato'. Beliau berpendapat bahawa aktiviti-aktiviti seperti diskusi ilmiah, dialog dan forum mesti diadakan dengan lebih kerap dan konsisten. Saya tertarik mendengar azam beliau,
"Saya mesti bekerja lebih kuat untuk memberi kefahaman kepada masyarakat"
Resolusi
Diskusi tersebut menjadi penambah semangat kepada saya dan sahabat-sahabat dalam inisiatif membentuk team muslimat. Team ini akan mengkaji 3 aspek yang menjadi nadi utama gerakan feminis hari ini, iaitu :
- Perbandingan agama
- Gerakan feminis Islamis
- Gerakan feminis liberal
Untuk memenuhi jemputan Dr Hamidah untuk melawat pejabat SIS, saya dan sahabat-sahabat merancang untuk ke sana nanti. Apa yang pasti, kami akan berusaha mengatur pertemuan khusus bersama Prof Dato'. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment