Saya mewakili Lajnah Siyasah Syariyyah(Jabatan Siyasah Syariyyah) bagi pertandingan Debat Konvokesyen anjuran Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang berlangsung pagi tadi. Ketika Al-Akh Zahiruddin berjumpa bagi memaklumkan tentang hal ini malam tadi, saya benar-benar terkejut dan agak kaget dengan memikirkan masa persiapan bagi pertandingan itu hanya 12 jam dari waktu tersebut.
Tanpa persiapan sedikit pun, saya mencabar diri untuk mewakili lajnah. Saya menerima amanah tersebut dengan matlamat untuk merealisasi etika kerja saya.
"Dilontar ke bukit menjadi hutan,dibuang ke laut menjadi pulau.."
Cuma saya mempunyai pendirian tersendiri terhadap pertandingan debat yang membuatkan saya berfikir dua kali selepas menerima amanah tersebut. Apa yang saya rasakan bahawa selama ini saya adalah antara individu retorik (yang terlibat dalam pertandingan debat) yang hanya membahaskan usul tanpa disusuli dengan resolusi dan pelaksanaan. Saya tidak menafikan bahawa perdebatan adalah medan terbaik bagi percambahan idea namun sejauhmana akhirnya usul itu disuarakan di peringkat yang lebih atas masih lagi menjadi pertikaian.
Hal ini saya sudah suarakan kepada sahabat saya, Farhah. Kami membahaskannya namun akhirnya beliau memberi jawapan,
"Kita kena memahami pemikiran orang lain, bukan semua orang fikir macam kita."
Saya terbuka menerima pandangannya. Ya, pemikiran manusia tidak sama.
Saya bukanlah seseorang yang mahir dalam arena perdebatan dan sebetulnya ia bukanlah gelanggang saya. Namun saya rasakan tidak selamanya perdebatan hanya menjadi medan fantasi. Ia perlu bergerak lebih realistik seiring dengan percambahan idea mahasiswa kini.
Usul yang dibahaskan pagi tadi ialah : Graduan APIUM sekadar keputusan, kualiti atau kuantiti, adakah kita yang terbaik?
Tajuk tersebut menjadi pertikaian peserta dan juga hakim kerana terdapat sedikit kekeliruan. Namun ia tidak sepenting matlamat perdebatan tersebut. Lajnah Siyasah Syariyyah yang juga sebagai barisan kerajaan memenangi pertandingan dengan keputusan usul diterima manakala wakil Lajnah Syariah Undang-undang iaitu saudara Nawfal Tarmizi dinobatkan sebagai pendebat terbaik. Salam revolusi.
No comments:
Post a Comment