Saya tercari-cari sebuah buku baru karya Fatimah Syarha 'Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul'. Saya mencarinya di 3 buah kedai buku di Kelantan tetapi masih tak jumpa. Kemudian, pulang ke Selangor saya ke kedai buku berdekatan, juga tidak jumpa. Lalu kesempatan ke KL beberapa hari lepas saya gunakan, saya dan seorang sahabat (Naemah @ iem) bersetuju untuk ke MPH Midvalley.
Dari KL Sentral, saya membeli tiket untuk ke Midvalley dengan harga cuma RM1. Untuk tidak membuang masa, saya dan iem bergegas terus ke Platform 6 kerana ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pm. Tidak sampai 5 minit tren yang ditunggu sampai. Melihatkan ramai orang ketika itu saya cuba berebut-rebut memasuki tren. Ah, alangkah sesaknya!
Dengan keadaan yang sangat ramai manusia dan dalam situasi bercampur lelaki dan wanita, saya sungguh tidak selesa. Niat untuk mengekalkan wudhuk dibatalkan. Serasa saya, langsung tidak ada ruang antara saya dengan orang sekeliling. Saya sangat kesal dengan kondisi tersebut. Andainya ada payungan pemerintahan Islam, pasti gerabak lelaki dan perempuan diasingkan dan pergaulan bebas dapat dielakkan. Dalam keadaan ini, saya berpandangan gerabak perlu diasingkan kerana :
1. Menjaga pergaulan
Supaya tidak tersentuh, atau tidak ada yang berkesempatan untuk sengaja menyentuh. Bila terpaksa berdiri dalam keadaan berhimpit pun saya tak kisah kerana semuanya perempuan. Tak kisah juga sama ada yang ada di dalam tren itu Islam atau bukan Islam, keadaan masih selamat.
2. Menjaga pandangan
Dalam keadaan bercampur dengan pelbagai ragam manusia, makanya bukan semua yang berpakaian menutup aurat. Sama ada yang Islam atau bukan Islam, keadaan itu tidak dapat dielakkan. Maklumlah, orang Islam juga ramai yang tidak menutup aurat. Kadang-kadang terdetik juga dalam hati saya,
"Macam orang tak bertamadun!"
Tapi saya segera istighfar, sedar bahawa hidayah milik Allah. Lalu saya segera mendoakan : yahdikumullah. Moga kalian diberi hidayah oleh Allah.
Menundukkan pandangan penting supaya menjaga diri dari fitnah.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nuur :
[30]
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[31]
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Seringkali timbul rasa kasihan melihat lelaki muslim. Mesti mereka letih bermujahadah menjaga nafsu lalu menundukkan pandangan supaya tidak timbulnya fitnah di hati. Sebenarnya perkara-perkara begini tidak dapat dielakkan, memandangkan persekitaran 'kritikal' di negara ini.
Maka alangkah indahnya jika negara ini dinaungi payungan pemerintahan Islam. Impian semua umat Islam, bukan sahaja payungan pemerintahan Islam ini memayungi negara ini tetapi juga memayungi seluruh dunia. Alangkah indahnya, tiada lagi kemungkaran, maksiat, rasuah, judi, jenayah, politik kotor, pemimpin penipu dan arak. Tiada lagi kegelapan dan jahiliyah, yang ada hanya cahaya yang cerah.
Pemerintahan Islam ini bukan idea dan inovasi daripada para pejuang yang cintakan Islam, tetapi ia sememangnya tercatat dalam nas dan dalil yang nyata. Firman Allah dalam Surah Annisa' :
[58]
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[59]
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Di dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari Nabi bersabda,
"Jika amanat disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya. Ada yang betanya, "Bagaimana menyia-nyiakannya? Baginda menjawab : "Jika urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya."
Sesungguhnya dan sebenarnya, tidak ada pemisahan antara agama dan daulah. Seperti apa yang disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawy dalam kitabnya Fiqhud Daulah (m/s 11),
"Sepanjang sejarahnya, orang-orang muslim tidak pernah mengenal adanya pemisahan antara agama dan daulah, kecuali setelah munculnya era sekularisme pada zaman sekarang.."
Umat Islam akan terus ditindas, dizalimi dan dibanteras jika tidak ada payungan pemerintahan Islam. Betapa pentingnya ia sehingga Sultan Muhammad Al-Fateh mencuba sedaya upaya menakluki Kota Konstantinopel pada zaman pemerintahannya sehingga ada antara Pakar Sejarah Byzantine yang berkata,
"Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh menukar darah menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fateh dengan usahanya ini mengatasi Alexander The Great!"
Tetapi persoalannya, hingga hari ini tidak berimankah kita bahawa alangkah indahnya jika wujudnya payungan pemerintahan Islam?
Akhirnya, saya tinggalkan anda dengan kata-kata Imam Al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin :
"Dunia adalah ladang akhirat. Agama tidak akan menjadi sempurna kecuali dengan dunia. Kekuasaan dan agama adalah anak kembar. Agama merupakan dasar dan sultan merupakan penjaga. Sesuatu yang tidak memiliki dasar pasti akan binasa dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga akan mudah sirna. Kekuasaan dan penerapan tidak akan menjadi sempurna kecuali dengan adanya sultan"
Wallahua'lam.
Rujukan :
1. Kitabullah Alquranulkareem
2. Fiqhud Daulah - Dr Yusuf Al-Qaradhawy
3. Novel sejarah Islam Sultan Muhammad Al-Fateh - Abdul Latip Talib
Layyinulharir
Baiti Jannati
26 Mei 2008
21 : 50
Baiti Jannati
26 Mei 2008
21 : 50
No comments:
Post a Comment