Thursday, May 07, 2009

Sayonara Nilam Puri


"Kita bukan pelari pecut yang menghabiskan seluruh tenaga untuk memecut kemudian keletihan, terbaring tak bermaya.
Tetapi.. Kita adalah pelari jarak jauh yang berlari tetapi menyimpan energi. Kita adalah orang yang disuruh beristiqamah dalam berbuat, bukan memecut kemudian berhenti" - blog ukht Rohayu


Suasana.

Tempoh dua tahun berada di Nilam Puri mematangkan saya, berjaya merubah kehidupan saya 360 darjah. Suasana yang cukup mengajar dan mematangkan. Mungkin ada yang mempertikai biah solehah di Nilam Puri, nampaknya sudah hilang izzahnya. Tetapi bagi saya, jangan kita salahkan suasana dan biah, salahkan manusia yang mencorak biah tersebut. Jika baik, baiklah ia. Namun jika tidak, ia akan menjadi sebaliknya.

Sang Penanti vs Sang Pencari.

Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu inginkan kebaikan. Namun wasilah kepada matlamat itu yang berbeza. Sang Penanti hanya akan tunggu, menanti kebaikan menjelma. Menunggu dan terus menunggu kebaikan itu datang, mungkin datang dari langit. Berbeza dengan Sang Pencari, dia cuba membaca keadaan sekeliling. Mencari di manakah letaknya kebaikan yang harus dia pungut. Kemudian setelah kebaikan berjaya diperoleh, dia bersedia pula untuk memberi, bukan hanya menerima.

Latihan pra-pra realiti.

Melalui agenda pentarbiyahan (yang mungkin tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak - kita saling berlapang dada) dalam tempoh masa 2 tahun adalah tidak cukup. Mungkin setelah dilantik menjadi pimpinan, kesibukan mentarbiyah lebih memuncak. Saya kira, tempoh 2 tahun bukanlah kayu ukur untuk meletakkan produk Nilam Puri sebagai figure yang kuat. Tetapi uniknya, asas dan tapak yang dipasak kuat merupakan batu loncatan untuk menjadi lebih hebat. Tetapi di alam mana pun, kita jangan hanya menjadi Sang Penanti. Sang Penanti inilah yang akan menyalahkan orang lain jika dia mendapati dia tidak dilibatkan sama. Jangan menjadi Sang Penanti.

Np adalah pra-pra realiti. Maksud saya, pra kepada lapangan yang lebih luas iaitu di kampus induk. Tetapi kampus induk juga adalah pra kepada realiti sebenar iaitu lapangan masyarakat. Maka dalam konteks ini, untuk menjadi pelari pecut yang sedaya upaya menghabiskan kesemua tenaganya demi mencapai kemenangan adalah kurang tepat. Pelari pecut akan kepenatan, lelah dan kehabisan energi sedangkan perjalanan masih jauh. Bukanlah bermakna kita hanya duduk goyang kaki, berusaha sekadar mampu dan membazir masa. Tetapi larian dalam lapangan perlu ada strategi.

Langkah seterusnya.

Sudah penat rasanya merancang tanpa tindakan. Mungkin banyak tindakan yang kita rasakan wujud namun kesannya hanya berada dalam lingkungan kita. Rancangan yang kurang signifikan untuk sekeliling menjadikan kita tidak mampu mendominasi kesemua individu dalam bumi tarbiyah ini. Namun kita sudah mencuba, tempoh satu tahun amat mematangkan. Baik itu dari Allah, yang buruk itu daripada kita sendiri. Ada satu pepatah barat mengatakan,

"Lets bygone be bygone."

Sedar diri selaku pelari jarak jauh, justeru kita patut membina kekuatan dalaman dan luaran. Kami akan melangkah, langkahan yang perlu diatur untuk menjamin masa depan ummah. Dalam langkahan, kita sedaya upaya memanfaatkan potensi individu untuk survival ummah. Mungkin ada yang pandai merancang strategi,mahir berpidato,cenderung dalam bidang kesenian,kreatif menulis,mampu menjadi external runner atau internal runner atau mungkin juga menjadi penyiasat, maka potensi ini perlu dicatur untuk rancangan akan datang. Moga ikrar untuk bersama berjuang demi Islam akan menjadi spirit di mana sahaja kita berada.

Terima kasih.

Ucapan ulung buat bumi tarbiyah. Terima kasih kerana mengajar kami erti kehidupan. Namun apalah makna makhluk tak bernyawa sepertimu untuk dianugerahi ucapan terima kasih. Maka ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat Pencipta bumi tarbiyah ini, Allah Tuhan sekalian alam. Terima kasih ya Allah atas anugerah ini.

Selamat tinggal Nilam Puri, selamat tinggal kenangan. :thumbsup:

Sayonara!

Layyinulharir ApiumNp 11:19 am

1 comment:

Faridrashidi said...

Salam ziarah,

Saya melinkkan blog ini. Selamat Hari Ibu. Jangan lupa baca dan berikan komentar di :

http://www.faridrashidi.com atau klik :

Kembara Sufi Mencari Aspirasi