Friday, April 10, 2009

Matlamat perjuangan



Sebenarnya saya bukanlah orang yang berautoriti untuk membicarakan soal ini. Soal perjuangan adalah suatu perkara yang besar jika mahu dibandingkan dengan umur saya yang masih 'kecil' ini. Namun mahu atau tidak, perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu aspek yang mana ia menjadi wasilah untuk kita menterjemahkan tanggungjawab yang telah ditaklifkan Allah iaitu Khalifah.

Justeru, pejuang mesti memandang lapangan perjuangan adalah suatu lapangan yang luas. Bukan hanya tertakluk kepada jemaah tertentu, sistem tarbiyah tertentu mahupun kawasan tertentu. Berfikir dan berpandangan secara rigid dan statik dengan mengatakan bahawa insan yang dinamakan pejuang hanyalah insan yang menjadi ahli kepada sesebuah jemaah tertentu yang mengikuti sistem tarbiyah atau marhalah tertentu adalah fikiran yang kurang kreatif.

Saya berintima' dengan organisasi Islam (baca : jemaah Islam) bukan kerana ingin diambil menjadi ahli organisasi tersebut. Matlamat saya adalah Islam dan selamanya ialah Islam. Saya mengikat janji setia adalah untuk memperjuangkan Islam maka matlamat saya adalah Islam.

Namun jika membicarakan tentang perjuangan Islam, kita pasti tidak lepas daripada membicarakan soal tadhiyyah atau disebut sebagai pengorbanan. Ramai yang mempersoalkan, sejauhmanakah kita mampu menjadi pejuang yang rela mengorbankan diri, harta dan masa untuk Islam? Ya, kita sebagai insan biasa yang punya tenaga yang terhad seringkali mengeluh apabila bertembung antara situasi yang menuntut keutamaan dan pengorbanan. Namun mesti diingat, kita sebagai pejuang jangan terlalu asyik mengukur dan membandingkan pengorbanan seseorang dengan apa yang telah kita lakukan. Apakah indikator yang boleh kita jadikan kayu ukur untuk mengukur pengorbanan seseorang dalam perjuangan?

Tepuk dada, tanya iman.