Friday, April 10, 2009

Emosi berbanding rasional akal


Perempuan biasanya adalah golongan yang dilabel sebagai emosional dalam situasi tekanan yang terkadang menyebabkan mereka mengambil satu tindakan drastik yang kurang diterima akal. Berbanding dengan lelaki, mereka lebih rasional dalam banyak hal. Sama ada berada dalam situasi tekanan atau tidak, mereka bijak menyelesaikan masalah menggunakan akal, bukannya emosi.

Perbandingan di atas bukanlah suatu bukti diskriminasi daripada saya. Tetapi dalam keadaan tertentu, saya juga melakukan perkara yang sama. Membiarkan emosi menguasai diri, tanpa membenarkan akal untuk mencuba nasib bagi mengawal keadaan. Padahal, ianya hanya perkara yang kecil. Saya mengalah dengan keadaan.

Sahabat saya berkata,

"Apabila kedua-dua pihak membiarkan emosi menguasai keadaan, ia akan bertambah keruh dan merugikan. Jika ada yang menjadi air, kan lebih mudah."

Oleh sebab kita meletakkan emosi berbanding akal dalam sesuatu perkara, maka terjadilah tindakan-tindakan negatif yang tidak sepatutnya berlaku. Menangis, kecewa, terluka, marah dan sebagainya. Yang sebenarnya, kita yang mencipta rasa tersebut.

Islam adalah agama yang syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Maka, bagaimana sepatutnya pengendalian emosi yang bijak sudah diajar di dalam Islam?

1. Zikir dan kembali kepada Allah. Allah Taala berfirman :

"Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

Subhanallah, Islam telah mengajarkan kita salah satu method yang sangat mudah unuk mengendali emosi. Hanya dengan berzikir, hati akan menjadi tenang. Rasionalnya, kita sebagai hamba yang sering diuji dengan kelalaian ini perlu kembalikan perasaan dan jiwa kita kepada Allah s.w.t dalam semua perkara. Jangan meninggalkan Allah dalam urusan dunia.

Terdapat sebuah hadith yang nyata menjadi bukti bahwa Nabi s.a.w tidak menggemari manusia yang meletakkan emosional berbanding akal.

"Daripada Abi hurairah r.a berkata, sesungguhnya telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w dan berkata : Nasihatkanlah aku. Maka Nabi bersabda : Jangan marah dan lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya, maka sabda Nabi s.a.w : jangan marah." H.R Bukhari

Jika anda berada di dalam suasana emosional, lekas-lekas mengingati Allah. Berzikir dan istighfar. Sesungguhnya syaitan sentiasa mengambil peluang dan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Jika kita melayan suasana tersebut, maka bertambahlah bisikan syaitan dalam jiwa kita. Maka ia memberi implikasi dan impak yang tidak baik dalam kehidupan.

2. Tawadhuk, jangan menyalahkan orang lain dan insafi kelemahan diri.

Saya mengambil masa yang agak lama dalam menjernihkan emosi. Kadang-kadang, saya terlalu asyik berfikir tentang suatu perkara hingga terbawa-bawa dan langsung menterjemahkan dengan tindakan. Apabila berfikir, mulalah saya mengeluarkan hujah-hujah saya.

Tetapi, cermin ajaib saya (baca : sahabat2 saya) tetap dapat menenangkan. Mintalah nasihat sahabat-sahabat dengan rasa rendah diri. Jika anda berasa malu, terjemahkan ia melalui bahasa badan. Sahabat adalah insan yang memahami, dikurniakan Allah naluri hati yang dapat menyelami hingga ke dasar hati kita. Walau secara tak langsung, nasihatnya membuatkan kita menginsafi kelemahan diri.

Saya teringat satu mutiara kata,

"Sahabat adalah mereka yang dapat mendengar lagu dalam hatimu. Mereka akan mengingatkanmu tatkala kau lupa akan bait-baitnya."

"Sahabat yang baik adalah mereka yang dapat mengingatkan kita kepada Allah.."

Kembalilah kepada Allah, berfikir secara positif dan fikirlah hikmah sesuatu perkara. Cuba bersangka baik dan jangan ego dengan hujah sendiri. Senyumlah dengan harimu!

Wallahua'lam.

2 comments:

Muhammad Afif said...

Bukan sekadar perempuan, malahan lelaki juga turut emosi. Emosi boleh terbawa-bawa sehingga dalam solat. sampai jadi was-was.

Semoga kita mendapat ketenangan dan keredhaan daripada Allah

muharrikdaie said...

Banyakkan berdoa ....emosi perkara fitrah. Penguasaanya suatu mujahadah. Insayaalah. Salam ukuhuwah