Showing posts with label cinta Allah. Show all posts
Showing posts with label cinta Allah. Show all posts

Monday, August 01, 2011

Ramadhan : Tinggalkan dunia dan kembalilah....

Istirehat sementara....


Pernahkah kau merasakan bahawa dunia ini terlalu meletihkan...

Urusan dunia sangat meletihkan bagi orang-orang yang merindukan istirehat di syurga Allah. Ujian yang tidak putus-putus membuatkan hamba putus asa. Masalah yang tiada pengakhiran membuatkan hamba putus harapan. Setiap kali merasakan semua ini, hamba mulai bertanya bilakah akan sampai waktu istirehat yang telah dijanjikan.

Kini Ramadhan yang dirindui sudah tiba.

Bagi hamba yang mencari-cari istirehat sebentar, inilah masanya. Benar, urusan dunia terlalu meletihkan. Lalu Allah hadiahkan kepada kita sebuah rumah pengistirehatan sementara. Allah hadiahkan kepada kita sebuah bulan yang penuh ketenangan agar kita tidak berputus harap dari rahmat Allah. Allahurabbi, betapa lembutnya Allah kepada kita.

Ramadhan adalah sebaik-baik bulan untuk manusia kembali kepada Allah. Kembali menilai di manakah letaknya Allah di hati, kembali menilai setinggi apakah cintaNya sudah kita kecapi.

Ramadhan adalah sebaik-baik masa untuk kita bersendiri merenung diri. Tinggalkanlah sebentar dunia yang terlalu meletihkan. Tinggalkanlah sebentar ujian yang terlalu memeritkan.

Kembalilah kepada Allah yang sangat mencintai esak tangis hamba. Kembalilah kepada Allah yang sangat merindui pujuk rayu hamba.

Janganlah bersedih dengan kehidupanmu dan apa yang telah menimpamu. Ketahuilah, Allah terlalu lembut menyantunimu. Pandanglah ramadhan ini sebagai hadiah dari Allah, agar kita kembali merasai nikmatnya menjadi hamba.

Ramadhanmu, sibukkanlah ia dengan ibadah. Agar kau benar-benar kembali kepada Allah.

Benar kan? Allah itu tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Moga-moga dengan hadirnya Ramadhan memberi peluang untuk kita beristirehat sebentar dalam kembara mencari petunjuk dan hikmah Allah dalam setiap ujian yang menimpa.

Demi Allah, Allah terlalu Lembut menyantuni hamba-hambaNya..

Demi bulan yang penuh ketenangan, tinggalkanlah dunia dan kembalilah.. Moga nanti kau temui kemanisannya..


Monday, July 11, 2011

Hinanya sebuah Cinta


Hinanya sebuah cinta....


Mengingati Allah dalam kesunyian menjadkan kita mampu membuang segala pengharapan terhadap makhluk. 

Seketika, bila hamba terlalai daripada mengingati Allah dan lupa menyantuni KalamNya, menjadikan seorang hamba secara tidak sedar meletakkan sepenuh harapan kepada makhluk. 

Seketika, bila makhluk hilang dalam harinya menjadikan hamba tersedar lalu kembali mencari Allah dalam sunyinya.

Allah. Betapa mahal nilai sebuah istiqomah.

Hati tidak terlupakan saat mendapatkan nikmat khusyuk dalam beribadah. Cinta dan rindu yang membuak-buak membuatkan diri asyik membasahkan diri berwudhuk tanda pembersihan hati. Cinta dan rindu yang meluap-luap membuatkan diri asyik dalam takhalli, khusyuk merelakan dahi mencium sejadah.

Tapi pabila nikmat itu ditarik, hati tidak lagi asyik dalam takhalli. Bersunyi-sunyian seorang hamba tidak lagi mengingati Allah. Berkeseorangan seorang hamba tidak lagi membuatkannya mencari Allah. Pabila nikmat itu ditarik, sunyi kita memikirkan manusia, seorang kita mencari manusia.

Allah. Betapa mahal nilai sebuah istiqomah.
Apakah begitu murah cinta dan rindu kita kepada Allah sehingga terus melupakannya dalam bahagia?

Apakah begitu hina cinta dan rindu kita kepada Allah sehingga hanya mengingatinya saat berduka?

Ya Allah, begitu mahalkah sebuah istiqomah sehingga tiap kali aku bahagia aku akan melupakanmu? Kemudian Kau tarik nikmat beribadah dari diriku?

Ya Allah, begitu hinakah sebuah cinta sehingga aku hanya kembali mencarimu saat aku kehilangan manusia dalam hariku?

Ya Allah, betapa hinanya cintaku.

Wednesday, May 18, 2011

Cinta dan Rumi



Puisi.


Melaluinya, rasa diterjemah melalui butir-butir huruf yang kemudiannya membentuk kata. Tidak perlu berangkai-rangkai memenuhi selembar muka. Mungkin memadai sehingga rasa itu dapat diterjemah dengan baik. 


Tetapi yang menulis tak sama seperti yang membaca. Adakalanya rasa itu tidak dapat ditafsir dan dinilai sama seperti hakikat maksud yang tersirat.


Apa saja rasa yang dirasai. Rasa bertuhan. Rasa kehambaan. Rasa sedih atau kecewa. Rasa suka atau gembira. Adakalanya berkongsi rasa tentang alam semulajadi dan ciptaan. Dan semuanya terpantul melalui suatu rasa : Cinta.


Cinta dan Ar-Rumi.


Ar-Rumi begitu puitis sehingga kadangkala saya tidak berjaya menangkap maksud tersirat di sebalik yang tersurat. Puisi agung Ar-Rumi mengenai ketuhanan dan kehambaan tidak dapat ditandingi. 


Kecintaan tahap apakah yang menjadikan jiwa hamba ini terlalu halus sehingga berjaya menawan hati yang angkuh, mensuci hati yang ternoda, memutih hati yang hitam, menyuluh jiwa yang kelam?


Setinggi manakah hamba ini menggunakan seluruh deria, anggota dan tubuh bagi melangkah mencari Tuhan? Sehingga setiap apa yang dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, disentuh oleh tangan dan ditapaki oleh kaki membawanya menuju Tuhan.


Saya hanya mahu menjadi sehalus Ar-Rumi; tidak melihat sesuatu melainkan melihat Allah padanya,  tidak melihat sesuatu melainkan Allah bersamanya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah sebelumnya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah selepasnya!


Ar-Rumi : Keajaiban Cinta 


"Jika engkau bukan seorang pencinta, maka jangan pandang hidupmu adalah hidup. Sebab tanpa Cinta, segala perbuatan tidak akan dihitung pada Hari Perhitungan nanti. 


Setiap waktu yang berlalu tanpa Cinta, akan menjelma menjadi wajah yang memalukan dihadapanNya.


Burung-burung Kesedaran telah turun dari langit dan terikat pada bumi sepanjang dua atau tiga hari. Mereka merupakan bintang-bintang di langit agama yang dikirim dari langit ke bumi. Demikian pentingnya Penyatuan dengan Allah dan betapa menderitanya Keterpisahan denganNya.

Wahai angin, buatlah tarian ranting-ranting dalam zikir hari yang kau gerakkan dari Penyatuan. Lihatlah pepohonan ini! Semuanya gembira bagaikan sekumpulan kebahagiaan. Tetapi wahai bunga ungu, mengapakah engkau larut dalam kepedihan? Sang lili berbisik pada kuncup : “Matamu yang menguncup akan segera mekar. Sebab engkau telah merasakan bagaimana Nikmatnya Kebaikan.”

Di manapun, jalan untuk mencapai Kesucian Hati adalah melalui Kerendahan Hati. Hingga dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan : “Bukankah Aku ini Rabbmu ?”



Masturah Abu Bakar
Baiti Jannati

Friday, April 15, 2011

Hamba yang hina

Monolog. . Di manakah DIA di hatiku?




Apabila ditanya apa khabar imanku? Ada suatu rasa yang menambat sayu. Lalu aku bertanya, apakah akan berkurang rasa kecintaanku apabila bertambahnya urusan keduniaanku?


Aku mengeluh sendiri.


Imanku tidak sihat. Mujahadah itu berat.


Tetapi aku percaya Allah Maha Melihat.


Aku bisik sendiri. Walau mujahadah itu berat, namun langkahmu tak boleh terhenti. Kerana episod kehidupan masih panjang, banyak ranjau yang menanti.


Begitupun kita inginkan kerehatan, tetapi ia bukan terapi semasa hayat kita di dunia ini. Sungguh, hanya syurga tempat kerehatan abadi.


Aku terfikir lagi, di kala manusia sibuk bermaksiat kepada Allah. Engkau wahai sekeping hati yang dikurniakan Allah hanya secuit hidayah berusaha bermujahadah. Malangnya, kadangkala tetap aku terjatuh dan tersungkur di lembah hina. Lalu merayu dan memohon kepada Allah untuk diberikan hati yang baru.


Hmm. Begitulah selalunya. Jatuh dan bangunnya aku.


Kadangkala luka mujahadah itu sudah ingin sembuh. Tetapi penawar luka itu selalu lekas habis dek kerana timbunan ujian dunia yang menambah goresan agar ia berdarah kembali. Lalu benar, luka mujahadah berdarah kembali.


Tuhan, aku hamba yang hina. Maafkanku Tuhan kerana tak mampu mencintaiMu sesempurna Kau mencintaiku.




Masturah Abu Bakar
Petaling Jaya

Wednesday, September 08, 2010

Beberapa catatan di akhir Ramadhan..

"Allah, aku inilah hambaMu yang mencari cinta dan hidayahMu.."


Beberapa catatan hati di akhir ramadhan...


1. Hari ini sudah mencecah 29 Ramadhan. Sekejap sahaja masa berlalu.


2. Sehingga ke hari ini rasanya masih belum kutemui kelazatan nikmat beribadah. Mujur Allah temukan aku dengan Ramadhan. Nikmat Ramadhan yang hanya sebentar ini merupakan nikmat terbesar. Ramadhan menjadi 'pendidik' dalam ibadahku.


3. Sayu rasa hati. Bulan berkah, bulan ibadah. Mungkin ada sesetengah manusia yang merasakan bukan Ramadhan sahaja bulan ibadah, bahkan semua bulan adalah bulan ibadah. Biarlah. Biar gelaran 'Ramadhan bulan ibadah' menjadi pasakan hamba yang dhaif seperti aku. Agar aku tidak lupa Allah. Agar aku tidak lupa ibadah.


4. Beberapa hari dalam ramadhan, aku bertanya kepada Allah. 'Di mana cintaMu ya Allah, di mana hidayahMu ya Allah?'. Aku bertanya, apakah tidak layak buatku dikarunia nikmat cinta dan hidayahMu? Sehingga begitu sukar buatku mengecap kelazatan nikmat dalam beribadah kepadaMu?


5. Beberapa hari dalam ramadhan, aku juga belajar sesuatu. Belajar untuk tidak bergantung kepada manusia. Belajar untuk sepenuhnya menyerahkan pergantungan kepada Rabbku. Belajar untuk mengharap kepada Allah lebih daripada mengharap kepada sahabat-sahabatku. Belajar untuk bersendiri dengan Allah lebih daripada fana dengan nikmat persahabatan yang Allah kurniakan kepadaku. Kerana sahabat adalah makhluk. Makhluk tidak kekal tetapi Allah kekal. Sahabat datang dan pergi tetapi Allah tetap bersamaku. Allah.. Allah..


6. Beberapa hari dalam Ramadhan, aku juga dididik bahawa nikmat dunia adalah sementara. Sungguhpun ia berupa kecantikan, harta, persahabatan, ibu bapa, keluarga dan apapun. Ia hanya pinjaman Allah.


7. Beberapa tahun sebelum Ramadhan ini, aku dikurniakan Allah seorang sahabat, yang susahnya melebihi kesusahanku. Yang deritanya melebihi deritaku. Yang ibadahnya melebihi ibadahku. Yang taqwanya melebihi taqwaku. Dan di bulan Ramadhan ini Allah permudahkan urusannya.  Ramadhan ini bermakna baginya dan bermakna bagiku. Dan aku berpesan padanya pada Ramadhan kali ini, 'Ukhti bukan malaikat, jadi aku di sini sedia membantumu.'


8. Bulan-bulan selepas Ramadhan ini, syaitan sudah mulai menjalankan tugas 'mengganggu manusia' seperti apa yang telah dijanjikannya kepada Allah. Aku juga akan diganggu. Bisikan nafsu, lalai, alpa, leka. Allahuakbar, betapa beratnya.  Tak sanggup menempuh hari-hari selepas ini tanpa Ramadhan.


9. Hari ini, sudah mencecah 29 Ramadhan. Sekejap sahaja masa berlalu. Amal ibadah yang kurang, maksiat yang bertambah dan apa sahaja yang telah aku lakukan sudah berlalu. Berlalu dengan penyesalan.


10. Di akhir catatan di akhir Ramadhan. Buat kesekian kalinya aku berdoa. Moga Ramadhan ini bukan yang terakhir bagiku..




Jika terakhir buatku (Saujana)

Oh Tuhan
Hamba-Mu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerna dipaut hasut dunia
Mencintai yang lain lebih dari-Mu

Oh Tuhan
Hidayah-Mu pernah hadir
Hingga kering airmataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerna mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini ku bimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untuk ku bernafas
Dan sujud mengabdi pada-Mu
Oh Tuhan

Berikan daku kesempatan
Menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakanmu
Hadirkan damai
Sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjuk-Mu
Untuk ku meniti ke jalan redha-Mu
Izinkan daku mengulangi
Janji-janji yang baru
Taubat nasuha setulus untuk-Mu
Oh Tuhan

Rahmat kasihMu Tuhan
Ampunan-Mu ku damba






Masturah Abu Bakar
Ghurfah Layyinulharir, Sungai Buloh

Saturday, May 01, 2010

Mari mencitakan kematian!







Di suatu malam yang hening di perang Uhud, ketika semua orang cemas berjaga musuh, seorang hamba dengan rendah hati menadah tangan.


"Ya Allah, aku bersumpah kepadaMu"


"Bahawa esok pagi akan aku bertemu musuh. Aku akan membunuhnya dan mereka akan membunuhku. Lalu akan mereka robek perutku, menghiris hidungku dan mencarah telingaku."


"Lalu aku menghadapMu dan Dikau bertanya kepadaku, demi siapa kau lakukan semua ini?"


Dan aku akan menjawab, "UntukMu."


Pemuda itu kemudian menyapu tangan kemukanya, kemudian mula bersedia jiwa dan raga untuk itu. Abdullah bin Jahsyi.


Saad bin Abi Waqas yang menceritakan doa ini kemudiannya menitiskan air mata hiba.


"Aku mendapatkan apa yang kumohon dalam doaku. Tetapi doa Abdullah lebih baik dariku."


"Aku berdoa kepada Allah agar bertemu musuh yang kuat, lalu aku mengalahkannya dan mengambil rampasannya."


"Tetapi dia berdoa untuk menghadap Allah dalam keadaan yang paling diredhaiNya. Sesungguhnya dia mendapatkannya. Dia mendapatkannya.."


Pernahkah kita mencitakan kematian? Merencana doa dan upaya demi sebuah kematian dengan penuh ikhlas? Merencana doa demi sebuah pertemuan dengan Maha Kekasih, Pecinta Agung daripada sekalian pecinta?


Ya, sememangnya begitu.


Jika benar hidup dan mati kita hanya untuk Allah, mari kita mencitakan kematian!






Layyinulharir

Saturday, April 17, 2010

Izinku meminangmu.



Pabila merasakan masa terlalu cepat berlalu, dan kadangkala merasakan seakan-akan bermain 'kejar-kejar" dengan masa, saya mula merasai sesuatu. Risau. Risau dengan usia yang semakin meniti dewasa. Risau dengan amalan yang masih tidak seberapa. Risau dengan masa depan yang tak terjangka. Dan yang 'ter' risau ialah konsistensi diri dalam perjuangan dakwah ini.


Saya berfikir-fikir, apa sebenarnya formula yang paling berkesan untuk mengekalkan konsistensi perjuangan dakwah di masa hadapan. Lalu saya terjumpa sesuatu.


Lazimnya, saya dan sahabat-sahabat selalu berdoa begini dalam soal jodoh.


"Allahumma sakhirli zaujan solihan. wayukhtibuni, wayatazauwajubi, wayakunu sohiban li fiddunya waljannah."


Apa kata kita meniatkan 'zaujan' dalam doa itu adalah perjuangan. Subhanallah.


Ya Tuhan, izinkanku meminang perjuangan dakwahmu, agar sampai aku nikahi jalan perjuangan ini. Untuk selamannya hidup bersamanya.


Selamat beramal! :)

Wednesday, February 10, 2010

Thank you Allah ;'(


I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
further and further away from you

Ooooo Allah, you brought me home
I thank you with every breath I take

الحمد لله الحمد لله
All praises to Allah


I never thought about
All the things you have given to me
I never thanked you once
I was too proud
to see the truth
And prostrate to you
Until I took the first step
And that's when you opened the doors for me
Now Allah, I realized what I was missing
By being far from you

الحمد لله
All praises to Allah

Allah, I wanna thank you
I wanna thank you for all the things that you've done
You've done for me through all my years I've been lost
You guided me from all the ways that were wrong
And did you give me hope

O Allah, I wanna thank you
I wanna thank you for all the things that you've done
You've done for me through all my years I've been lost
You guided me from all the ways that were wrong
I wanna thank you for bringing me home

الحمد لله
All praises to Allah

الحمد لله

Monday, November 09, 2009

Tahajud dan Berkah




Sesungguhnya
Andai kutahu
Pada TAHAJUD itu ada BERKAH
Pasti akan kuhadir pada Mu
Saat setiap kali
Kau panggil sayup namaku


Sesungguhnya
Andai kusedar
Kau acapkali menyeru,
Kau ingin bersama hamba Mu
Dalam ruku'
Dalam sujud
Pasti akan kugagahi TAHAJUDKU
Walau dingin malam menjajahiku


Tuhan,
Sesungguhnya sudilah kiranya
Pada setiap hariku
Kau tetap memanggil namaku
Dalam beribu untaian nama
Yang tiap hari menjadi tamumu
Dalam saat TAHAJUD itu


Ya Allah,
Sesungguhnya
Sudilah kiranya
Kau pancarkan BERKAHMU
Kepadaku
Seperti yang Kau perlihatkan
Pada jiwa-jiwa Murobbi
Yang mendamaikan kalbu


Ya Allah
Sesungguhnya kumerayu
Sudilah kiranya Kau menjemputku
Dalam Uzlah
Dalam Sunyi
Dalam Kholwah
Dalam Sepi
Bersama Mu Rabbi
Kerna kuyakin
Pada TAHAJUD itu ada BERKAHMU
buatku..







Hambamu,



Thursday, June 11, 2009

Dimana?

Di mana Kau Letakkan Cinta?

"Adakah kau mampu mengatakan
bahawa kau telah menjadi seorang pencinta,

Adakah kau sanggup
menanggung segala perasaan cinta?

Dan adakah kau yakin
bahwa segala perasaan cinta itu
adalah benar-benar cinta?"


"Bila dalam diammu
Kau dengarkan suara-suara Sang Kekasih
Bila dalam renungan
Yang kau pandang hanyalah Kekasih
Bila tangis dan airmata jatuh
Hanya kerana rindu kepada Kekasih
Hingga dadamu
penuh dengan nama Kekasih
Hingga seluruh batang tubuhmu
Memanggil nama Kekasih
Dan tak ada yang lain selain Kekasih"

"Maka terimalah segala suka dan duka
yang kan Dia pinta kepadamu
Apakah kau benar-benar
Seorang Pecinta atau Pendusta"

"Di mana kau letakkan CINTA?"


Karya : Doddy Iskandar
Antologi puisi sufi
Cinta Pohon Tamar

"Ya Allah, sesungguhnya aku mencintaiMu dengan sebenar-benar cinta. Mohon jangan kau uji cintaku ini dengan ujian yang tak mampu aku tanggung sendiri tanpaMu.."

Layyinulharir
Baiti Jannati
15 : 15

Sunday, April 26, 2009

HIngga mati pun

Tuhan,
Andai..
hingga terputus nyawaku
hingga terkaku jasadku
hingga terkatup mataku
Tidak putus-putus akanku memujiMu
kerana hingga mati pun
aku tetap malu
dengan limpah kurniaMu
yang tak pernah hilang
dan aku hanya mampu
mengucup sejadah
mengucap syukurku
kerana hingga mati pun
Rahmat dan RahimMu
tak bisa dapat kuhisab..

Sunday, April 19, 2009

Kembara menjejak cinta Ilahi..

Alangkah sukarnya menjaga iman, perlu dibajai, disemai, disiram, diberi perhatian, dimanja. Andai ia layu, alangkah sukarnya mendapatkannya kembali. Mencari cinta Illahi ibarat mencari mutiara yang tenggelam dalam luas lautan yang dalam..

(Rangkaian puisi monolog HAMBA buat TUHANnya..)

1. Bila aku berbuat dosa

Bila aku berbuat dosa,
Imanku jijik melihatku

Ia lihat jelaga hitam

kian membaluti tubuhku

titik noda merebak

berangkai dan m
embiak
Iman berkali memanggilku

Ia seru agar aku menoleh

walau sebentar cuma
Ia harap aku kan kembali

kembali
sujud
kembali rebah

kembali tadah

pada Tuhan
ku..

2. Jangan!

Ya Rahman,

jangan hilangkan CINTA ini

jangan hilangkan RINDU ini

jangan hilangkan TANGIS ini

jangan hilangkan
HATI ini
jangan hilangkan JIWA ini

jangan hilanhkan IMAN ini..

Tolong Tuhan,
bantu aku menjadi hambaMu..

3. Menjejak cinta Ilahi


Aku bermusafir mencari IMANku yang hilang
mencari CINTAku y
ang suram
hati sepi

hati sunyi

Aku berkembara
menjejak kembali
CINTA ILAHI
..



Bila kita berjaya mendapatkan cinta Tuhan, jangan mengendahkannya. Cinta Tuhan cukup mahal. Bila kita lalai ia kan mati, bila kita leka ia kan pergi. Lalu apakah maknanya lagi hidup ini tanpa CINTA ILAHI??


-Bicara sendiri-
LAYYINULHARIR
19/4/09



Puisi di dalam gambar ini diambil daripada www.teduhan.blogspot.com

Saturday, March 14, 2009

Diriku..



Diriku,

Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
Kau terlupa membaja taman hatimu sendiri,
Agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
Tersentuh dengan daulatNya,
Merasa terpikul amanah ad-Deen ini..

Diriku…

Seringkah kau mencari jalan
Agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhanNya
Agar sentiasa sedar akan keagunganNya
Insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan, dan kesilapan dirimu..?
Ketahuilah diriku,Hatimu itu keras, khusyukmu kurang
Syukur dan redhamu tidak banyak kau hadiahkan padaNya
Terlalu banyak kurang dan salahmu..

Diriku..

Tunaikankanlah solatmu dalam khusyuk dan tenang
Muhasabahlah dirimu kala sunyi,
Selamilah kalam-kalam al-Quran yang kau perjuangkan
Padanya ada bekalan
Untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini

Diriku…

Pada nawafil dan amalan sunat
Ada jalan yang hampir utkmu berkasih sayang dengan Tuhanmu
Pada qiamullail di keheningan malam
Bersama bisikan doa dan munajatmu
Diiring esak airmata keinsafan dan keikhlasan
Kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaranNya
Di situ ada bekalnya..
Lazimilah awal harimu dengan al-Ma'thurat
Pasti kau akan mengenali dirimu sebagai daie

Diriku..
Pada tawadhuk, pada ukhwafillah, pada infaq fisabilillah
Pada uzlah muhasabah diri, pada zikir dan selawat
Ada ketenangan dan kekuatan

Diriku..

Amanahlah kau di hadapan manusia
Kerana kedaulatan
TuhanmuNamun rasailah kekerdilan dirimu
Di hadapan kudrat dan iradatNya
PASAKKAN KEYAKINAN UNTUK SATU PERUBAHAN

Wednesday, March 04, 2009

Menuju Mu Ya Rabb

Kadang-kala diri ini
Terasa ingin melarikan diri
Ke suatu tempat yang tiada penghuni
Jauh daripada fitnah duniawi
Hanya ingin bersendiri
Tiada siapa di sisi
Hanya Dia yang sentiasa di hati
Rabb-ku yang dirindui

Ku terus berlari
Mencari cinta Hakiki
MenujuMu ya Rabbi

Ya Robbi...
tetaplah bersamaku...
jangan tinggalkan aku dalam keadaan apapun...

maafkanlah...
bila hati,,
tak sempurna mencintaiMU..
dalam dada,,
kuharap hanya diriMU yang bertahta..

meski ku rapuh..
dalam langkah..
kadang tak setia,,kepadaMU..
namun cinta dalam jiwa...
hanyalah padaMU....


oleh: DeynaRashid
Sumber : Iluvislam

Tuesday, February 17, 2009

Syair Cinta

Elaik - imam Syafie


Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan sekalian makhluk tentang harapanku

Walaupun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah

Ketika keras hatiku dan terasa sempit perjalananku

Kujadikan rayuan (rintihan) ku sebagai jalan mengharapkan
keampunanMu

Bilamana Kau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini

KurniaanMu dan keampunanMu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan

Bukankah Engkau yang memberiku makan serta hidayah

Janganlah Kau hapuskan kurniaan anugerah dan nikmat itu daripadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)

Semoga Yang Memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku

Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu

Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkanku dari kederhakaan

kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari
berhimpun kesedihan

Namun jika Kau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa

Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan diriku ke dalam neraka

Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati Rabbnya

Ketika dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu

Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap

Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon

Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu

Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar

Di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap aku berharap

Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang

Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini

Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar (agung) dan lebih mulia


p/s : Kalo nak download lagunya(arabic) di sini ya -elaika-





Saturday, June 21, 2008

Munajat seorang hamba..


Dengan namaMu ya Allah..

Ya Tuhanku,

aku tahu Engkau melihatku
Meski mata ku tak mampu melihatMU
Aku tahu Engkau mendengar bicaraku
Meski telingaku tak mampu mendengarkanMU
Namun ya Rahman,
hatiku merasai kehadiran-MU..

Ku tundukkan kepala
Ku tundukkan bahu
Aku mengakui Engkau penciptaku..

Ya Allah Ya Rahman
Aku bersaksi bahawa Al-Quraan mu benar
Aku bersaksi bahwa Nabi Muhammad-Mu benar
Aku bersaksi bahwa para nabi dan rasul-Mu benar
Semuanya mengajarkan aku tentangMU Ya Allah
Semua telah mengajarkan tentang nama-nama Engkau
Semua telah mengajarkan kemulian Engkau
Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Engkau
Dan Nabi Muhammad adalah utusanMU

Asyhaduallahilahalillah
Waasyhaduannamuhammadarrasulullah..

ya Allah..
Jangan biarkanku mencintai dunia
Jangan biarkanku mencintai diriku
Melebihi cintaku kepadaMU

Allahumma ya Allah..
Berikanku kekuatan
berikanku petunjuk
Untukku menjalani sisa kehidupan ini
Agar aku mampu berjalan mengikut kehendak-Mu..

Ya Allah..
Palingkanku apabila aku bersalah
Halangi aku apabila aku melakukan noda
Ingatkan diri hina ini Ya Allah..
TanpaMU Nescaya aku akan terjerumus ke dalam neraka..
Tuntunilah aku ke jalanMu..
Ya Allah Ya Rahman..

Allahumma Ya Allah
Saat ini izinkanku merasakan kebahagiaan
yang dirasakan Nabi Muhammad...
Merasakan kedamaian ketika berjumpa dengan-Mu
Siramilah aku dengan rasa cinta dan kenikmatan..
Seperti kenikmatan yang Kau berikan
kepada Nabi Muhammad saat berjumpa dengan-Mu
Sirami jiwaku dengan karunia dan rahmat-Mu
Penuhi hatiku dengan cinta kepada-Mu..
tolonglah ya Allah..

Ya Allah..
Jangan biarkan hatiku kosong..
Isilah dengan asma-Mu...
Isilah dengan tauhid-Mu...
Karena itu siramilah hati ini dengan kasihMu
bajailah diri ini dengan hidayahMu
Agar hatiku tenteram tika menghadapi ujian
Agar hatiku senantiasa merasa kecukupan pabila kekurangan
Agar hatiku damai tika di ambang bahaya..

sesungguhnya Tuhanku,
Harapanku hanya Engkau
Kekuatanku hanya Engkau
Hartaku hanya Engkau..

Allahumma ya Allah..
Mohon kiranya Kau kabulkan permohonanku..
Berilah kami secebis kekuatanMU
semoga keyakinan Nabi Muhammad merasuk kedalam hati ini
Keyakinan yang tidak bisa ditukar dengan dunia
Keyakinan yang tak bisa ditukar dengan kemilau harta
Keyakinan berupa kenikmatan
kenikmatan berjumpa dengan-Mu ya Allah..

Allahumma ya Allah..
Jadikan aku penghuni syurga-Mu
Tempat mengalirnya kebahagiaan yang tak terperi
Kedamaian yang tak pernah dapat kubayangkan
Berjuta kebahagiaan..
Berjuta kedamaian..
Berjuta kenikmatan..
Berjuta keindahan..

Duhai Allah..
Ketika aku ditakdirkan menghadapMu
izinkan aku bersemadi di Jannatun NaimMU
Berbahagia di syurga Firdaus-Mu..

Dengan namaMU ya Allah..
Aku akan terus berjuang
Karena janji-Mu adalah benar
Balasan syurgaMU adalah sebuah kepastian..

Duhai Allah
Izinkanku berjumpa dengan Nabi Muhammad
Melihat wajah indahnya..
Seterang cahaya rembulan

Ya Allah..
Izinkan aku kelak berkumpul bersama-Mu
Bersama para nabi..
Bersama para rasul..
Di tempat yang abadi selama-lamanya...

Ameen ya Rabbal Alamin..


::LayyinulHarir::
13.20 pm

Thursday, February 07, 2008

tuhanku..

ya allah
dikala hati ini
sarat
dibebani
dihujani
liku kehidupan
duri perjalanan
tribulasi yang mencengkam
aku pasti
bahawa Kau
selalu bersamaku..


-masturah-

Saturday, December 22, 2007

cinta hakiki...

disini saya bawakan satu kisah menarik yang dapat membawa kita mendalami erti cinta sebenar..

Rabiah Al Adawiyah: Perindu Kecintaan Allah

Rabiah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.


Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabiah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.

Rabiah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

Setiap malam begitulah keadaan Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.

Seperkara menarik tentang diri Rabiah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.

Rabiah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.

Rabiah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?

Kecintaan Rabiah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.

Begitulah keadaan kehidupan Rabiah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.