The difference is that a statesman thinks he belongs to the State, and a politician thinks the State belongs to him
Saturday, May 21, 2011
Murobbiyah hingga ke syurga
Pernahkah anda mengenali seseorang saat hari dia pergi dijemput Allah?
Saya pernah. Hari itu adalah hari ini. Seseorang itu adalah Bunda Yoyoh Yusra yang amat saya kagumi.
Pagi ini saya menyemak 'timeline' di twitter seperti hari-hari biasa. Macam-macam status dari rakan-rakan twitter. Saya tak lupa melihat tweet dari Salim A. Fillah, seorang penulis spiritual terkenal. Beliau asyik memperkatakan mengenai seseorang, Bunda Yoyoh Yusra.
Lalu saya menjejaki sosok itu. Subhanallah. Rupa-rupanya Bonda Yoyoh adalah seorang Ahli Parlimen DPR Republik Indonesia, yang mewakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Dengan itu jemari saya semakin ligat mencari siapa sebenarnya sosok hebat ini.
Bunda Yoyoh seorang ibu kepada 13 orang anak, 9 lelaki dan 4 perempuan. Beliau merupakan antara pengasas PKS pada saat revolusi 1998. Dalam hayatnya, Bunda Yoyoh terkenal sebagai aktivis masyarakat yang banyak mendepani isu wanita, keluarga dan pembangunan sosial.
Saya mengagumi Bunda Yoyoh setelah membaca 'Bonda Yoyoh dalam ingatan' oleh beberapa rakan dari Indonesia.
1. Apabila ditanya apakah beliau tidak letih menguruskan anak-anak. Jawab beliau sambil tersenyum, "Alhamdulillah, ramai anak itu malah meringankan!"
2. Ketika saat menanti majlis forum di mana beliau adalah di antara panelisnya, beliau berehat di belakang pentas bersama suami. Saat itu kelihatan Bonda Yoyoh dan suami sedang mengulang ayat-ayat suci Al-Quran bersama-sama.
3. Apabila ditanya, berapa banyak halaman yang sudah dihabiskan, jawab beliau sambil tersenyum, "Masih sedikit berbanding apa yang harus kami tunaikan, hanya 3 juzuk." Ditanya apakah beliau sempat, jawab beliau "Berdepan dengan banyak masalah dan ramai orang memerlukan kita membaca Al-Quran dengan lebih kerap!"
4. Apabila ditanya, apakah beliau mempunyai masa yang diluagkan untuk anak-anak. Beliau menjawab, "Ternyata masa bersama anak-anak adalah sedikit tetapi kesedaran berdikari harus ditanamkan sejak kecil!"
5. Beliau sangat mementingkan persoalan pembinaan generasi buat bakal-bakal ibu. Lalu beliau berpesan, "Jaga suapan gizi. Jangan sampai Allah mengherdik kita jika generasi kebangkitan Islam lemah disebabkan ibunya makan sembarangan!"
6. Beliau juga selalu berbagi pesan dalam persoalan rumahtangga. Beliau pernah menasihat, "Hidup berumahtangga itu harus saling memberi.
Setelah membaca kenangan-kenangan insan yang mengenali beliau, saya jadi ingin sekali mengenali Bunda Yoyoh.
Bayangkan, mujahidah dakwah, sehingga tiada pun masih berdakwah, sehingga kembali pun masih mentarbiyah..
Moga Bonda Yoyoh menjadi murabiyyah hingga ke syurga Allah..
Masturah Abu Bakar
Wednesday, May 18, 2011
Cinta dan Rumi
Puisi.
Melaluinya, rasa diterjemah melalui butir-butir huruf yang kemudiannya membentuk kata. Tidak perlu berangkai-rangkai memenuhi selembar muka. Mungkin memadai sehingga rasa itu dapat diterjemah dengan baik.
Tetapi yang menulis tak sama seperti yang membaca. Adakalanya rasa itu tidak dapat ditafsir dan dinilai sama seperti hakikat maksud yang tersirat.
Apa saja rasa yang dirasai. Rasa bertuhan. Rasa kehambaan. Rasa sedih atau kecewa. Rasa suka atau gembira. Adakalanya berkongsi rasa tentang alam semulajadi dan ciptaan. Dan semuanya terpantul melalui suatu rasa : Cinta.
Cinta dan Ar-Rumi.
Ar-Rumi begitu puitis sehingga kadangkala saya tidak berjaya menangkap maksud tersirat di sebalik yang tersurat. Puisi agung Ar-Rumi mengenai ketuhanan dan kehambaan tidak dapat ditandingi.
Kecintaan tahap apakah yang menjadikan jiwa hamba ini terlalu halus sehingga berjaya menawan hati yang angkuh, mensuci hati yang ternoda, memutih hati yang hitam, menyuluh jiwa yang kelam?
Setinggi manakah hamba ini menggunakan seluruh deria, anggota dan tubuh bagi melangkah mencari Tuhan? Sehingga setiap apa yang dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, disentuh oleh tangan dan ditapaki oleh kaki membawanya menuju Tuhan.
Saya hanya mahu menjadi sehalus Ar-Rumi; tidak melihat sesuatu melainkan melihat Allah padanya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah bersamanya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah sebelumnya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah selepasnya!
Ar-Rumi : Keajaiban Cinta
"Jika engkau bukan seorang pencinta, maka jangan pandang hidupmu adalah hidup. Sebab tanpa Cinta, segala perbuatan tidak akan dihitung pada Hari Perhitungan nanti.
Setiap waktu yang berlalu tanpa Cinta, akan menjelma menjadi wajah yang memalukan dihadapanNya.
Masturah Abu Bakar
Baiti Jannati
Wednesday, February 02, 2011
Mubarak buta, pekak, tuli
Kenyataan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy berhubung isu Revolusi Mesir
Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.
Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Pergilah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”. Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.
Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan dan meninggalkan Mesir yang sudah kehilangan berbilion-bilion wang. “Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”. Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.”
Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. “
Sheikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.
Rakyat dan Tentera
Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.
Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram.”
Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.
Sumber: al-Jazeera.
Link asal:
http://inijalanku.wordpress.com/2011/01/30/medan-at-tahrir-kaherah-menjadi-medan-asy-syuhadak/
Saturday, January 29, 2011
Tuesday, December 28, 2010
Muhammad Abduh, Islam dan Barat
Pernah saya tanyakan kepada seorang penceramah mengenai Islam dan ideologi Barat. Adakah wujud pengintegrasian antara nilai-nilai Barat dan Islam? Saya juga tanyakan hal ini kepada seorang rakan facebook, jawapannya negatif, lebih kurang begini :
"Islam itu apa? Apakah begitu rendahnya Islam sehingga terpaksa mencedok nilai-nilai Barat?"
Muhammad Abduh dan keterbukaan
Kebetulan saya sedang membaca buku nipis mengenai tokoh modern reform movement, Muhammad Abduh. Tajuk buku tersebut ialah "Muhammad Abduh : Pengaruhnya kepada pembaharuan politik Islam di Malaysia" karya Zulkifli b. Hj Mohd Yusoff, terbitan Al-Bayan.
Muhammad Abduh tampil dengan idea pembaharuan dalam sistem pendidikan, akibat daripada pengalaman beliau melalui proses pembelajaran dalam sistem pendidikan yang dianggap konservatif dan tidak berkesan. Muhammad Abduh mencadangkan idea sistem pendidikan moden yang selaras dengan perkembangan zaman dan berteraskan Islam.
Namun, idea pembaharuan ini mendapat tentangan dari dalam dan luar. Penentangan dari dalam adalah dari kalangan orang Islam sendiri. Penentangan ini bersifat warisan berikutan penolakan terhadap pengajian falsafah yang boleh merosakkan aqidah Islamiyah kerana terlalu banyak menggunakan rasional akal. Bahkan, ada di antara ilmuwan yang menyebut bahawa tiada ilmu yang lebih hina daripada ilmu falsafah.
Muhammad Abduh berpendapat bahawa ilmu-ilmu seperti falsafah, mantiq dan hisab patut dipelajari oleh umat Islam kerana Islam sendiri bersifat menyeluruh. Namun, dalam keadaan masyarakat yang konservatif, idea islah dalam bidang pendidikan ditolak. Sebagai contoh, masyarakat umat Islam ketika itu tidak mahu menggunakan alat pencetak buku kerana ianya direka oleh Barat.
Tokoh-tokoh agama juga bersikap rigid dan tidak terbuka sehingga menganggap sesuatu yang datang dari luar daripada kerangka Islam adalah menjijikkan. Ada di antara mereka yang berkata :
"What kind of a Shaikh is this who speaks French, travels in European countries, read European books and teaches the ideas of European philosophers?"
Ilmu sains juga adalah antara ilmu kontroversi dalam kalangan ulama. Tidak ramai di antara mereka yang mahu memperkatakan mengenai sains apatah lagi mengharuskannya. Dalam hal ini, Muhammad Abduh mengharuskannya dengan mengangkat peranan akal yang dikurniakan oleh Tuhan dengan dipandu oleh wahyu.
Abduh tokoh integrasi Islam dan Barat
Penulis membuat kesimpulan bahawa Muhammad Abduh adalah seorang yang berjiwa besar tampil ke lapangan masyarakat Islam untuk mengintegrasi Islam dan Barat yang selama ini bertentangan di antara satu sama lain.
Sikap umat terdahulu terhadap permasalahan ini terbahagi kepada dua pendirian. Pertama, menolak mentah-mentah apa sahaja yang datang daripada Barat tanpa menilai terlebih dahulu baik atau buruk. Kedua, bersikap menerima bulat-bulat kebaikan atau keburukan yang datang dari Barat yang dianggap serba maju.
Muhammad Abduh hadir dengan satu formula baru dengan berpandangan umat Islam tidak patut menolak terus sesuatu yang datang dari Barat. Hal ini disebabkan banyak nilai tamadun Barat sebenarnya dicedok daripada Timur yang kebetulan berada dalam keadaan lemah setelah menguasai dunia suatu masa dahulu. Umat Islam juga tidak boleh menerima secara terus apa yang datang dari Barat kerana tidak semuanya mendatangkan kebaikan.
Muhammad Abduh berpendirian untuk membuat pengolahan semula sesuatu yang datang dari Barat dengan nilai-nilai kejiwaan Islam sehingga lahir suatu integrasi yang unggul dan bermanfaat buat umat Islam. Beliau hakikatnya bersifat terbuka terhadap dunia Barat tanpa mengenepikan prinsip Islam.
Apa yang menarik, penulis menyatakan sebenarnya Muhammad Abduh telah melakukan kesilapan besar apabila beliau tidak meletakkan sekatan atau garis panduan sejauh manakah reformasi itu harus berlaku dalam pengajaran Islam dan sejauh manakah peradaban Barat itu boleh diterima.
Tetapi, pada zaman ini, idea 'islamisasi ilmu' ini telah diolah dengan baik oleh beberapa tokoh ilmuan Islam seperti Ismail al-Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ziauddin Sardar.
Masturah Abu Bakar
Thursday, May 28, 2009
Rahsia Pemimpin berkaliber
Hari ini, hari yang tercatat dalam sejarah Islam dan sejarah dunia. Kota Konstantinopel yang dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah telah ditakluki oleh Sultan Muhammad bin Murad atau Sultan Muhammad Al-Fateh. Tarikh yang diabadi dalam jiwa pejuang-pejuang Islam 27 - 05 - 1453.
Apa rahsia kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh yang tiada pada kita?
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.
Itulah rahsianya, rahsia pemimpin berkaliber. Tarbiyah Ruhiyyah.Kita bagaimana?? Tepuk dada, tanya iman.
Baiti Jannati
14 : 15
Sumber cerita : link
Tuesday, February 17, 2009
Syair Cinta
Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan sekalian makhluk tentang harapanku
Walaupun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah
Ketika keras hatiku dan terasa sempit perjalananku
Kujadikan rayuan (rintihan) ku sebagai jalan mengharapkan
keampunanMu
Bilamana Kau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini
KurniaanMu dan keampunanMu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan
Bukankah Engkau yang memberiku makan serta hidayah
Janganlah Kau hapuskan kurniaan anugerah dan nikmat itu daripadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)
Semoga Yang Memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku
Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu
Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkanku dari kederhakaan
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari
berhimpun kesedihan
Namun jika Kau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa
Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan diriku ke dalam neraka
Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati Rabbnya
Ketika dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu
Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap
Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon
Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu
Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar
Di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap aku berharap
Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang
Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini
Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar (agung) dan lebih mulia
p/s : Kalo nak download lagunya(arabic) di sini ya -elaika-
Sunday, February 01, 2009
Taujihat
1. Jaga hak Allah, Allah jaga hak kamu
2. Jadi petugas yang komited dan munazzamah
3. Think big
4. Be a reformer
5. Multi-Disiplin(payah nyaa..)
6. Kekalkan diri dlaam kehambaan
7. Matang
8. Leader is reader
9. Bina Qudwah
10. Tadhiyyah-pengorbanan(lakukan sesuatu yang optimum tanpa menjejaskan sesuatu)
11. Well-perform
12. Al-Fahm akan melahirkan iltizam
Taujihat ini sangat ringkas dan sukar difahami, namun saya kira agak padat dengan pedoman. Moga bermanfaat untuk anda..
Wednesday, October 15, 2008
'Belajar dari Dua Umar..'
Sejenak kita merenung suatu malam di Madinah, malam yang tenang. Seorang lelaki berjalan menyusuri lorong-lorongsepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Dia keluar seorang diri menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu untuk mengalas perutnya. Dia khuatir jika ada urusan rakyatnya yang diabaikan.
Lelaki itu adalah Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab.
Setelah lama berjalan, dia bersandar di suatu tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah untuk beristirehat. Kemudian dia meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Masjid Nabawi. Dalam kebisingan suara binatang malam, dia terdengar suara dua wnita sayup-sayup di dalam rumah kecil.
Seorang anak berdebat dengan ibunya dan menolak mencampurkan susu perahan dengan air. Berkata si ibu,
“Campurkanlah susu itu dengan air!”
“Amirul Mukminin melarang perbuatan susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar larangan itu?”
“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mengetahui perbuatan kita di penghujug malam terakhir ini.” Jawab si ibu.
Seketika anak gadis itu menjawab, “Wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allh, aku tidak akan melakukannya. Allah melarang perbuatan itu.”
Pernyataan gadis itu menjadi penyejuk hati Umar. Umar mempercepatkan langkahnya menuju Masjid Nabawi bagi menunaikna solat subuh. Setelah itu dia kembali ke rumahnya.
Setibanya di rumah, Umar memanggil puteranya ‘Ashim yang ingin berkahwin. Lalu Umar menyarankan supaya mengunjungi rumah gadis itu seraya menceritakan apa yang telah dia dengar lewat malam tadi.
“Wahai anakku, pergilah dan nikahlah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan anak yang bakal memimpin arab.”
‘Ashim menikahi gadis yang warak itu. Namanya Ummu Ammarah bt Sufyan b Abdullah b Rabiah ats-tsaqafi. Daripada perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri yang dinamakan Laila dengan panggilan Ummu ‘Ashim. Kemudian puteri tersebut berkahwin dengan Abdul Aziz b. Marwan yang melahirkan Umar Abdul Aziz, seorang khalifah zuhud, bertaqwa dan wara’.
Dalam diri Umar Abdul Aziz ini, mengalirnya darah Umar Al-Khattab. Kedua-duanya adalah pemimpin yang Agung.
Berkata Umar Al-Khattab,
“Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang terakhir yang menikmatinya. Tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya.”
Berkata Imam Ahmad,
“Apabila anda melihat orang yang mencintai Umar Abdul Aziz dan menyebut kebajikan-kebajikannya serta menyebarkannya kepada orang lain, maka ketauilah bahawa di sebalik itu terdapat suatu budi luhur..”
-edited by combat-
Tuesday, May 20, 2008
kalam musytahid : As-Syahid Syed Qutb
Jiwa ummat Islam tidak harus lemah dan kecewa jika menghadapi kegagalan,biarlah kekalahan itu penggerak perjuangan.. Seperti saranan as-syahid Syed Qutb :
"Dalam setiap perjuangan itu ada masa meningkat,ada masa menurun. Kekalahan itu sebenarnya bermula daripada kita merasai lemah dan kemenangan itu bermula apabila kita merasai tidak kalah."
Syed qutb menitipkan dalam surat terakhir beliau kepada adiknya yang beliau tulis sebelum dikenakan hukuman gantung :
"Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan itu, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku,usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.."
Di subuh itu ketika tali gantung dipasang di lehernya maka dikirimkanlah kepadanya seorang yang bernama ulama',lalu 'ulama' itu berkata kepadanya :"Engkau hendaklah bertaubat dan mengucapkan dua kalimah syahadah". Lalu As-Syahid menjawab :
"Aku telah menunaikan hak kalimah syahadah itu dan memperjuangkannya, kerana orang yang berkata dengan kalimah itu tidak akan menyembah yang lain"
Inilah antara kalam Syed Qutb yang cukup memberi kesan kepada para mujahideen. Kata-kata tasyji' yang diperlukan oleh insan bergelar pejuang..
::LayyinulHarir::
rujukan : buku Aqidah dan Perjuangan (Allahyarham Tuan guru Dato' Hj Mohd Fadzil b. Mohd Noor)
Monday, March 31, 2008
10 wasiat As-Syahid Hassan Al-Banna

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya