Showing posts with label Perpustakaan Mini. Show all posts
Showing posts with label Perpustakaan Mini. Show all posts

Tuesday, December 28, 2010

Muhammad Abduh, Islam dan Barat



Pernah saya tanyakan kepada seorang penceramah mengenai Islam dan ideologi Barat. Adakah wujud pengintegrasian antara nilai-nilai Barat dan Islam? Saya juga tanyakan hal ini kepada seorang rakan facebook, jawapannya negatif, lebih kurang begini :


"Islam itu apa? Apakah begitu rendahnya Islam sehingga terpaksa mencedok nilai-nilai Barat?"


Muhammad Abduh dan keterbukaan


Kebetulan saya sedang membaca buku nipis mengenai tokoh modern reform movement, Muhammad Abduh. Tajuk buku tersebut ialah "Muhammad Abduh : Pengaruhnya kepada pembaharuan politik Islam di Malaysia" karya Zulkifli b. Hj Mohd Yusoff, terbitan Al-Bayan.


Muhammad Abduh tampil dengan idea pembaharuan dalam sistem pendidikan, akibat daripada pengalaman beliau melalui proses pembelajaran dalam sistem pendidikan yang dianggap konservatif dan tidak berkesan. Muhammad Abduh mencadangkan idea sistem pendidikan moden yang selaras dengan perkembangan zaman dan berteraskan Islam.


Namun, idea pembaharuan ini mendapat tentangan dari dalam dan luar. Penentangan dari dalam adalah dari kalangan orang Islam sendiri. Penentangan ini bersifat warisan berikutan penolakan terhadap pengajian falsafah yang boleh merosakkan aqidah Islamiyah kerana terlalu banyak menggunakan rasional akal. Bahkan, ada di antara ilmuwan yang menyebut bahawa tiada ilmu yang lebih hina daripada ilmu falsafah.


Muhammad Abduh berpendapat bahawa ilmu-ilmu seperti falsafah, mantiq dan hisab patut dipelajari oleh umat Islam kerana Islam sendiri bersifat menyeluruh. Namun, dalam keadaan masyarakat yang konservatif, idea islah dalam bidang pendidikan ditolak. Sebagai contoh, masyarakat umat Islam ketika itu tidak mahu menggunakan alat pencetak buku kerana ianya direka oleh Barat.


Tokoh-tokoh agama juga bersikap rigid dan tidak terbuka sehingga menganggap sesuatu yang datang dari luar daripada kerangka Islam adalah menjijikkan. Ada di antara mereka yang berkata :


"What kind of a Shaikh is this who speaks French, travels in European countries, read European books and teaches the ideas of European philosophers?"


Ilmu sains juga adalah antara ilmu kontroversi dalam kalangan ulama. Tidak ramai di antara mereka yang mahu memperkatakan mengenai sains apatah lagi mengharuskannya. Dalam hal ini, Muhammad Abduh mengharuskannya dengan mengangkat peranan akal yang dikurniakan oleh Tuhan dengan dipandu oleh wahyu.


Abduh tokoh integrasi Islam dan Barat


Penulis membuat kesimpulan bahawa Muhammad Abduh adalah seorang yang berjiwa besar tampil ke lapangan masyarakat Islam untuk mengintegrasi Islam dan Barat yang selama ini bertentangan di antara satu sama lain.


Sikap umat terdahulu terhadap permasalahan ini terbahagi kepada dua pendirian. Pertama, menolak mentah-mentah apa sahaja yang datang daripada Barat tanpa menilai terlebih dahulu baik atau buruk. Kedua, bersikap menerima bulat-bulat kebaikan atau keburukan yang datang dari Barat yang dianggap serba maju.


Muhammad Abduh hadir dengan satu formula baru dengan berpandangan umat Islam tidak patut menolak terus sesuatu yang datang dari Barat. Hal ini disebabkan banyak nilai tamadun Barat sebenarnya dicedok daripada Timur yang kebetulan berada dalam keadaan lemah setelah menguasai dunia suatu masa dahulu. Umat Islam juga tidak boleh menerima secara terus apa yang datang dari Barat kerana tidak semuanya mendatangkan kebaikan.


Muhammad Abduh berpendirian untuk membuat pengolahan semula sesuatu yang datang dari Barat dengan nilai-nilai kejiwaan Islam sehingga lahir suatu integrasi yang unggul dan bermanfaat buat umat Islam. Beliau hakikatnya bersifat terbuka terhadap dunia Barat tanpa mengenepikan prinsip Islam.


Apa yang menarik, penulis menyatakan sebenarnya Muhammad Abduh telah melakukan kesilapan besar apabila beliau tidak meletakkan sekatan atau garis panduan sejauh manakah reformasi itu harus berlaku dalam pengajaran Islam dan sejauh manakah peradaban Barat itu boleh diterima.


Tetapi, pada zaman ini, idea 'islamisasi ilmu' ini telah diolah dengan baik oleh beberapa tokoh ilmuan Islam seperti Ismail al-Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ziauddin Sardar.




Masturah Abu Bakar

Monday, August 02, 2010

Koleksi buku baru :)







Membeli buku langkah permulaan menanam minat membaca dan cintakan ilmu :)

Membeli buku juga ibadah :)

Tuesday, July 06, 2010

Polemik kafir-mengkafir : Suatu pencerahan



Muslim kini. "Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus."


Senario kafir-mengkafir


Ada seseorang berkata kepada khalayak :


"Si fulan itu jahil aqidah"


"Persatuan itu jahil aqidah dan harus diperbaiki"


Ada juga mutakhir ini mereka yang sibuk membahas sama ada tauhid 3 (yakni uluhiyyah, rububiyyah dan asma' wa sifat) atau sifat-sifat Allah. Dan di antaranya juga ada yang ekstrem sehingga menuduh si fulan itu kafir dan si fulan ini kafir dan juga menuduh si fulan itu tidak ada aqidah.


Saya secara jujurnya sangat tidak selesa dengan senario ini. Senario menuduh dan mengkafirkan orang-orang Muslim sesuka hati yang menurut hemat mereka adalah benar. Allahuakbar, siapa sebenarnya kita sehingga layak mengkafirkan seorang Muslim?




Kekeliruan para pendakwah


Ketika berbincang bersama adik-adik usrah, kami mengesan wujud salah faham mengenai aqidah dalam masyarakat kini. Masalah ini berkisar kepada 3 perkara, iaitu :


1. Aqidah, yakni keyakinan (I'tiqod) bahawa Allah itu wujud, Allah itu Esa dan Allah itu bebas daripada setiap kekurangan. Keyakinan ini wujud dalam diri setiap Muslim.


2. Perbahasan ilmu Aqidah, yakni perbahasan tentang ilmu aqidah dari sudut istilah, perbahasan mengenai ayat mutasyabihat, perbahasan mengenai syirik, khurafat, sunnah dan bid'ah. Perbahasan ini lazimnya melibatkan ulama' yang ahli atau pakar dalam bidang ini.


3. Methodologi penyampaian aqidah(termasuk dalam dakwah), yakni bagaimana aqidah itu disampaikan kepada masyarakat umum sehingga aqidah itu membuahkan amal yang menepati syari'atullah (apa yang disyariatkan oleh Allah). 


Perkara ketiga ini amat penting untuk diteliti dan dicermati. Ramai pendakwah kini keliru mengenai isi dakwah mereka. Mereka menyampaikan apa yang mereka tahu, berbanding dengan apa yang masyarakat umum perlu tahu.




Bagaimana berinteraksi dengan masyarakat umum?


Dalam hal ini, Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya 'Aqidah Salaf dan Khalaf' membangkitkan satu persoalan :


"Bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan permasalahan ilmu yang sulit ini dengan masyarakat yang luas, iaitu golongan yang tidak mampu mengharungi bahtera ilmu dan penelitian serta bersama kita untuk tenggelam dalam lautan takwil? Apakah kita akan memperlakukan mereka ini sama seperti para ulama' dan yang lainnya (mereka yang pakar)?"


Sebenarnya, ada 1 perkara penting yang dilupakan oleh kumpulan-kumpulan yang berbeza pendapat antara satu sama lain ketika mereka membahaskan mengenai ilmu aqidah. Perkara tersebut ialah permasalahan orang awam yakni golongan yang tidak terlibat dengan polemik perselisihan pendapat dalam perkara aqidah.


Bagi mereka yang berselisih pendapat ini, apakah lebih penting apa yang mereka perbahaskan berbanding penjagaan terhadap aqidah masyarakat? Dan ketika perkara yang diperselisihkan itu dibawa kepada masyarakat umum, apakah aqidah mereka makin mantap sehingga membuahkan amal atau mereka semakin keliru?


Seharusnya, seorang pendakwah harus cerdas dan teliti. Pendakwah ketika turun ke lapangan masyarakat harus berbicara sesuai dengan akal mereka. Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya 'Jadilah Hamba Allah Yang Sejati' mengatakan bahawa  seorang pendakwah harus berbicara kepada manusia sesuai dengan kadar akal mereka, kemampuan mereka dan kesediaan mereka.


Beliau juga menggambarkan bagaimana Rasulullah s.a.w berinteraksi dengan manusia.


1. Ketika Rasulullah s.a.w berbicara dengan Muaz b. Jabbal, baginda berbicara mengenai ilmu, kesan ilmu, tentang pemeliharaan Allah, batas-batas Allah dan lain-lain (yakni mengenai perbahasan ilmu)


2. Manakala ketika Rasulullah s.a.w berbicara dengan masyarakat Badwi (orang awam), baginda berbicara tentang tauhid. Iaitu mengenai keyakinan kita kepada adanya Allah, Allah itu Esa dan bebas daripada sifat-sifat kekurangan.




Islam itu mudah, jangan menyusahkan


Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah dan menjamin kemaslahatan manusia. Rasulullah s.a.w sendiri tidak menyampaikan agama selain untuk membahagiakan manusia, dan baginda tidak datang kecuali untuk membawa kemudahan ini.


Firman Allah s.w.t :




Maksudnya : "Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan."(20 : 2)


Allah juga berfirman dengan jelas dalam surah Al-Haj ayat 78 yang bermaksud :


"Dia sesekali tidak menjadikan untuk kamu agama ini suatu kesempitan."


Umar Al-Khattab (seperti yang dijelaskan oleh Bukhari) berkata :


"Bahkan setiap urusan agama ini adalah suatu yang dapat diterima dan kebenaran yang tak lagi terbantah bagi semua kaum muslimin."


Dalam permasalahan yang sukar, Umar Al-Khattab berkata :


"Kita dilarang berlebihan dan menyukarkannya."


Sesungguhnya, setiap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu sesuai dengan seluruh manusia. Firman Allah s.w.t :




Maksudnya : "Tidak Aku jadikan engkau (wahai Muhammad) kecuali rahmat untuk sekalian alam."

Ketika manusia melihat betapa mudahnya apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w maka manusia akan masuk ke dalam agama ini beramai-ramai.


Ketika manusia melihat betapa sosok agung ini datang memimpin manusia; seorang yang mudah berinteraksi dengan manusia dengan jelas, mudah dan tawadhuk, manusia akan menerima agama ini dengan kelapangan dada.


Sesungguhnya Islam itu agama yang mudah, jangan kamu menyusahkan, tetapi jangan pula kamu terlalu memudahkan.




Rujukan




1. Aqidah Salaf dan Khalaf - Yusuf Al-Qardhawi
2. Jadilah Hamba Allah yang Sejati - Dr Aidh Abdullah Al-Qarni


"Allahumma faqihni fiddin wa 'alimni atta'wil"
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

Sunday, July 04, 2010

Mari mencintai sunnah



1. Alhamdulillah, setiap hari ada nikmat Allah buat kita semua. Hari ini Allah beri kepada saya nikmat sahabat-sahabat yang sudah seperti keluarga. Solat maghrib berjemaah, makan malam dan kemudiannya solat isya bersama mereka seketika tadi membuatkan saya terfikir firman Allah seketika.


Maksudnya : Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Arrahman : 5)



2. Sekali-sekala menyelak semula helaian kitab terjemaham Bulughul Maram yang ditulis oleh Alhafiz Ibnu Hajr Al-'Asqalani[1] membuatkan saya rindu. Setiap bait hadith yang dimuatkan dalam kitab tersebut melahirkan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Ah, betapa rindunya saya. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad.


Hari ini saya sempat membuka kembali bab wudhu dan bab solat. Alhamdulillah, kitab yang berada pada tangan saya ini merupakan kitab terjemahan lengkap merangkumi penjelasan hadith dari sudut perawi, darjat hadith, maksud hadith dan hukum.


Drs Muhammad Talib[2] yang menyusun kitab ini menjelaskan bahawa masyarakat hari ini sangat memerlukan adanya huraian yang jelas mengenai ketentuan atau ketetapan hukum daripada tiap hadith yang dimuatkan dalam kitab asal. Maka, syarah kitab ini diketengahkan agar perkembangan masyarakat yang memberi akibat kepada perkembangan hukum ini diraikan.




3. Dalam kitab ini, dalam bab solat, Ibn Hajr Al-'Asqalani ada menulis tentang hadith Rasulullah s.a.w yang menggalakkan kita membaca doa ini :




اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada azab kubur, aku berlindung kepadaMu daripada fitnah Dajjal dan aku berlindung kepada daripada fitnah manusia."[3]


Dalam hadith yang lain juga Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan kepada Abu Bakar r.a ketika beliau meminta Rasulullah s.a.w mengajarkannya suatu doa yang boleh dibacakannya selepas solat. Iaitu :


  ، اللهم إني ظلمت نفسي ظلماً كثيراً ولا يغفر الذنوب إلا أنت فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني  إنك أنت الغفور الرحيم

Maksudnya :"Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan sangat banyak, dan tiadalah yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunanMu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [4]



4. Sebenarnya kehidupan ini bagi ummat manusia sudah lengkap dengan panduan. Analoginya mudah, seperti kita membeli telefon bimbit baru dan di dalam kotak tersebut dibekalkan buku panduan lengkap. Begitu mudah, tinggal kita mahu menggunakannya berdasarkan kepada panduan yang diberi(Al-Quran dan Assunnah). Moga kita termasuk daripada golongan yang mecintai sunnah baginda Nabi s.a.w. Selamat beramal!


Nota kaki


[1] Ibn Hajar Al-'Asqalani adalah seorang ahli hadith, mufti dan hakim agung di Mesir. Kitab syarah (penjelasan) Shahih Al-Bukhari hasil tulisannya merupakan kitab syarah Shahih Al-Bukhari terbaik daripada kitab syarah yang lainnya dan dianggap karya agung. Karya-karya Ibnu Hajar Al-Asqalani yang mencapai 150 buku baik yang besar maupun yang kecil.

[2] Penulisan sistematik yang diketengahkan oleh beliau dalam kitab ini jarang sekali dipakai oleh ulama' sebelumnya. Beliau merupakan tenaga pengajar di Pesantren Persatuan Bangil, Indonesia.

[3] Bab solat : hadith 337. Lafaz di atas adalah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah, manakala dalam kitab asal adalah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. (Maaf, disebabkan laptop saya tidak ada perisian jawi.)

[4] Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim


"Allahumma faqihni fiddin, wa 'alimni atta'wil.."
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

Tuesday, June 01, 2010

Buku : Beli tapi tak baca?



Saya sedang bercuti kini, berada di rumah bersama keluarga tercinta. Jarang-jarang saya dapat pulang ke rumah begini. Alhamdulillah.


Cuti-cuti begini rasa seperti kosong. Minda terasa kosong. Tiada pembacaan berat, tiada brainstorming. Bahan bacaan pun saya pilih-pilih, yang ringan-ringan saja.


"Kakak ni, selalu sangat beli buku baru. Tapi buku lama banyak lagi yang tak habis baca." rungut adik bongsu saya yang saya gelarnya sekadar 'Amad'.


Bila bercakap tentang bahan bacaan/buku, memang saya akui saya lebih banyak membeli daripada membaca. Bila dikemaskini, sehingga kini koleksi buku dalam 'Maktabah Mini' saya mencecah angka 200. Mungkin tak seberapa banyak seperti sahabat-sahabat tetapi bagi saya agak banyak juga :)


Dahulu saya pernah menulis artikel tentang ini juga, tentang cinta buku. Saya sendiri daripada kecil mencintai buku. Ketika di sekolah rendah, saya selalu mendesak ummi saya untuk membeli buku. Ketika itu, saya menyukai buku-buku non-fiksyen. Buku cerita tentang penyiasat muda, buku hikayat sejarah tanah Melayu, buku cerita sahabat-sahabat Rasulullah dan sebagainya.


Menginjak dewasa di alam sekolah menengah, saya mula sukakan novel-novel cinta. Novel Alaf 21 menjadi pilihan. Novel-novel tersebut saya pinjam daripada teman-teman seasrama yang di 'pas-pas' mengikut turn bacaan. Kini, bahan-bahan bacaan yang lebih berat menjadi pilihan untuk dibeli. Mungkin kerana pengaruh kos yang saya ambil di kampus menyebabkan saya begitu. Dan mungkin juga faktor sahabat-sahabat yang juga menyukainya.





Di Rumah Sumayyah kini, saya punyai mini maktabah sendiri. Cuma ia hanya memuatkan buku-buku pilihan dan yang penting-penting sahaja. Buku-buku yang saya labelkan sebagai buku politik & pemikiran, buku haraki dan bahan bacaan penting sebagai persediaan untuk 'memberi' nanti. Koleksi yang lain saya tinggalkan di rumah. 


Tapi tak semua buku saya habiskan 'dari kulit ke kulit'. Kebanyakan buku yang saya beli yang dimuatkan di Rumah Sumayyah hanya untuk reference course.


Cuma satu perkara yang saya belajar daripada kecil hingga dewasa, dengan membeli buku membuatkan kita minat membaca. Dan, membeli dan membaca membuatkan kita mencintai ilmu. Lalu, segalanya itu akan mengerahkan otak kita untuk berfikir dan membuahkan zikir.


Islam adalah agama cinta. Segalanya dalam Islam adalah cinta. Termasuk cinta ilmu, cinta fikir dan cinta zikir. Juga cinta kepada belajar dan mengajar. Firman Allah s.w.t :


"Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar". Malaikat itu menjawab: "Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka selepas Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan." - Surah Al-baqarah


Dalam Al-Quran juga Allah telah menempelak manusia dengan firmannya yang bermaksud : "Adakah sama mereka yang mengetahui dan tidak mengetahui?"


Lalu bila dikoreksi diri, rasanya ilmu di dada ini tidak sampai setitis pun jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Allahuakbar, naifnya diri.


Tetapi jangan putus asa. Teruskan cinta buku dan cinta ilmu. Pasti Allah suka dan Allah cinta.


Wallahua'lam.


P/s : Sekadar perkongsian santai untuk yang sudi :)




Masturah Abu Bakar
Ghurfah Layyinulharir, Sg Buloh, Selangor

Saturday, May 01, 2010

Jalan Cinta Para Pejuang I



Milik nggendhong lali..
(Rasa memiliki membawa kelalaian)


Salman Al-Farisi, memang sudah sampai waktunya untuk menikah. Di hatinya punya pilihan, tetapi tentu bukan sebagai kekasih. Pilihannya merupakan seorang wanita Ansar, mukminah solehah yang dipilihnya menurul akal, perasaan dan ruh.

Tetapi ada satu perkara yang menggusarkannya, dia bukanlah lahir dan membesar di bumi Madinah ini. Dia tahu, Madinah punya adat, rasa bahasa dan rupa-rupa yang masih belum begitu diketahuinya. Benarkah seorang pendatang sepertinya boleh melamar gadis kelahiran bumi itu? 

Lalu dia berfikir. Semestinya harus ada seorang yang mahir dengan tradisi Madinah untuk menjadi orang tengah dalam urusan khitbah nanti. Abu Darda'. Ya, dia menyampaikan hasratnya itu kepada Abu Darda', sahabat Ansar yang dipersaudarakan dengannya oleh Rasulullah.

"Subhanallah, alhamdulillah!"

Kalimah puji-pujian dialunkan Abu Darda dengan girang. Kabar yang didengar dari sahabat yang dicintai itu membuatkannya gembira. Abu Darda' memandang sahabat tercinta dengan senyuman, lalu mereka berpelukan. Abu Darda' tidak sabar-sabar lagi untuk melakukan tugas mulia itu, menjadi orang tengah kepada sahabat yang paling dicintainya, Salman Al-Farisi.

Dengan bahagia, mereka beriringan menuju sebuah rumah di penjuru kota Madinah, rumah seorang wanita solehah lagi bertaqwa.

"Saya Abu Darda', dan ini saudara saya, Salman Al-Farisi dari Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam dengan amal jihadnya." Abu Darda' memulakan urusan khitbah dengan memperkenalkan dirinya dan sahabatnya.

"Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah, sehingga baginda mengiktiraf sahabat saya ini sebagai Ahli Bait nya."

"Saya datang mewakili saudara saya dengan hajat untuk melamar puteri Tuan."

Hajat itu disampaikan dengan fasih oleh Abu Darda' dalam loghat Najjar yang paling murni.

"Adalah kehormatan bagi kami menerima anda berdua sahabat Rasulullah yang mulia. Dan, adalah kehormatan bagi kami untuk bermenantukan seorang sahabat Rasulullah yang utama." , ucap tuan rumah.

"Tetapi, hak untuk memberikan jawapan ini sepenuhnya kami serahkan kepada puteri kami." , kata tuan rumah dengan mengisyaratkan ke arah hijab yang dibelakangnya sang puteri menanti dengan debaran hati.

Salman dan Abu Drda' ternanti-nanti jawapan daripada wanita itu dengan penuh debaran.

Seketika kemudian, terdengar suara halus di sebalik tirai yang melindungi wanita solehah itu.

"Maafkan saya atas kejujuran ini."

Ternyata suara halus itu datang dari sang ibu yang berbicara mewakili puterinya.

"Dengan mengharap redha Allah, sesungguhnya puteri kami menolak pinangan Salman."

Mendengar jawapan itu, Abu Darda' kaget.

"Tetapi, jika Abu Darda' hadir untuk memiliki urusan yang sama, iaitu urusan khitbah, maka puteri kami menerima lamaran Abu Darda'."

Abu Darda' terkejut mendengar jawapan itu. Jawapan yang tidak pernah difikirkannya, jawapan yang sunggu ironis dan sangat mengejutkannya.

Ah, mana mungkin sang puteri lebih tertarik kepada sang pelamar!

Namun, di sebelah Abu Darda', Salman tersenyum. Ada perasaan indah yang menyelinap dalam kalbunya. Dalam perasaan malu yang berbaur sedar, Salman mengukir senyuman.

Malu kerana lamarannya ditolak, dan sedar kerana dia tidak pernah pun memiliki hak ke taas orang yang dicintainya. Bayangkan, cinta dan persaudaraan sedang bergolak merebut tempat di hati.

"Allahuakbar!"

Kalimah agung itu terlantun dari mulut Salman. Kemudian, dengan senyuman yang masih terukir beliau berkata,

"Semua mahar dan nafkah yang kupersiapkan ini akan kuserahkan kepada Abu Darda', sahabat yang kucintai. Dan, aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!"

Nah, jawapan ini tak pernah terfikirkan dek akal manusia. Namun, perlu disedari satu hal yang selalu tidak kita cermati.

Di jalan cinta para pejuang, hakikat ini akan kita asah. Bahawa semua yang ada di muka bumi ini adalah milik Allah, dan hanya padaNya tempat kita kembali.

Di jalan cinta para pejuang, isteri, anak, hubungan, harta atau apapun yang kita miliki bukanlah sebenarnya milik kita. Segalanya yang kita cinta itu hanya pinjaman Allah.

Di jalan cinta para pejuang, kita harus sedar dan belajar hakikat perbedaan cinta yang hakiki dan cinta insani yang kita miliki.

Di jalan cinta para pejuang, ikrar cinta kita hanya untuk Allah dan segalanya adalah milik Allah. Segalanya adalah pinjaman Allah. Itu saja. Dan sudah begitu besar nikmat kurniaan Allah, bahawa kita ditakdirkan bersama, atau pernah bersama. Bersama di jalan cinta para pejuang.



Menginspirasi sebuah buku buat anda,
"Jalan cinta para pejuang" - Salim A.Fillah

Masturah Abu Bakar



Tuesday, January 19, 2010

Madah Berhelah?




"Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." - Al-Alaq



Usai Subuh pagi tadi, sambil membaca Al-Mathurat, saya berkira-kira untuk membeli buku. Sudah lama hobi membeli buku ini tidak diamal. Bukan kerana tiada nafsu, tapi tiada fulus. Saya hanya menelan liur melihat sahabat-sahabat berbelanja, shopping buku. Jeles ;).



Alhamdulillah.


Allah Maha Mengetahui apa yang terdetik di hati. Allah kurniakan rezeki dan nikmat tanpa pernah berkira. Alhamdulillah, alhamdulillah.


Selepas subjek Kaedah Siyasah Syariyyah, saya sempat membeli 'beberapa' buah buku di APIUM. Buku-buku terbitan Universiti Malaya Press menjadi pilihan hati. Lebih-lebih lagi tentang skop Islam=Melayu, Melayu=Islam yang sedang dalam observasi.





Ketuanan Politik Melayu : Pandangan Kaum Cina - Thock Ker Pong



Demokrasi dan Dunia Islam : Perspektif Teori dan Praktik - Mohd Izani Mohd Zain (Penyunting)



Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia : Menghadapi Globalisasi Barat - Hashim Hj. Musa




Nasionalisme Melayu - William R. Roff



Islam dan Masyarakat Melayu : Peranan dan Pengaruh Timur Tengah - Mohammad Redzuan Othman



Efektif Governan di Malaysia : Menurut Perspektif Islam - Sharifah Hayaati Syed Ismail (Editor)



Ketika beriringan menuju ke surau APIUM untuk menunaikan solat zuhur, saya dan sahabat (Rohayu - minat juga membaca buku, katanya sudah beratus juga dihabiskan untuk membeli buku akhir-akhir ini) sempat berbicara tentang ilmu, cinta ilmu, cinta buku dan cinta pemikiran. Sempat juga saya bermadah,

"Bila manusia sibuk berbicara dengan manusia mengenai hati, kita sibuk berbicara dengan buku mengenai ilmu. Mencintai buku membuahkan cinta ilmu."


Madah ini bukan madah berhelah.

Madah ini adalah madah hikmah.

Cinta buku dan cinta ilmu.




" Memoir, Harapan & Perubahan "


Masturah Abu Bakar
Department of Islamic Political Science,
University of Malaya


(Kini sedang membaca buku 'Dua Wajah : Tahanan Tanpa Bicara' oleh Syed Husin Ali, kepunyaan Farhah. Buku ini buku kontroversi tentang ISA, kebobrokan dan kezaliman yang amat menjengkelkan. Bacalah.)

Monday, April 27, 2009

"Pemilik Cintaku.."


Karya terbaru penulis ini adalah buah tangan beliau selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta.Justeru itu sedikit sebanyak pengalaman beliau berjaya dikongsi bersama dalam menghidupkan watak di dalam karya beliau kali ini,malah bagi saya sendiri seolah-olah watak dalam karya beliau kali ini adalah seperti jalan hidup penulis(fatimah syarha) sendiri sehingga ke alam perkahwinan

Seperti penulisan beliau yang lalu,

Penulis juga sedikit sebanyak berkongsi sunnah-sunnah dialam perkawinan di dalam karya kali ini dan juga panduan-panduan terhadap para isteri dan juga para suami serta para bakal suami isteri. Karyanya punya perbezaan dengan novelis-novelis islamik yang lain seperti Abu Hassan Morad dan Habiburrahman el-Shirazy (Kang Abik). Penulisannya sangat indah, menyentuh hati, membangkitkan semangat, unik,tersendiri dan memberi pedoman kepada penulis. Tunjang kekuatan karya-karyanya bukanlah cinta insani semata-mata, tetapi ia mengajar kita hidup dalam suasana Tarbiyyah; mencipta dan mengekalkan ummah yang terdidik dengan ajaran Islami sepenuhnya.



Buku ni bukan sahaja bercerita mengenai cinta yang praktikal malah ada diselitkan tentang pelaksanaan ke arah baitul muslim(keluarga muslim), sedikit tentang isu jihad dan rentetan sejarah Palestin serta ada diselitkan senarai tentang cara untuk menunjukkan sokongan terhadap mereka yang berjuang di bumi Palestin. Buku yang bukan hanya bermadah indah namun sarat dengan info dan panduan berdasarkan Sunnah Nabawiyyah.

Setiap helaian dan setiap kata punya makna dan signifikannya kerana saya merasakan tulisan ini terbit dari hati dan jiwa yang murni. Ibarat menulis diari. Tulisan yang terbit dari hati. Keikhlasan menulis itu akan dapat dirasai oleh orang yang membacanya. Dari hati turun ke hati.

Bukunya tak tebal, tak nipis sangat. Sedang-sedang saja. Saya kira 'pelaburan' yang anda lakuka untuk membaca buku ini tidak akan sia-si. Pelaburan itu pasti berbaloi malah akan mengobarkan semangat untuk melangkah berjuang menegakkan syariat Allah dalam diri.

Bagi mereka yang sibuk, ambillah masa untuk membacanya juga. Tidak lama. Pengalaman saya, masa yang diambil untuk menghabiskan bacaan hanyalah satu jam lebih sahaja. Oleh itu, saya sarankan kepada anda sekalian, tidak rugi memperuntukkan masa untuk membaca kerana manfaatnya terlalu besar.

Buku ni, sememangnya 'highly recommended' bagi mereka yang nak bahagia bila berumah tangga nanti atas dasar syariat dan bukan maksiat, bagi mereka yang pernah dilamar dan melamar, atau mungkin bakal dilamar dan melamar, bagi mereka yang pernah bercouple, sedang bercouple dan mereka-mereka yang 'frust' bercinta juga bagi mereka yang belum pernah bercinta dan sedang mencari-cari cinta seolah lelaki sebagai teman hidup menuju redha Ilahi.

Bagi para lelaki yang mahu menyunting sekuntum mawar yang mekar berduri, bijaklah mengatur langkah. Aturkan langkahmu dengan teliti dan berhati-hati. Kisah dalam buku ini, saya yakin dan percaya bukan idealistik semata, namun ia boleh menjadi realiti andai kita memilih untuk merealisasikannya - iaitu menghidupkan As-sunnah.

Secara kritikalnya, tidak dinafikan ada terdetik di hati saya, kisah ini ‘terlalu sempurna’. Masih wujud lagikah golongan seperti ini pada zaman moden ini? Namun, cerita ini mungkin jauh dari dunia realiti yang kita lihat hari ini. Tapi andai dapat kita sematkan dalam diri prinsip mengejar keredhaan Ilahi sebagai pasak dan tunjang dalam diri, hidup hanya berdasarkan syariat yang benar bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Tinggal lagi antara kita nak atau tak.

Teringat akan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa kehidupan islam itu pada satu masa akan menjadi asing sekali berbanding kelompok manusia yang lain.

Banyak iktibar dan mutiara pengajaran yang dapat diambil sebagai pedoman dalam meniti arus kehidupan ini lebih-lebih lagi sebagi seorang remaja kerana ujian di usia remaja ini sememangnya mencabar iman dan taqwa. Gemilangnya sesuatu ummah itu ialah apabila para pemudanya termasuk remaja mempunyai susuk peribadi yang mantap dan mapan. Nafsu yang dikawal ketat dengan iman dan taqwa maka kebinasaan dapat dihindari. Selaku seorang muslimah, yang juga sedang meniti alam remaja, tidak dinafikan ujian 'cinta' sememangnya ujian yang sinonim pada kebanyakan remaja. Berapa ramai yang mampu mempertahankan sebuah prinsip demi Allah dan Rasul? Sama-sama kita renung kembali jauh ke dalam diri. Moga ada perubahan yang dapat kita lakukan dalam hidup setelah membaca buku ini.

Dapatkan manfaat dari buku ini!

Sumber : iluvislam.com