Thursday, January 27, 2011

Oren, Kuning : Mana satu pilihan hati?







Oren vs Kuning


Selalu saya perhatikan dua kumpulan gergasi yang mewakili suara mahasiswa di varsiti kota, Universiti Malaya. Penggerak Mahasiswa dengan bertemakan kuning ala-ala simbol kedaulatan, dan Pro-Mahasiswa yang dikenali satu varsiti dengan orennya yang kadangkala memeritkan mata.


Teringat ketika saya mula-mula mengenali kedua-dua kumpulan ini. Ya, sudah semestinya ketika musim-musim kempen menjelang pilihanraya kampus. Tetapi apa yang saya perhatikan, si Oren sudah berkempen seawal bulan Ogos. Oh ya, seingat saya sebelum Ogos lagi. Kadangkala oren satu varsiti dengan risalah dan poster mereka.


Pengalaman tahun pertama


Ketika minggu orientasi, kami diperkenalkan kepada beberapa sosok tubuh pimpinan mahasiswa. Ketika zaman tidak tahu apa dahulu, kami mahasiswa tahun pertama hanya melihat kepada imej dan cara mereka bertegur sapa. Cukup sahaja anda berimaginasi anda ditegur sapa oleh tokoh besar negara, Tun Mahathir misalnya. Wah, betapa 'besar' nya hati apabila ditegur oleh mereka ini.


Tetapi, bagi mahasiswa tahun pertama yang bijak, mereka tidak menilai hanya dengan menggunakan kayu ukur itu. Itu hanya nilai tambah.


Mungkin bagi mahasiswa tahun pertama yang masih kabur dengan politik kampus, mereka masih keliru untuk memilih.


Ada juga yang bertanya begini,


"Kak, Pro-M ni sebenarnya apa? Gerak tu apa?"


Ada juga yang agak nakal, lalu begini pertanyaannya,


"Rasa-rasa, kalau saya pilih yang handsome je boleh tak?"


Ada pula yang tersepit,


"Hmm, kalau saya undi Pro-M, saya dapat duduk di kolej tak?"


Kalau saya diberi pilihan


Sudah semestinya saya diberi pilihan untuk memilih. Kalau saya boleh memutar kembali menjadi mahasiswa tahun pertama, saya ingin memilih mereka yang dekat dengan hati saya. Senyum, sapa. Sudah tentu hal ini mencerminkan peribadi mereka.


Dan yang paling penting, mereka saya yakini untuk menjaga kebajikan saya. Al-maklumlah mahasiswa tahun pertama. Bangunan-bangunan di kampus pun masih tak ingat sepenuhnya. Saya tak suka birokrasi, Kalau aduan kena isi borang. Kalaulah dapat pemimpin mahasiswa yang hanya boleh dihubungi melalui sms sahaja. Wah, seronok kan?


Kalau saya mahasiswa tahun kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Saya ingin memilih mereka yang cakap serupa bikin. Mempunyai bakat kepimpinan. Ada integriti. Bersedia berkhidmat untuk rakyat.


Bukan mereka yang culas, bekerja untuk nama, bekerja apabila diberikan wang dan hadiah percutian. Ah, saya tak mahu.


Saya mahu mereka yang berkepimpinan, ada karisma. Saya bukan mahasiswa tahun satu. Saya sudah ada pengalaman melihat prestasi-prestasi kepimpinan yang saya pilih. Jadi, saya mahukan mereka yang benar-benar ingin memimpin.


Bersaing dengan kualiti dan idea


Saya tahu, mahasiswa tahun satu hingga tahun empat mahu pemimpin yang berkualiti. Saya tidak suka mereka berperang seperti budak sekolah, berperang mulut tetapi tidak ada isi. Tin kosong.


Kami mahu si Oren dan si Kuning bersaing dengan dua nilai.


Pertama kualiti.


Kedua idea.


Maka, siapa yang mempunyai idea dan kualiti yang paling hebat, dialah yang selayaknya menang. Mudah kan?


Nota tambahan :
Ada juga orang menilai kualiti kempen. Risalah, poster dan banner. Design mana yang paling cantik? Ha, yang ini kalau ditanya kepada mahasiswa tahun berapa pun mereka akan beri kredit kepada Pro-M. Ini bukan kenyataan bias. Maaf, ini realiti. Mengikut penilaian saya.




Masturah Abu Bakar
Mahasiswa Tahun Kedua
Universiti Malaya

No comments: