Tuesday, January 11, 2011

Etika ahli politik dalam Islam





Bahagian 1 (Pengenalan)


Menurut Barat, etika merupakan cabang falsafah. Tetapi Islam memandang bahawa etika adalah sebahagian daripada syariat. Di dalam Islam, etika disebut akhlak iaitu tabiat atau budi pekerti. Walaubagaimanapun ulama' berbeza pendapat dalam mendefinisikan makna etika.


1. Ibnu Miskawaih : Etika/akhlak ialah kondisi jiwa yang mendorong seseorang untuk melakukannya tanpa berfikir dan merenung.


2. Al-Ghazali : Etika ialah keadaan jiwa yang mendalam yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa berhajat kepada proses berfikir atau merenung.


3. Abd Karim Zaidan : Akhlak adalah kumpulan makna dan sifat yang ada dalam jiwa atau dalam persepsi jiwa manusia yang memungknkan untuk menilai baik atau buruknya sesuatu perbuatan sehingga ia kemudiannya dapat mengambil keputusan untuk melaksanakan atau meninggalkan.


4. Khalil Abdullah Abdurrahman Al-Khudri : Mengerjakan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan yang buruk sesuai dengan tuntutan syariat.

Islam meletakkan syariat sebagai kayu ukur kepada akhlak. Walaubagaimanapun, wujud perbezaan pendapat mengenai penggunaan rasional akal sebagai kayu ukur akhlak seperti yang terkandung dalam perselisihan penggunaan akal oleh golngan Muktazilah. Namun, ada yang menghujahkan bahawa terdapat perkara yang dianggap akal sebagai baik tetapi perkara tersebut tidak dibenarkan oleh syariat.

Syariat adalah perbezaan utama dalam membincangkan perbezaan etika ahli politik Islam dan Barat. Dalam membincangkan tentang etika ahli plitik, Barat menggariskan baik dan buruk atau salah dan benar dalam sesuatu perlakuan atau perbuatan berdasarkan falsafah yang ditentukan oleh dinamika semasa dan kehendak manusia. Manakala Islam menentukan baik dan buruk atau salah dan benar berdasarkan syariat dan tuntutan agama (religious authority).


Masturah Abu Bakar
Jabatan Sains Politik Islam
APIUM

No comments: