Thursday, September 02, 2010

Pimpinan jangan ambil mudah

Pimpinan jangan ambil mudah soal kobarkan semangat


"Ahli kita tak ada semangat.."


"Ahli kita lemah, tak ada motivasi.."


"Buat apa kita bagi semangat kalau prestasi kerja tetap sama?"


Mungkin kita selalu mendengar dialog-dialog di atas. Tidak kira sama ada 'ahli' tersebut adalah ahli sesebuah organisasi, persatuan, syarikat, harakah Islamiyah (gerakan Islam) atau parti politik. Ia merupakan suatu kelaziman.




Ahli adalah manusia


Saya selalu mempersoalkan, ahli itu siapa sebenarnya? Apakah ahli itu adalah sebuah bas yang boleh kita timpakan dengan muatan yang terhad (sekitar 40 muatan sahaja) atau ahli adalah sebuah lori balak yang boleh kita bebankan dengan bebanan yang berat?


Jika ahli adalah sebuah bas atau lori balak pun, sudah menjadi fitrah apabila tiba tahap 'kritikal', ia akan meminta untuk diisi. Ya, bas atau lori balak juga perlukan minyak untuk meneruskan perjalanan. Inikan pula manusia.


Ahli adalah manusia. Manusia yang perlu diisi akalnya, spiritualnya, fizikalnya, rohnya. Justeru jangan biar ia kering kontang dan tandus gersang.




Tanggapan yang salah


"Ahli jamaah tak perlu bagi tasji' (semangat) dah, semua dah ada fikrah, dah faham. Tinggal buat kerja je.."


Saya fikir sudah banyak dialog sedemikian rupa yang saya dengar sepanjang intima' saya bersama gerakan Islam. Bagi pandangan saya, ia adalah suatu tanggapan yang salah.


Seperti yang saya katakan tadi, ahli adalah manusia. 3 aspek utama seseorang manusia adalah akal (mental), hati (spiritual, emosional) dan fizikal. Maka, jika yang ada hanyalah fikrah (mental), tetapi dalam masa yang sama emosi dan spiritual dalam keadaan yang rapuh maka keadaan ini masih lagi belum cukup melahirkan produktiviti yang kompeten.




Hak ahli, tanggungjawab pimpinan




"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." (2:214)


Saya petik firman Allah di atas untuk kita sama-sama melihat bagaimana Allah memotivasi Rasul dan orang beriman yang terdahulu. Mereka ini ditimpa ujian yang berat sehingga mereka mempersoal bilakah datangnya pertolongan Allah. Dan Allah memotivasi, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.

Anda tentunya pernah membaca kitab Qiyadah Jundiyah yang ditulis oleh Mustafa Masyhur. Di dalamnya terdapat pelbagai polisi hak ahli, hak pimpinan, tanggungjawab ahli dan tanggungjawab pimpinan.


Maka tugas kobarkan semangat adalah tanggungjawab pimpinan dan sudah semestinya ia adalah hak ahli. Pimpinan jangan ambil mudah hal ini. Hak ahli dan tanggungjawab pimpinan mesti dipenuhi.




Rasulullah s.a.w karakter motivasi agung




"Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti." (8:65)


Nah, lihat juga bagaimana Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w mengobarkan semangat orang-orang mukminin untuk berperang ketika mana mereka lemah melihat kuantiti sof mujahidin yang sedikit. Mereka dijanjikan, jika mereka bersabar maka mereka akan dapat mengalahkan ramai tentera kuffar ketika itu.


Hal ini terjadi dalam perang Badar Al-Kubro. Ketika itu, sof mujahidin hanya berjumlah 313 dan tentera kuffar berlipat kali ganda. Rasulullah juga turut risau, sehingga terpamer dalam tindakan baginda. Lalu para mujahidin dan Rasulullah saling memperkuatkan dengan lontaran ayat-ayat Al-Quran dan kata-kata motivasi.


Kata Saad bin Muadz :


"Saya bicara atas nama orang-orang Ansar dan memberi jawapan berdasarkan sikap mereka. Berangkatlah bersama kami sesuai dengan apa yang engkau kehendaki. Ikatlah tali sesiapapun yang engkau kehendaki dan putuslah ikatan sesiapa sahaja yang engkau kehendaki. Dan ambillah dari harta kekayaan kami yang Engkau kehendaki."


"Dan berikanlah mana sahaja yang Engkau kehendaki. Apa sahaja yang Engkau ambil, nescaya lebih kami sukai daripada yang Engkau tinggalkan. Demi Allah, kalau seandainya Engkau menempuh perjalanan bersama kami hingga ke Barak Al-Ghamad (Kota Habsyah), kami semua akan tetap bersamamu. Dan demi Allah, kalau seandainya Engkau mengajak kami untuk menyeberangi lautan sekalipun pasti kami akan lalui bersamamu."




Tasyji' : jadikan budaya


Lihatlah bagaimana mereka saling memperkuatkan, saling meneguhkan. Rasulullah mengobarkan semangat mereka dengan ayat-ayat Allah. Dan para sahabat meneguhkan spirit mereka dengan lontaran kata-kata jihad.


Budaya ini perlu kita hayati. Budaya ini perlu kita teruskan. Agar spirit dan roh meningkat, dan prestasi a'milin memuncak.


Wallahua'lam.


Masturah Abu Bakar
Petaling Jaya



No comments: