Wednesday, September 08, 2010

Beberapa catatan di akhir Ramadhan..

"Allah, aku inilah hambaMu yang mencari cinta dan hidayahMu.."


Beberapa catatan hati di akhir ramadhan...


1. Hari ini sudah mencecah 29 Ramadhan. Sekejap sahaja masa berlalu.


2. Sehingga ke hari ini rasanya masih belum kutemui kelazatan nikmat beribadah. Mujur Allah temukan aku dengan Ramadhan. Nikmat Ramadhan yang hanya sebentar ini merupakan nikmat terbesar. Ramadhan menjadi 'pendidik' dalam ibadahku.


3. Sayu rasa hati. Bulan berkah, bulan ibadah. Mungkin ada sesetengah manusia yang merasakan bukan Ramadhan sahaja bulan ibadah, bahkan semua bulan adalah bulan ibadah. Biarlah. Biar gelaran 'Ramadhan bulan ibadah' menjadi pasakan hamba yang dhaif seperti aku. Agar aku tidak lupa Allah. Agar aku tidak lupa ibadah.


4. Beberapa hari dalam ramadhan, aku bertanya kepada Allah. 'Di mana cintaMu ya Allah, di mana hidayahMu ya Allah?'. Aku bertanya, apakah tidak layak buatku dikarunia nikmat cinta dan hidayahMu? Sehingga begitu sukar buatku mengecap kelazatan nikmat dalam beribadah kepadaMu?


5. Beberapa hari dalam ramadhan, aku juga belajar sesuatu. Belajar untuk tidak bergantung kepada manusia. Belajar untuk sepenuhnya menyerahkan pergantungan kepada Rabbku. Belajar untuk mengharap kepada Allah lebih daripada mengharap kepada sahabat-sahabatku. Belajar untuk bersendiri dengan Allah lebih daripada fana dengan nikmat persahabatan yang Allah kurniakan kepadaku. Kerana sahabat adalah makhluk. Makhluk tidak kekal tetapi Allah kekal. Sahabat datang dan pergi tetapi Allah tetap bersamaku. Allah.. Allah..


6. Beberapa hari dalam Ramadhan, aku juga dididik bahawa nikmat dunia adalah sementara. Sungguhpun ia berupa kecantikan, harta, persahabatan, ibu bapa, keluarga dan apapun. Ia hanya pinjaman Allah.


7. Beberapa tahun sebelum Ramadhan ini, aku dikurniakan Allah seorang sahabat, yang susahnya melebihi kesusahanku. Yang deritanya melebihi deritaku. Yang ibadahnya melebihi ibadahku. Yang taqwanya melebihi taqwaku. Dan di bulan Ramadhan ini Allah permudahkan urusannya.  Ramadhan ini bermakna baginya dan bermakna bagiku. Dan aku berpesan padanya pada Ramadhan kali ini, 'Ukhti bukan malaikat, jadi aku di sini sedia membantumu.'


8. Bulan-bulan selepas Ramadhan ini, syaitan sudah mulai menjalankan tugas 'mengganggu manusia' seperti apa yang telah dijanjikannya kepada Allah. Aku juga akan diganggu. Bisikan nafsu, lalai, alpa, leka. Allahuakbar, betapa beratnya.  Tak sanggup menempuh hari-hari selepas ini tanpa Ramadhan.


9. Hari ini, sudah mencecah 29 Ramadhan. Sekejap sahaja masa berlalu. Amal ibadah yang kurang, maksiat yang bertambah dan apa sahaja yang telah aku lakukan sudah berlalu. Berlalu dengan penyesalan.


10. Di akhir catatan di akhir Ramadhan. Buat kesekian kalinya aku berdoa. Moga Ramadhan ini bukan yang terakhir bagiku..




Jika terakhir buatku (Saujana)

Oh Tuhan
Hamba-Mu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerna dipaut hasut dunia
Mencintai yang lain lebih dari-Mu

Oh Tuhan
Hidayah-Mu pernah hadir
Hingga kering airmataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerna mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini ku bimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untuk ku bernafas
Dan sujud mengabdi pada-Mu
Oh Tuhan

Berikan daku kesempatan
Menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakanmu
Hadirkan damai
Sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjuk-Mu
Untuk ku meniti ke jalan redha-Mu
Izinkan daku mengulangi
Janji-janji yang baru
Taubat nasuha setulus untuk-Mu
Oh Tuhan

Rahmat kasihMu Tuhan
Ampunan-Mu ku damba






Masturah Abu Bakar
Ghurfah Layyinulharir, Sungai Buloh

No comments: