Thursday, July 15, 2010

Tarbiyah : 3 kesilapan kita

Mendidik manusia cintakan Allah adalah tugas yang berat.


Manusia hari ini meninggalkan sekurang-kurangnya tiga perkara penting yang menjadi kunci utama dalam mendidik, memimpin dan membina generasi.


1. Meninggalkan Al-Quran sebagai silibus utama pembinaan generasi sehingga gagal melahirkan generasi yang meletakkan Allah matlamat segala-galanya.


2. Tidak mengambil  method tarbiyah yang terkandung di dalam Sirah Nabawiyah dan method Assabiquna Al-Awwalun yakni para sahabat sehingga hilang nilai-nilai fundamental yang sepatutnya ada pada generasi.


3. Meninggalkan kebajikan jiwa dan suntikan batin.




Al-Quran silibus tarbiyah Rasulullah


Saat sedih kerana tidak dipilih berangkat bersama Rasulullah ke medan jihad kerana usia yang terlalu muda, si kecil yang berumur 13 tahun pantas berfikir. Cara yang manakah boleh membuatkan dirinya mendekatkan diri dengan Rasulullah s.a.w, di mana cara tersebut langsung tidak ada kaitan dengan usia.


Maka, dengan kemampuannya menghafal, Zaid bin Thabit menyampaikan hasrat itu kepada ibunya. Lalu si ibu mengkhabarkan kepada Rasulullah bahawa anak ini telah menghafal 17 surah Al-Quran dan mampu membacanya dengan baik.


Lalu Rasulullah mencuba beberapa bahagian Al-Quran yang dihafal oleh Zaid. Ternyata Rasulullah sangat gembira dengan kemampuan yang dimiliki oleh Zaid dan melatihnya beberapa perkara. Antaranya, Rasulullah meminta Zaid mempelajari Bahasa Ibrani dan Suryani, menterjemahkan Al-Quran, menguji ketajaman pemahaman dan beberapa fasa-fasa lain. Setelah yakin, Rasulullah mengangkat Zaid menjadi penulis wahyu.


Zaid bin Thabit hidup dengan cinta Al-Quran hasil tarbiyah Rasulullah. Sehingga Umar Al-Khattab berkata :


"Wahai kaum muslimin, barangsiapa yang ingin bertanya tentang masalah Al-Quran, maka berjumpalah kamu dengan Zaid."


Hassan bin Thabit, penyair yang sering membela Nabi menangisi pemergian Zaid bin Thabit dalam bait puisinya :


"Siapa pula yang handal menggali erti setelah Zaid bin Thabit tiada lagi?"


Demikianlah generasi Al-Quran yang dididik oleh Nabi s.a.w dengan Al-Quran sehingga meletakkan kecintaan kepada Allah sebagai matlamat mengatasi segalanya.




Tarbiyah nabi membentuk 'mahasiswa akhirat'


Jika tarbiyah di universiti melahirkan 'mahasiswa ilmuwan', dan jika tarbiyah harakiah melahirkan 'mahasiswa berfikrah', tarbiyah yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w melahirkan 'mahasiswa akhirat'.


Bagaimana?


Cinta kepada Allah dan Rasulnya dan benci kepada dosa.


Abnaul Harakah mesti mencintai Allah dan Rasulnya, dengan cara mencintai segala apa yang diperintahkan ke atas mereka.


Abnaul Harakah juga mesti benci kepada dosa dan benci meninggalkan perintah Allah dan RasulNya.


Termasuk perintah menyampaikan dakwah yang merupakan proses mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. 


Abnaulharakah mesti cinta dalam melakukan ibadah yang sempurna, cinta menuntut ilmu, cinta melakukan kebaikan, cinta menyampaikan dakwah.


Abnaulharakah juga mesti benci kepada sikap culas dalam dakwah, mengambil ringan soal ibadah, malas menuntut ilmu, cinta dunia dan jawatan.


Kerana Abnaulharakah tahu, cinta atau benci mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat.




Kebajikan jiwa dan suntikan batin


Selalu yang menjadi persoalan abnaulharakah adalah persoalan kebajikan material. Kebajikan kewangan, ekonomi, penempatan dan keselamatan. Lalu jika segala kebajikan ini tidak ada, maka mereka akan bangkit mempersoal. Kepimpinan juga sangat menitik-beratkan soal kebajikan material ahli, takut-takut jika kebajikan ini tidak terjaga maka produktiviti ahli tidak di tahap maksimum.


Tapi kita selalu lupa untuk menjaga soal kebajikan jiwa dan suntikan batin. Sehingga Abnaul harakah menjadi sosok gersang iman. Tetapi tarbiyah para sahabat tidak. Pernah kalian baca kisah Abdullah bin Rawahah dan Abu Darda'?


Suatu hari, Abdullah bin Rawahah berjumpa dengan Abu Darda' lalu berkata :



"Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat bergetar lebih daripada isi periuk yang sedang menggelegak."

Lalu Abdullah bin Rawahah menuntun tangan Abu Darda' dan bersama berjalan ke masjid. Ketika di masjid, mereka berzikir sehingga mereka merasai lazatnya berzikir lalu berhenti. Kemudian Abu Darda' berkata :

"Benarlah! Hati lebih cepat bergetar daripada isi periuk yang sedang menggelegak!"

Nah, ini adalah kebajikan jiwa dan suntikan batin sehingga sama-sama merasai manisnya iman.


(Posting ini merupakan inti usrah pertama kali saya dan sahabat-sahabat bersama Murabbi. Selepas ini kami akan bertalaqqi kitab Jami'ul Aadab, dan pada posting yang seterusnya usrah ini akan saya gelar sebagai Usrah Jilul Quran. :) )



Allahumma faqihni fiddin wa 'alimni atta'wil
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya

No comments: