Thursday, January 07, 2010

Wujudkah Demokrasi Kampus?

Artikel ini adalah respon terhadap artikel saudara Saifudin berkenaan dengan e-voting di sini.


Assalamualaikum.

Saudara Saifuddin,

Saya merasakan saudara membahaskan demokrasi dalam konteks yang statik dan sempit. Jika saudara membahaskan definisi demokrasi secara literal pun mungkin kita akan memahami maksud sebenarnya.

Saya lebih cenderung untuk mendefinisikan demokrasi sebagai kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat(Abraham Lincoln). Bagaimana boleh saudara katakan bahawa tidak ada demokrasi kampus, walhal kampus itu punya rakyat tersendiri iaitu mahasiswa. Islam sendiri meletakkan Siyasah Syariyyah adalah untuk menjamin maslahah ummah(Ibn Taimiyah), justeru siapakah ummah?

Demokrasi punya ciri-ciri tersendiri, bukan sahaja hanya merujuk kepada perlembagaan semata-mata. Ramai Sarjana Dunia Islam dan Barat bersependapat dalam meletakkan ciri-ciri demokrasi. Antaranya didokong oleh persetujuan umum, pilihanraya dan hak-hak sivil.

Justeru, saya tidak bersetuju jika saudara katakan bahawa demokrasi merujuk kepada kerajaan dan kerajaan merujuk kepada perlembagaan. Saudara juga mengatakan bahawa di kampus, AUKU adalah elemen demokrasi. Sudahkah saudara memahami kandungan-kandungan AUKU yang menyalahi ciri-ciri demokrasi? Bagaimana Perkara 15 & 16 menjamin demokrasi di kampus?

Demokrasi bukan terbatas hanya kepada soal kerajaan, malah lebih luas, siyasah syariyyah juga bukan terbatas hanya kepada soal kerajaan. Hal ini ditegaskan oleh beberapa ideolog-ideolog gerakan Islam dan sarjana politik barat dengan tidak hanya mendefinisikan demokrasi adalah merujuk kepada kerajaan. Malah, ideolog-ideolog gerakan Islam memberi pendapat bahawa Sistem Demokrasi adalah sistem yang paling hampir dengan Islam iaitu sistem Siyasah Syariyyah(Hassan Al-Banna, Muhammad Al-Ghazali, Rashid Al-Ghannoushi).

Saya memetik kenyataan saudara,

Tiada AUKU, tiada pilihanraya, tiadalah ‘demokrasi kampus’.

Saya mencadangkan bahawa saudara mengkaji sejarah gerakan mahasiswa tahun 1960-an hingga awal 1970-an sebelum hadirnya AUKU yang mencengkam mahasiswa.


Wallahua’lam.

Jujur terhadap ilmu,
Masturah Abu Bakar


"Memoir, Harapan & Perubahan "

2 comments:

nUr_Of_IsLaM said...

ehmmm....
mcm dah duk kat u nie lama ye..
hehe..
AUKU..
bagus!!..

kombat said...

:) 'Lama' tak bererti 'faham' sepenuhnya demokrasi kampus ukht. Barangkali mungkin orang yang hanya sebentar tinggal di dalam tempat sebegini sudah memahami selok belok politik kampus.