Monday, November 09, 2009

Sejenak 'mengintai' politik Malaysia


Cuba anda terjemahkan gambar ini mengikut teori politik ;)


 Perlawanan untuk kemenangan

Fenomena politik hari ini melucukan. Dua parti terbesar dalam negara ini (Baca : UMNO dan PAS) sedang sibuk meraih sokongan dan kepercayaan rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13. Namun, dalam usaha memenangi hati masyarakat, sememangnya pasti ada taktik yang disusun untuk mengalahkan pihak lawan dan mencapai matlamat. Ya, politik adalah perlawanan untuk kemenangan.

Ahli falsafah agung Yunani berpendapat bahawa Manusia ialah haiwan politik. Beliau menyatakan bahawa apabila manusia hidup dalam kehidupan bermasyarakat, mereka berusaha untuk mendapatkan apa yang terbaik. Maka di sini bermula titik persaingan. Hal ini diungkapkan oleh Sarjana Politik Barat sebagai :

"Politik adalah suatu pergelutan untuk berkongsi kuasa atau mempengaruhi pengagihan kuasa serta penggunaannya dalam erti kata yang sebenar."


Penyelewengan terhadap agama

Jika kita mengkaji secara terperinci tentang sejarah pemikiran politik, kita akan menjumpai masalah pokok terhadap sistem pemerintahan politik kotor. Apabila agama diselewengkan untuk kepentingan tersendiri, maka kepercayaan manusia terhadap agama terhapus. Manusia mengganggap agama hanya sebagai alat bagi memenuhi kepentingan mereka.

Tamadun Rom mencatatkan kebangkitan gerakan pembebasan akibat daripada keangkuhan raja dan institusi gereja. Pada zaman Dark Ages iaitu zaman kegelapan, raja dan institusi gereja menduduki tahap tertinggi dalam kelas sosial masyarakat. Mereka dengan angkuh menindas dan menzalimi rakyat dengan pelbagai cara. Kitab Injil ditafsir dan diseleweng mengikut kehendak mereka. Ajaran agama diubah sehingga membuahkan keuntungan material.

Pada akhirnya, keadaan kritikal tersebut memaksa masyarakat bertindak. Mereka mewujudkan gerakan pembebasan iaitu gerakan Sekularisme akibat kebencian mereka terhadap agama. Faktor ini yang menyumbang ke arah Renaissance, iaitu kebangkitan semula Eropah.


Matlamat membezakan gerakan

Hakikatnya, matlamat dan tujuan sesebuah gerakan membezakan ia dengan gerakan yang lain. Gerakan Islam mempunyai matlamat yang jelas, iaitu membebaskan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Gerakan Islam berperanan sebagai pemberi peringatan kepada yang lalai dan pendokong kepada yang inginkan kebaikan. Firman Allah S.W.T :

"Sesungguhnya kami mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan agama-Nya, membesarkan-Nya dan bertasbih kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Al-Fath : 8-9)

Dr Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya 'Jadilah Hamba Allah Yang Sejati' dengan panjang lebar menerangkan tentang gerakan. Beliau menyatakan bahawa :

"Di antara gerakan-gerakan ini terdapat perbezaan di mana kelompok yang benar diberi pahala dan kelompok yang batil diseksa."

Beliau menyambung penulisannya dengan berkata :

"Di dunia ini hanya ada dua parti, iaitu parti Allah dan parti syaitan, orang yang beruntung dan orang yang rugi, kaum muslimin dan kaum kafir."

"Termasuk hak seorang muslim untuk menolak parti yang rigid yang melemahkan parti Allah. Dan mereka tidak melaksanakan pemerintahan supaya agama semuanya hanya untuk Allah."

Sebagaimana firman Allah dalam hadith Qudsi yang bermaksud :

"Sesiapa yang memusuhi-Ku sebagai penolong, maka Aku telah mengizinkannya untuk diperangi." (Dikeluarkan oleh Bukhari : 6355)


Kesimpulan

Justeru dengan nyata, para pembaca boleh membuat penilaian ringkas terhadap femonena politik negara ini. Kesimpulannya, matlamat merupakan titik perbezaan gerakan Islam dan selainnya. Semoga anda bijak memilih!


Masturah Abu Bakar
Department of Islamic Political Science
Academy of Islamic Studies
University of Malaya

No comments: