Monday, November 09, 2009

Islam dan Sekularisme Barat 1


1.    Pengenalan 


Islam adalah satu sistem kehidupan yang sempurna dan lengkap. Ia meliputi aspek-aspek seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan, kebudayaan, dan ilmu sains. Keagungan Islam sebagai agama suci dibuktikan oleh wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan dijadikan pedoman dalam kehidupan.1 Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” (6 : 153)
Kefahaman dan penghayatan yang menyeluruh terhadap kesempurnaan Islam akan menjadikan seluruh kehidupan manusia berada dalam landasan kebenaran. Namun, kelompangan dalam memahami kesempurnaan ajaran Islam menyebabkan manusia mula mencipta agama dan ideologi baru yang menggunakan logik akal semata-mata.2 Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang mencari gama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima (agama itu) dan dia di akhirat termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.” (3 : 85)
Hakikatnya, ideologi Sekularisme yang mengasingkan agama dan kehidupan ini menjadi masalah global.3 Ideologi tersebut jelas mencampur-adukkan antara kebenaran dan kebatilan, merosakkan pemikiran dan jiwa manusia dan menghapuskan norma-norma kebenaran. Sekularisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara di seluruh dunia kini menjadi penghalang besar kepada manusia untuk mendapat manfaat keadilan dan kesempurnaan hukum dan perundangan Islam.4
Merujuk buku Sejarah Pemikiran I karya Sulaiman Noordin (2008,Hlm :  99), ideologi sekularisme mengakibatkan lahirnya fahaman lain seperti materialisme5, emferisme6 dan humanisme.7 Ideologi ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap corak pemerintahan Negara dan corak kehidupan masyarakat khususnya di Malaysia. agama hanya ada pada nama dan tidak lagi dijadikan the way of life.8


2.    Konsep Sekularisme 


Kepelbagaian ideologi sesat kini telah banyak mengelirukan umat Islam. Kekeliruan tersebut memberi impak yang besar, termasuk mampu menggugat pegangan mereka terhadap agama.9 Justeru, pengetahuan dan kefahaman secara mendalam terhadap konsep ini dapat memandu umat kearah jalan yang benar dan menghindarkan mereka daripada kesesatan. Hukum mempelajari ideologi ciptaan Barat adalah wajib sebagaimana yang dinyatakan oleh As-Syeikh Abu Bakar Al-Mar’asyi di dalam kitabnya Tartibul Ulum :
“Maka kewajipan mengetahui tentang perkara haram atau makruh itu tidaklah lagi menjadi fardhu kifayah atauwajib kifayah ke atas sesiapa pun (dari kalangan penduduk negeri). Sebaliknya ia adalah menjadi fardhu ain sahaja atau wajib ain ke atas orang yang berkemungkinan terjerumus ke dalam kesesatan itu”

2.1   Maksud Sekularisme 

Perkataan sekular berasal daripada perkataan Latin iaitu saeculum yang mempunyai banyak pengertian. Walau bagaimanapun, perkataan saeculum merujuk kepada 2 perkara, iaitu masa dan tempat. Masa yang dimaksudkan ialah masa sekarang, manakala tempat yang dimaksudkan adalah dunia.10
Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, beberapa kamus dan ensiklopedia asing mentakrifkan perkataan Secularism dengan tepat.11Antaranya ialah :
  1. Ensiklopedia Britannica menterjemahkan perkataan ini  sebagai :

“Satu gerakan sosial yang bermatlamat membawa manusia dan mengarahkan mereka daripada mementingkan akhirat kepada mementingkan dunia sahaja. ini disebabkan manusia pada zaman pertengahan mempunyai kehendak yang amat kuat untuk menjauhkan dunia, hanya bermeditasi untuk Allah dan hari akhirat.
Bagi memerangi kehendak ini, bangunlah Secularism memperkenalkan dirinya melalui pembangunan kehendak kemanusiaan di mana manusia pada zaman pembangunan menonjolkan pergantungan penuh mereka kepada kemajuan thaqafah dan kemanusiaan serta kemampuan mereka untuk menghasilkan kehendak mereka dalam dunia ini.
Aliran secularism ini berkembang secara berterusan sepanjang sejarah moden keseluruhannya atas asas gerakan yang menentang agama dan memusuhi Kristian.”12
  1. Ensiklopedia Oxford menterjemahkan perkataan ini sebagai :

“Pertama, keduniaan atau materialis, bukannya keagamaan atau spiritual, seperti pendidikan yang tidak bersifat agama, seni atau muzik tanpa agama, pemerintah tanpa agama dan pemerintahan yang bertentangan dengan gereja. Kedua, satu pandangan yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya agama menjadi asas bagi akhlak dan pendidikan.”
  1. Kamus Internasional Ketiga pula menterjemahkan perkataan ini sebagai :

“Satu aliran dalam kehidupan atau dalam apa-apa perkara khusus yang berdiri di atas prinsip bahawa agama atau perkiraan keagamaan hendaklah tidak campur tangan dalam urusan kerajaan, ataupun perkiraan ini diketepikan dengan sengaja. Ia bermaksud sebagai satu polisi tanpa agama sepenuhnya dalam kerajaan. Ia merupakan satu sistem sosial dalam akhlak yang berasas kepada pemikiran wajibnya nilai dan akhlak bangun atas perkiraan keadaan kehidupan moden dan kesatuan sosial tanpa melihat kepada agama.”


Kesimpulannya, Sekularisme ialah ideologi yang memisahkan agama daripada kehidupan manusia. Pemisahan ini adalah pemisahan secara mutlak yang merangkumi aspek kehidupan yang menyeluruh. Sekularisme memberi kebebasan mutlak kepada manusia dalam merencana dan melaksanakan segala urusan kehidupan tanpa sebarang pengaruh agama.


Nota Kaki

1 Zulkifli Haji Ismail.2002. Ancaman Bahaya Sekularisme. Malaysia : Baitul Qurra’. Hlm. 133.
2 Ibid. 139.
3 Sulaiman Noordin. 2008. Sejarah Pemikiran I. Malaysia : Perniagaan Jahabersa. Hlm.  99.
4 Ibid.
5 Pemikiran ini berpendirian bahawa segala perkara moden dianggap lebih baik daripada perkara yang lama.
6 Mempercayai  bahawa kewujudan sesuatu perkara hanya apabila ia boleh dikesan oleh pancaindera sahaja, jika sebaliknya dikira tidak wujud.
7 Humanisme mempercayai bahawa manusia adalah pusat segala-galanya dan manusia adalah Tuhan Maha Agung.
8 Abdul Basir Alias. 2002. Ancaman Nasionalis Sekular Ekstrim di Malaysia. Malaysia : As-Syabab Media. Hlm. 260.
9 Zulkifli Haji Ismail. 2002. Op. Cit. Hlm. 30.
10 Abdul Basir Alias. 2002. Op. Cit. Hlm. 11.
11 Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. 2002. Pertentangan Islam dan Sekular. Malaysia : Maktabah Al-Qardawi. Hlm. 60
12 Abdul Basir Alias. 2002. Op. Cit. Hlm. 60.




** Artikel ini adalah Artikel Ilmiah yang saya sediakan bagi subjek Teknik Penulisan. Alhamdulillah, moga artikel ini punya kualitinya tersendiri dan dapat membantu anda.







Masturah Abu Bakar
Department of Islamic Polical Science
Academy of Islamic Studies
University of Malaya




No comments: