Wednesday, September 16, 2009

Aku jatuh hati


-Pemuda cintakan Al-Quran, takutkan akhirat.-

Sosok tubuh yang duduk di hadapan khalayak ramai dalam samar-samar cahaya itu sayu. Entah apa yang difikirkan. Dia memulakan ucapan dengan tetap memanjatkan syukur kehadrat Allah juga selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Pemuda itu kemudiannya memulakan amanatnya dengan melafazkan beberapa ayat Al-Quran daripada surah Al-Fath yang bermaksud :

"Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Agar Allah memberikan ampunan terhadapmu (Muhammad) atas dosamu yang lalu dan akan datang serta menyermpurnakan nikmatNya atasmu dan menunjukkanmu jalan yang lurus. Dan agar Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat." (1-3)

Semua mata kini tertumpu kepadanya.

"Ana minta maaf, emosi ana kini terganggu."

Bahunya sarat, mindanya tepu, jiwanya beku.

Kemudian Pemuda menceritakan kekecewaannya berhadapan dengan karenah si taghut dunia kampus, yang masih mengimani kebatilan. Tidak terlepas juga rasa berat yang ditanggung untuk menyediakan bala tentera untuk menghadapi peperangan.
Suasana sepi.

Pemuda meneruskan bicaranya dengan nada yang semakin suram, tidak seperti selalu. Suaranya sebak, seakan-akan mahu menangis.

"Sahabat-sahabat, ana malu dengan Allah. Ana takut tidak mampu menjawab persoalan-persoalan maut di hadapan Allah nanti."

"Bila memikirkan soal amanah ini sehingga membuatkan kita menidakkan masa tidur dan senang kita, hingga menjadikan makanan tidak boleh dimamah, hingga menjadikan minda sangat tepu untuk memikirkannya,"

Pemuda menangis..

"Di sana nanti, ana akan bawa semua bebanan sahabat-sahabat di pundak ana lalu ana akan menjawabnya di hadapan Allah untuk pihak kalian."

"Sahabat-sahabat, ana tidak mampu menjawab jika persoalan amanah yang akan dipersoalkan."

"Di kampus ini terdapat 20 ribu orang, adakah dakwah kita sampai kepada mereka?"

"Ana rasa tidak mampu untuk melihat kejatuhan gerakan Islam di tangan kita."

"Ana rasa kali ini, kita masih jauh lagi untuk mendapat nikmat kemenangan daripada Allah. Sahabat, kita diuji dengan nikmat kemenangan yang membuatkan kita beku. Allah tidak akan beri lagi kemenangan buat kita."

Pemuda teresak-esak. Aku juga turut menangis.

"Sahabat-sahabat, ana takut untuk menjawab persoalan Allah. Ana takut didakwa di mahkamah Allah. Ana takut akhirat."

Muslimin tertunduk, muslimat tersedu-sedu. Semua menginsafi diri. Merasa kekerdilan diri.

Pemuda itu sememangnya adalah pemuda yang lantang menegakkan kebenaran, kritikal, berjiwa besar dan mempunyai pergantungan yang tinggi kepada Allah. Tetapi hari ini, pemuda itulah yang menjadi insan paling kerdil yang merasakan dirinya terlalu berdosa.

Allahuakbar, sudah acapkali dia mempersoalkan tentang dirinya yang akan didakwa di hadapan mahkamah Allah. Sudah beberapa kali dia menyatakan dirinya akan ditanya tentang amanah. Sudah seringkali dia mengatakan bahawa dirinyalah yang paling berat hukumannya di akhirat.

Allahuakbar! Pemuda itu adalah pemuda yang cintakan Al-Quran.

Meyakini bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari perhitungan.

Allahuakbar! Pemuda itu adalah pemuda yang takutkan akhirat.
Meyakini bahawa amanahnya sebagai khalifah bukan mainan. 

Ya Allah, moga aku tidak menjadi bebanannya. Moga sahabat-sahabatku tidak menjadi bebanannya. Moga Kau meringankan bebanannya.

Ya Allah, sungguh, aku jatuh hati pada sikapnya yang cintakan Al-Quran dan takutkan akhirat.

Ya Allah, kurniakanlah aku sifat cintakan Al-Quran.

Ya Allah, kurniakanlah aku sifat takutkan akhirat.

Agar aku menginsafi tiap inci daripada kehidupanku ini akan dipersoalkan. Supaya aku menyedari bahawa amanah yang menjadi bebanan ini akan Kau tanyakan.

5 comments:

~PakKaramu~ said...

Beraya dengan maksud takbir

wan hashim said...

hebat. maaf kata. tapi blog yg menakutkan.

Masturah Abu Bakar said...

menakutkan?

saya hamba.

wan hashim said...

saya bukan takutkan blog ni mahupun tuan blog ni. sy pun hamba. cuma takut bila blog ni bg sy teringat akan kekurangan diri yg amat sgt. lihat maktabah pun dah tahu takat mana level sy. bc satu artikel pun dah rasa risau. minta maaf jika komen tk bekenan di hati.

Anonymous said...

terharu...