"Tahukah kau? Mujahadahku sebelum subuh mendarat, menyuci jiwa, berserah dan berharap. Moga dibukakan hijab mencari jawapan sebuah persoalan. Tahukah kau? Tahajudku sebelum fajar menyinsing, hatiku bergetar hanya kerana sebuah harapan yang terpagar.." - qalamhazin
Saya agak takut membicarakan soal harapan. Harapan adalah masa depan dan masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Ia sangat misteri dan mendebarkan. Maka, sebab itulah saya gentar. Kerana saya tidak dapat membayangkan masa depan saya, saya juga tidak dapat menentukannya mengikut acuan kehendak saya. Hanya apa yang mampu saya lakukan ialah berdoa dan mengembalikan setiap harapan saya kepada Yang Maha Berkuasa.
Setiap orang berhak membayangkan masa depan mereka. Sama ada membayangkan yang indah-indah atau sebaliknya terpulang kepada individu. Juga manusia bebas memberikan harapan mereka kepada sesiapa sahaja yang mereka suka. Lazimnya, manusia meletakkan harapan yang tinggi kepada orang yang mereka kasihi dan sayangi. Kita bebas meletakkan harapan kita di dalam acuan apa sekalipun kerana ia adalah hak kita.
Cuma, harapan saya bukan harapan berbaur cinta dan kasih. Harapan saya berpagarkan mujahadah. Saya meletakkan harapan kepada seseorang bukan kerana saya mencintainya, bukan kerana saya mencintai peribadinya, fizikalnya atau tingkah lakunya, tetapi harapan saya adalah harapan yang perlu saya jaga dan ia perlu diatur mengikut peraturan Allah. Kerana saya yakin jika saya gagal menjaganya, maka secara tidak langsung saya gagal dalam mujahadah yang menuntut kesabaran walau kadangkala kita keletihan.
Harapan saya sangat tingi nilainya. Saya takut untuk meletakkan harapan tinggi melangit, kerana saya takut saya akan jatuh menyembah bumi. Saya takut menetapkan harapan seluas lautan, kerana saya takut saya akan lemas sendirian.
Seseorang telah mengajarkan saya erti bagaimana mengendalikan harapan. Mahukan tipsnya?
1. Doa
2. Yakin
3. Redha
Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Malah Allah Maha Mengetahui apa yang kita tidak ketahui kerana Dia Aaalimil Ghayb. Masa depan adalah termasuk dalam senarai perkara ghaib yang hanya tersimpan kemas dalam ilmu Allah. Kadangkala kita menganggap sesuatu adalah terbaik buat kita padahal di sisi Allah sebenarnya tidak. Allah berfirman dalam Al-Quran :
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."- AlBaqarah : 216
Harapan yang disemai perlu kepada jagaan rapi. Harapan perlu disiram dengan iman. Harapan perlu dibajai dengan taqwa dan redha.
Moga Allah menjauhkan kita daripada meletakkan harapan selain daripadaNya. Moga Allah menjaga hati kita daripada harapan berbaur cinta manusia.
2 comments:
salam buat kamu yang tinggi harapannya...
entri yang simple namun mampu menusuk hati damai...
benar...sandarkan harapan hanya pada-Nya...kalau harapan jadi kenyataan,ucapkan alhamdulillah....kalau tidak jadi kenyataan pun,tetap ucapkan alhamdulillah...kerana setiap apa yang berlaku ke atas diri kita PASTI adalah yang TERBAIK untuk diri kita...
~~Allah yang mencipta kita,PASTILAH Dia tahu apa yang terbaik untuk hasil ciptaan-Nya ini~~
setiap patahnya mentarbiah pembaca.. semoga kita bersama-sama meletakkan allah sebagai harap dan matlamat utama..ketentuan-Nya adalah yang terbaik..
Post a Comment