Sahabat adalah cerminan diri kita. Ada suatu kata-kata hikmah, 'Andai kau mahu mengetahui dirimu, sahabatmu adalah cerminanmu'. Rasulullah juga ada beranalogi tentang kepentingan memiliki sahabat yang baik. Perbandingan tukang besi dan penjual minyak wangi adalah pengajaran yang jelas dalam persahabatan. Maknanya, sahabat adalah cermin ajaib. Apabila kita melihat cermin, wajah sahabat-sahabat kita akan muncul. Bukan hanya sekadar seperti cerita snow white dengan cerminnya.
Sahabat-sahabat saya adalah insan-insan yang hebat. Saya tidak setanding mereka. Suatu ketika dahulu saya pernah mengagumi mereka, dan kini saya tidak percaya bahawa kami sedang bekerja dan berjuang bersama. Mereka ini adalah pemikir. Fikiran saya akan terbantut tanpa percambahan idea dari mereka.
Kami punya sifat dan sikap yang berbeza. Ada yang ke hulu, ada yang ke hilir. Ada yang ke timur, ada yang ke barat. Ah, merekalah teman saya bertengkar dan bercanda. Saat makan juga boleh berusrah, saat berjalan boleh brainstorm, saat bertengkar boleh mengerat ukhuwah. Pelikkan?
Periang, suka ketawa, hebat berhujah, hubungan yang rapat dengan Allah, lembut dan sopan, berjiwa hamba, jujur, hikmah,degil,sensitif,emosi,ego.. Semuanya terangkum bersama mereka dan saya. Segala cerita hati, rahsia jiwa, kisah cinta kami kongsi bersama. Mereka mengingatkan saya saat saya lupa, menegur saya saat saya khilaf, mendidik saya ketika mereka menyedari diri ini penuh dengan kejahilan. Walaupun banyak lafaz tersimpan yang tidak terucap, namun ia tidak penting sepenting mereka dalam hidup saya.
Saya terfikir, bagaimana saat kami berpisah nanti. Tak dapat dibayangkan,tercampak ke Mesir,Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan dan Selangor. Entah lah.
Suatu hari saya pernah mengajuk gaya Umi Za bercakap, kemudian dia berkata pada saya,
"Tak baik tau. Kita ni tak pernah menghargai sahabat saat dia ada depan mata. Umi dah tak ada nanti baru tau.."
Entah apa angin dia berbicara begitu, selalunya baik-baik saja kerana faham itu adalah gurauan saya. Terusik juga hati ini, bukan tidak menghargai sahabat, tetapi saya semakin ghairah menghargai peluang bersama mereka. Andai mereka tahu betapa saya sayangkan mereka kerana Allah.. Namun ia masih menjadi lafaz tersimpan, hanya diterjemah melalui tingkah. Dalam diri saya terhimpun sejuta kelemahan, banyak perkara yang saya rasa saya sudah terlanjur menyakiti hati mereka. Maafkan diri ini yang serba kekurangan..
Saya tidak pandai bercerita dan berbahasa tentang hati saya. Kemudian sahabat-sahabat mula menghakimi saya sebagai perahsia. Ya, memang benar.
Saya ada bicara pada mereka, saat nanti umur kita 30 tahun, kita wajib buat family day. Huhu, rasa lucu pula. Tapi saya pasti akan kota, dengan izin Allah.
"Hatiku indah berwarna-warni, salah satu warnanya diwarnai oleh kamu!"
No comments:
Post a Comment