Dia bungkam. Kepalanya sengaja ditekap dengan bantal, airmata mengalir tidak henti. Bukan kerana dia sedih dan kecewa. Tidak.
Matanya tertancap pada bulatan yang ditulis dengan dakwat merah pada muka depan kertas peperiksaannya itu. Sambil itu, dia berdoa di dalam hati agar segalanya berubah. Namun kecewa menggamit jiwanya, dia gagal lagi.
Dia bukan sedih dan kecewa. Bukan.
Cuma dia marah dan geram pada diri. Usahanya ternyata tidak membuahkan hasil. Mahu saja dia menjerit kuat sepuas hati, namun perasaan itu terpaksa ditahan. Takut abi dan uminya tahu tentang keputusannya. Dia tahu mereka tidak akan menghukumnya. Bahkan, dia merasakan sudah berbuih mulut mereka, tidak jemu menasihatinya. Itu yang membuatkan dia kuat selama ini.
Sudah puas dia berusaha, siang malam duduk menghadap buku yang bertimbun di atas meja. Untung dia ada keinginan untuk belajar. Jika tidak, mahu saja buku-buku itu dicampak ke tong sampah.
Seingatnya dahulu, dia adalah anak umi yang paling lambat membaca dan menulis. Semua abang dan kakaknya tidak jemu memberi tunjuk ajar. Kekadang dia mengejek dirinya ‘bebal’, ‘lembab’. Dia marah.
Berbanding dengan keputusan abang dan kakaknya semasa UPSR, dia yang paling teruk. Tiada A langsung tercatat di atas slip putih itu. Dia malu. Ketika semua kawannya bergembira dengan keputusan yang cemerlang, dia tidak.
Kini dia bakal menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) setelah dia mendapat keputusan yang tidak melayakkan dia mendapat tempat di universiti. Ramai juga kawan-kawan yang senasib dengannya. Tidak kurang juga yang berjaya dengan cemerlang.
Dia punya cita-cita besar. Dia mahu ke bumi anbiya’. Itu adalah impian yang dia pasang sejak di sekolah rendah lagi. Di sana banyak ilmu yang boleh dia timba. Dia mahu mencari sesuatu di sana. Syahid.
Apa yang dia tahu, selama ini dia meletakkan pergantungannya kepada Allah. Umi pernah berpesan, Allah memberi hambaNya keperluan, bukan keinginan. Mungkin kejayaan itu bukan keperluannya saat ini. Atau mungkin ada dosa dan noda dalam diri yang perlu dia lunaskan. Allah lah tempat dia mengadu rasa hati, merintih sayu meratap kegagalannya. Bukan dia tidak berusaha dan berikhtiar. Semuanya sudah dilakukan.
Umi mendaftarkannya di pusat tuisyen, dan dia tidak pernah ponteng walaupun sesekali rasa malas menggoda diri.
Abi memanggil guru datang mengajarnya di rumah, dan dia tetap akur walaupun sebenarnya kadangkala dia bosan.
Abang dan kakak membelikannya buku rujukan dan latihan yang banyak hingga memenuhi ruang biliknya, dan dia menerima walaupun dia merasakan bahawa dia tidak akan sempat menghabiskan semuanya.
“Ya Allah. Mampukah aku?”
Bantalnya diletak di sisi. Dia berpusing menghadap siling. Air mata sudah kering.
Lagi 5 bulan, dia berbisik.
Sempatkah lagi?
****
Hairan, perjalanannya terlalu jauh. Hutan rimba, paya, semak-samun, binatang liar semuanya diredah. Penat dan haus. Itulah perasaannya ketika itu.
Kakinya dipaksa untuk melangkah walau sakit kakinya akibat berjalan jauh itu kian terasa. Dia berjalan mendongak kepala.
Tiba-tiba dia terungkur.
“Aaaaaaaaa… Tolongggg!!”
Bergema kuat suaranya. Tubuhnya laju menjunam kebawah, kemudian dia jatuh menghempap tanah. Meniarap. Rasa pedih menusuk di sekitar lengan dan kaki. Luka mungkin. Tulang belulangnya terasa bagai hendak patah.
Sesungguhnya dia perlukan pertolongan.
“Allah, bala apa yang menimpa aku ni..”
Dia merintih sendiri. Kemudian dia cuba berusaha untuk berdiri. Sambil mengibas-ngibas seluarnya dia berfikir sesuatu. Saat dia mengangkat kepalanya dia terpana.
Dia nampak sebuah taman cantik yang dipenuhi bunga, dia berkira-kira mahu melangkah ke sana. Bagai taman syurga, aroma harum bunga dan dingin air sungai yang mengalir deras menguatkan keinginannya untuk ke sana.
Namun dia mengeluh. Dia perlu melalui sebuah tembok besar yang menghalang perjalanannya. Pemandangan itu hanya dilihat dicelah-celah palang besi sebesar meja tulis yang tampak sangat kukuh dan sangat mustahil dia boleh meruntuhkannya.
Dia mencari idea namun buntu. Lantas tanah yang dipijak disapu kemudian dia duduk memeluk kaki. Tembok besar berwarna hijau itu ditatapinya. Lama dia merenung.
Baru dia teringat, abi ada bercerita. Dahulu tika tentera Khalid Al-Walid Saifullah memburu tentera nabi palsu Musailamah Al-Kazab yang menyembunyikan diri di dalam Hadiqaturrahman iaitu sebuah taman yang subur yang dipercayai adalah taman syurga anugerah dari tuhan kepada mereka, tentera Islam terpaksa berdepan dengan sebuah tembok besar yang tinggi dan kukuh. Pintu tembok itu dikunci dari dalam oleh tentera Musailamah Al-Kazab.
Sedang tentera Islam berfikir mencari jalan, tiba-tiba datang seorang lelaki bernama Barak menawarkan diri untuk memasuki benteng itu. Setelah lama mereka berbincang, Khalid Saifullah lantas menyetujuinya.
Tentera Islam membina ‘tangga manusia’ bagi membolehkan Barak memanjat tembok itu. Ternyata, setelah mereka berusaha mereka dapat mengalahkan tentera nabi palsu itu dan pengikutnya.
Abi selalu bercerita tentang sejarah para nabi dan sahabat terdahulu serta strategi peperangan mereka. Maka, tiap kali abi habis bercerita pesanan yang satu ini pasti diulang tanpa jemu.
“Kita kena pandai mengaitkan strategi perang di dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Lagi-lagi nanti kalau kita bergelar daie, cabaran terlalu banyak…”
Panjang lagi pesanan abi.
Ahh.
Tapi aku tak ada sesiapa di tempat ini. Masakan aku boleh membuat jambatan manusia.
Dia mendongak ke langit, lantas dia terpana lagi.
Subhanallah. Indahnya pemandangan. Awan berarak tenang, burung berterbangan riang, matahari memancar terang.
Di mana dia berada? Bagai di syurga.
“Wahai manusia! Kau menceroboh tempat ini!”
Suatu suara garau menakutkan bergema. Dia mencari-cari arah datangnya suara itu. Jantungnya berdegup kencang.
Aku penceroboh?
“Kau patut keluar dari sini. Sekarang juga!”
“Err.. Err, siapa tu?”
“Aku ketua makhluk di tempat ini. Tempat ini dibina istimewa untuk makhluk yang sudah membenarkan janjinya yang
dikota di dunia.”
“Janji apa?”
“Kau tak perlu tahu tentang itu. Yang kau perlu tahu, kau belum menepati janji kau lagi.”
“A.. Aku patut pergi mana?”
“Kau patut keluar dari sini..”
“Bagaimana? Aku tak biasa di sini. Mana jalan keluar? Aku mahu pulang.”
“Kau Nampak tembok besar hijau tu? Kau mesti melepasinya, ada makhluk yang akan menunjukkan kau jalan.”
“Bagaimana aku mahu melepasinya? Masakan boleh. Tembok itu terlalu tinggi dan besar. Tolong lah aku.”
“Kau terlalu cepat berputus asa!”
Putus asa?
“Kau penakut!”
Penakut?
“Kau banyak menyimpan sangka buruk dalam diri!”
Sangka buruk?
“Itu penyebab kau selalu gagal. Kau budak pengecut!”
Suara itu terus menggodam akalku. Aku terpempan. Benarkah?
“Kau mengecewakan semua orang dengan dirimu. Kau kerdil!”
“Benarkah? Siapa kau?”
“Kau tidak rapat dengan kalam Tuhanmu. Kau patut menggunakannya.”
“Benarkah??”
“Baca surah Toha ayat 135 dan surah An-Naml ayat 62 dalam solat hajatmu.”
Suara itu sekan tenggelam timbul. Dia tidak jelas.
“Apa kau katakan? Tolong ulangi.”
Senyap.
“Kau sudah hilang??”
Sepi.
“Kau kemana?”
Sunyi.
Benarkah apa yang dikatakan oleh suara itu? Jika benar, mengapa terlalu banyak sikap burukku? Memang
sepatutnya aku gagal.
Aku pengecut? Aku penakut? Aku banyak buruk sangka? Aku kerdil?
Dia dengar hatinya mentertawakannya.
Dia dengar otaknya tergelak lucu melihatnya.
Tangan dan kakinya juga kelihatan seakan mengejeknya.
Jari-jemarinya digenggam. Erat dan kemas. Dia memandang jauh kehadapan, memandang tembok hijau. Aku mesti
melepasinya!
Dia nekad. Matlamatnya jitu! Langkahnya sudah dibuka luas.
“Allaaaaahhhhhh!!”
Dia berlari sekuat hati. Kini jaraknya dengan tembok itu hanya 25 meter. Dengan lariannya yang laju seakan kilat, dia menginjakkan dirinya keatas. Dia melompat setinggi mungkin sambil menutup mata. Terasa angin membantu menolaknya ke atas.
“Allaaaahhh!!”
Bummpp!
Dia sekali lagi jatuh menjunam. Tetapi kini bukan lagi di atas tanah keras. Terasa lembut dan selesa.
****
“Khalid, kenapa ni?”
“Khalid sayang anak umi. Mimpi ya?”
“Haa? Khalid kat mana ni mi?”
Umi tersenyum, lucu dengan pertanyaanku mungkin.
“Laa.. di bilik la ni.. Khalid Saifullah.. Mengigau la tu.”
Dia diam, hairan bertamu lagi. Tadi dia di mana? Mana bunga-bunga? Mana tembok hijau? Mana suara garau? Mana
sungai? Mimpi? Ahh, bukan.
“Umi.. Dah pukul berapa ni?”
“Pukul 4 sayang. Umi nak kejut Khalid Qiam sama-sama ni. Bangun ya? Abi tunggu.”
“Umi, Khalid mimpi tadi. Suara tu cakap Khalid banyak buruk sangka pada diri. Betul ke mi?”
“Nak, Umi nak Khalid cari diri sendiri. Nilai diri, kemudian buat perubahan. Khalid tak boleh lemah. Khalid kan nak jadi
Khalid Al-Walid.. Pedang Allah tu. Kan sayang?”
“Khalid Al-Walid.. Dia tak pernah gagal dalam peperangan. Tapi Khalid banyak kali gagal dalam pelajaran. Tak sama mi..”
Dia merendah diri, suaranya perlahan. Umi lantas mengusap anak rambut di dahinya dengan penuh kasih sayang.
“Jangan banyak buruk sangka. Umi sentiasa doa untuk Khalid.”
Dia diam. Ya, jangan banyak buruk sangka. Kini dia sedar mengapa Allah melambatkan proses kejayaannya. Allah
mahu dia mengubah sifat mazmumah di dalm dirinya.
Dia bangun tiba-tiba, berdiri tegak. Dia bersemangat.
“Terima kasih ya Allah..”
…………………………
Original writing by Masturah Abu Bakar
20.Nov.08
www.islamcintaku.blogspot.com
www.islamcintaku.blogspot.com
No comments:
Post a Comment