Friday, November 21, 2008

Cerpen : Indahnya Mujahadah


Terarah pandanganku pada si diari biru itu. Biru laut,coraknya berbentuk lingkaran hati berwarna putih. Satu cara yang menenangkan hatiku saat gundah gulana dulu. Yang menyimpan seribu cerita hati,cerita cinta yang pastinya kini malu untukku membukanya kembali.


Penuh, coretan perasaanku setiap hari yang ku titipkan di dalamnya. Tidak lepas dari aduan dan keluhan pada si empunya diri yang tidak bernyawa. Aduan rindu pada si dia juga menjadi salah satu agenda wajib bagi tintaku. Ah! Malu sungguh bila ku kenangkan. Cinta si nafsu. Cinta berlandaskan nafsu semata-mata, banyak melanggar syariat dan batasan agama. Telefon,mesej tanpa henti,bergurau senda. Segalanya menjadi satu saat itu. Menjadi satu titik noda yang amat terkesan dalam perjalanan hidupku.


Dosa semalam itu ku kenang lagi…


Malu kurasakan. Aku kembali menyelak helaian kertas yang mulai kekuningan itu. Dengan tulisan menggunakan warna pen yang pelbagai, hari demi hari. Tanpa sepicing memori pun yang ketinggalan. Semuanya termaktub di dalamnya. Terkadang aku ketawa sendirian,menyedari kebodohan diri saat itu. Tanpa ada pimpinan dari sesiapa,jauh sekali dari sahabat sepengajianku saat itu.


Masing-masing rasanya tidak menegahku, mungkin mereka juga tidak punya kesedaran sepertiku saat ini. Alhamdulillah,segalanya milik Allah. Allah menyayangiku amat, maka Dia memberikan yang terbaik buatku.

Seperkara yang tiba-tiba menjengah diingatan…


Seorang sahabat mengadu padaku. Masalah roommate nya, Zulaikha. Roommate nya yang dahulu seorang yang cukup menjaga hati dari cinta duniawi tiba-tiba mengalah dengan lamaran seorang lelaki. Kononnya si muslimin itu mengambil teori untuk ‘mengecop’ si muslimat. Itu masih boleh dikompromi. Maksudnya, ada tujuan untuk mendirikan rumahtanngga, bukan sebagai mainan cinta sahaja


Tetapi yang buat sahabatku terkilan, lain yang diharap lain pula yang jadi. Makin rancak mereka memadu cinta. Tiap saat telefon bimbit di tangan, teddy bear dan coklat pula bahan penambah resepi cinta. Aduh.. Aku pula yang pening.

Satu alasan lagi. konon si muslimin tadi ingin menjaganya daripada fitnah dunia,mahu menjaga...


Ah! Siapa dia untuk menjaga? Tunang? Suami?


“Kau cemburu?” hatiku berbisik deras.


Lantas laju derap akalku menyusun bait jawapan.


“Tidak sama sekali!!” aku menjerit tanpa suara.


Benar. Langsung tiada bagiku perasaan itu.


“Jadi,kau tiada mulut? Tiada mulut untuk bertanya dan menasihati mereka?”. Hatiku masih tidak jemu,menyulitkan lagi benakku.


“Aku tiada kekuatan. Hubungan mereka nampaknya sudah jauh.”


Aku semacam kalah.


“Kau terlalu banyak alasan!”. Hatiku melibas lagi.


Aku buntu saat itu. Tiada jawapan kutemui..


“Kau dulu juga seperti mereka bukan?,” hatiku masih tegar berbicara,lantas..


“Argh! Senyap saja kau!”


Hatiku terus bungkam… sepi…


****


September 2007


Saat ini aku keliru. Dia datang lagi dalam hidupku. Apakah sebenarnya tanda ini? Adakah ini ujian buatku?

Semalam aku menerima mesej darinya, dia sekadar bertanya khabar. Dan aku semacam bingung, terkejut mungkin. Sudah sekian lama kami berputus hubungan. Hampir 9 bulan. Suatu jangka masa yang agak lama. Memang dalam pada itu,jauh di sudut hatiku menanti khabar darinya. Aku mengikuti perkembangannya dari jauh.


Dan yang pasti,aku tidak mahu kenangan kelmarin datang lagi. Aku sudah lelah menghadapinya dulu. Cukuplah..

Aku tidak mahu lagi,bercakap hal yang tiada manfaat dengannya, bermesej yang bukan-bukan. Jauh sekali untukku membenarkan perasaan rindu itu hadir kembali dalam jiwaku. Tidak mungkin.


Aku sedar semua ini mengundang noda. Bagaimana aku harus melanggarnya buat kali kedua? Aku tidak mahu lagi.

Tuhan, jujur janganlah Kau membuka peluang lagi untukku dan dia membina kembali kenangan silam yang ternyata menjadi noda hitam. Ampunkanlah aku Tuhan.


HambaMU,

Nourul ‘Izzah


Si diari biru aku tutup.


Aku menggerak-gerakkan tengkukku yang agak lenguh. Berhenti seketika menghirup udara. Ruang bilik yang kecil itu agak menyesakkan. Alhamdulillah, kuota bilik ini yang boleh memuatkan 4 orang hanya diisi oleh 3 orang termasuk diriku. Maksudnya ada 1 katil,1 meja dan 1 loker yang kosong.


Aku membuang pandang ke tingkap yang sengaja ku buka luas. Biar molekul angin memenuhi ruang udara bilik kecil ini. Tampak gelap di luar. Pemandangan di luar juga kosong.memandangkan bilikku terletak di tingkat paling bawah. Aku hanya berpeluang melihat penghadang yang diperbuat daripada zink di depanku. Di sebalik zink merah itu, terdampar padang luas yang selalunya digunakan oleh muslimin untuk beriadah. Sebab itulah wujudnya penghadang ini, memastikan supaya aurat muslimat terjaga.


Aku berniat untuk menyudahkan beberapa assignment yang masih terbengkalai. Tarikh hantar semakin dekat. Itulah tanggungjawabku. Sebagai seorang mahasiswa, aku perlu menjanjikan yang terbaik untuk pengajianku. Juga, tanggungjawabku sebagai seorang khalifah. Aku perlu mewaqafkan diriku untuk perjuangan Islam. Terima kasih ya Allah atas tugas yang telah kau galaskan kepadaku. Sekurang-kurangnya aku tidak leka.


****


“Assalamualaikum..” Suara yang sudah lama tidak ku dengar. Aku terus meneliti desir suara itu sekali lagi.


Lalu aku menyepi. Terkejut.


“Assalamualaikum.. Ada orang di sana?”


“Waalaikumsalam. Ya,ada.. ada.. Siapa tu?” Aku cuba bertanya,mana tahu hanya mainan perasaanku.


“Ni Saiful,Saifullah. Masih ingat lagi? Masakan anti lupa,”


Memang benar dia. Ternyata itu bukan hanya mainan perasaanku.


Aku sepi lagi. dia kembali menyambung..


“Anti apa khabar? Dah lama ya tak dengar cerita,”.


Diam..


“Helo.. ada orang ke? Helo..” bingit telingaku terdengar suaranya.. kemudian..


“Nourul Izzah.. Nourul Izzah… bangun..”


“Nourul Izzah.. Nur, bangunlah.. dah subuh ni..”


Aku terjaga.. Terdengar namaku dipanggil orang. Mataku terkedip-kedip,melawan sinaran cahaya lampu yang baru terpasang. Nampak kelibat seseorang.. Ah, Syuhada’ rupanya..


“Bangun Nur.. Dah subuh dah ni,”


Aku masih mamai. Mataku terarah pada jam di dinding.


“Oh,dah pukul 5.50 pagi ya..dah azan?”




“Sudah.. bangun cepat.. boleh berjemaah di Musolla Khadijah,”


“Ya,Nur bangun ni syu,”


Aku masih duduk di birai katil. Terfikir sesuatu.


Mimpiku tadi.


Dia lagi..


Mungkin disebabkan terlalu memikirkan tentang si diari biru. Lantas insan yang kurasakan tidak perlu dikenang lagi

itu masuk ke dalam mimpiku,tanpa diundang.


Lupakan saja!


“Nur, bila nak pergi ambil wudhu’ ni?”


Aku terus bergerak, mencapai tuala dan baldi. Kemudian menapak laju menuju ke bilik air.


Assalamualaikum warahmatullah.. Ku toleh ke kanan..


Lantas ke kiri, Assalamualaikum warahmatullah..


Alhamdulillah.. Masih ada hari yang diciptakan untukku,masih aku diberi peluang untuk menyembah Rabbku. Moga

hari ini lebih baik dari semalam.


Tidak ramai jemaah subuh hari ini. Mungkin ramai yang sudah pulang. Tambahan lagi dengan kakak-kakak yang baru saja menghabiskan 3 tahun pengajiannya di sini. Agaknya sebab itulah musolla yang selalunya penuh kini lengang, kiraku.


Sahabat yang bersolat tadi di kiriku menghulurkan naskhah Al-Ma’thurat. Aku mencapainya dan menguucapkan terima kasih. Selepas membaca Al-Ma’thurat,ada halaqah tazkirah. Alhamdulillah, jiwa meronta ini minta diisi.

Halaqah tazkirah dibentuk. Ada kira-kira 15 orang yang bersama-sama menunggu untuk mendengar tazkirah subuh itu. Kemudian Khaira sahabatku mengambil tempat selaku pengerusi halaqah.


“Assalamualaikum,kita buka majlis kita dengan ummul kitab Al-Fatihah,”


Ahli halaqah semua nampak terkumat-kamit membaca ummul surah itu. Amalan itu sudah menjadi suatu kelaziman.


“Alhamdulillah,mari kita rafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan izinnya dapat lagi kita merasai 2 nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan islam yang kita semua sedia maklum, 2 nikmat ini tidak dapat kita beli di mana-mana. Alhamdulillah juga kerana kita diberikan upaya oleh Allah untuk sama-sama turun solat berjemaah yang pahalanya adalah 27 kali ganda daripada sesiapa yang bersolat fardiyyah.”


Ya, pahala yang lebih 27 kali ganda. Bukan mudah nak mengajar diri supaya istiqamah untuk solat berjemaah.


Dikawal pula dengan nafsu dan syaitan yang sentiasa memusuhi.


“Ana buka kepada sahabat-sahabat yang ingin memulakan halaqah tazkirah kita pagi ini. Tafaddholii..”

Semua saling berpandangan antara satu sama lain, aku juga begitu. Mencari gerangan penyampai tazkirah. Siapa ya?


Mataku tertancap pada seseorang. Kak Aqilah,sahabat seperjuanganku kini. Tua lebih setahun daripadaku namun dia masih menuntut di semester 2. Aku suka mendengar Kak Aqilah berbicara,kalimatnya laju meluncur memasuki kalbuku. Gaya dan intonasi percakapannya yang tersendiri bisa menarik hati pendengar. Kurniaan Allah, itu kelebihannya. Sesuai menjadi penceramah seperti Ustazah Siti Norbahyah yang tidak asing lagi di tanah air ini.

Kak Aqilah memulakan muqaddimah, kemudian menyambung kalimat dengan hadaf tazkirahnya.


“Cuba kita lihat, wanita hari ini.. Alangkah sedikitnya yang menutup aurat dengan sempurna,”


“Sedih kalau kita perhati dan hayati persekitaran kini. Dan antunna cuba fikirkan. Kita mahu salahkan siapa? Siapa yang bersalah dalam situasi ini? Ibubapa? Guru? Pengaruh rakan?,”


“Sudah, kita tidak perlu menuding jari pada sesiapa. Sekali jari telunjuk kita menuding orang lain,dan pada masa yang sama 4 jari lagi akan menuding kepada kita. Kita nak harapkan siapa lagi? Kita sebagai orang yang diberi peluang untuk faqih dalam ilmu agama inilah yang sebenarnya bertanggungjawab mengeluarkan masyarakat daripada kepompong jahiliyah,”


“Masakan kalian lupa hadith Rasulullah yang berbunyi,’Siapa yang mengucapkan kalimah lailahaillallah muhammadarrasulullah, maka dia adalah seorang Dai’e.’ Nah! Ternyata semua ini adalah amanah kita,”


Tajuk berkaitan dengan dakwah. Menarik, bisikku dalam hati.


“Banyak lagi dalil yang membawa kita menyelusuri tentang kewajipan berdakwah. Antaranya dalam Surah Ali-’Imran ayat 104,


“Dan hendaklah ada di antara kamu, satu golongan yang mengajak (manusia) kepada

kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf,melarang dari kejahatan dan merekalah orang-orang yang beuntung”

Kak Aqilah diam sebentar, menyusun ayat.


“Sahabat-sahabat, tugas dakwah adalah tugas kita. Namun jalan dakwah ini banyak likunya. Kita tidak boleh bergerak berseorangan. Sunnatullah, kita akan diuji dengan pelbagai tribulasi. Jadi,dengan bersama sahabat-sahabat kita akan menjadi kuat. Kita lihat perumpamaan sebatang lidi. Sebatang lidi tidak kukuh, mudah untuk dipatahkan. Namun jika kita cuba patahkan seikat lidi, pasti usaha kita akan menemui kegagalan,”


“Marilah akhawat kita berganding bahu menyahut seruan dakwah, jalan yang pernah dilalui leh Rasulullah dan para sahabat. Tetapi, sebelum kita menyelusuri lapangan dakwah, kita harus memperlengkapkan diri kita dengan tsaqofah buat bekalan. Agar nanti kita tidak cepat melatah apabila datangnya mehnah,”

Kalimat-kalimat kak Aqilah seperti biasa terus meresap dalam jiwaku. InsyaAllah, akan ku teruskan perjuangan dakwah Rasulullah.


Kemudian kak Aqilah mengakhiri tazkirahnya dengan menuturkan bait syair arab dengan begitu fasih. Indah sungguh maknanya, kata penguat bagi insan yang bergelar dai’e.


Sesungguhnya anda sudah dicalonkan unuk tugas itu...

Jika anda telah mengerti hal itu...

Maka anda perlu mempersiapkan diri...

Agar jangan sampai terjadi…

Anda dikenang orang di samping kegagalan..


Pandai kak Aqilah mengatur skill tazkirahnya. Dengan lambakan dalil-dalil dan ditambah pula dengan syair. Memang kuakui kak Aqilah seorang yang banyak membaca dan suka mengkaji. Masanya dihabiskan untuk itu dan tidak pernah rasanya dia terlihat kak Aqilah membuat perkara yang tidak bermanfaat.


Nourul Izzah kemudiannya menyemat impian dalam hati,moga-moga nanti dia juga jadi seperti itu.. Ameen..


****


Tirai yang menutupi tingkap bercermin hitam itu diselak. Sinaran cahaya pagi menembusi setiap inci biliknya. Kemudian dibukanya tingkap pula.


Nyamannya udara pagi.. Syukurlah, nikmat Allah tak terhitung rasanya.


Dia mencapai novel islamik berkulit biru cyan yang tersusun kemas di atas meja tulisnya. Buku pinjam. Menarik ilustrasinya, juga menarik minat pembaca. Apatah lagi penggemar novel sepertinya.


Salju Sakinah.. karya oleh Zaid Akhtar.


Novel itu baru saja dipinjamnya semalam daripada seorang sahabat, Sumayyah. Kebetulan namanya seakan nama watak utama dalam novel itu. Juga Sumayyah.


Dia menyelak muka surat 164, sambungan daripada pembacaan semalam. Tertarik pula dia pada suatu kalimat, kalimat harapan.


Ditelitinya, lalu dia berbisik,


Dia seorang Sumayyah,aku pula seorang apa?


Entah. Tiada jawapan.


“Nur,” Syuhada’ memanggilku. Aku mengangkat wajahku memandang wajahnya.


“Kenapa?,”


Syuhada’ terdiam sebentar, seakan berfikir sesuatu. Aku pula tidak sabar menanti bait katanya.


“Kenapa Syu? Ada yang tak kena ke?” Beginilah aku,selalu saja tidak sabar.


****


Tut,tut..


Message tone telefon bimbitku kedengaran. Mataku terarah pada skrin telefon.


1 message received


From : Syuhada’


“Hati ini selalu setia, cuma fikiran terkadang alpa. Merindui sesuatu yang belum pasti, sedangkan Allah cinta sejati. Kasih insan membawa bahagia, kasih Allah membawa ke syurga, semoga diri jauh dari khilaf dan noda kerana aku hanya mahu keredhaan dari Tuhan yang Esa.”


Aku membiarkan mesej itu tanpa balasan. Kasihan Syu, masalah hati memang sukar dicegah.


Mesyuarat yang bermula sejak 8 pagi itu akan tamat dalam masa 5 minit lagi andaiku.


“Antum semua ada hal-hal lain? Kita round table aja,”


Semua menggeleng kepala.


“Ana nak cuma nak pesan satu perkara. Walau sesibuk manapun kita ingatlah. Kita milik Allah. Tolonglah sahabat-sahabat, hubungan dengan Allah jangan diabaikan. Kita sebagai pimpinan perlu lebih daripada orang lain dari semua aspek. Ingat, Allah penolong kita. Kalaulah kita buat kerja banyak macam mana sekali pun tapi tak ada pertolongan daripada Allah, jangan harap perjuangan kita akan berjaya. Seperkara lagi, bersihkan diri daripada masalah hati.”


Subhanallah, kami semua mengangguk. Ya, hubungan dengan Allah mesti dijaga. Ingat ya diriku, jangan sampai terleka. Masalah hati? Ah, perkara fitrah. Bagiku, masalah itu terlalu sukar untuk digambarkan. Cuma bagi insan yang meletakkan harapan dan tawakal pada Allah, Allah akan tunjukan kepadanya jalan yang benar. Allah akan pimpin hatinya,


“ Ada siapa nak tambah lagi?”


Tiada.


Mesyuarat ditamatkan dan kami semua mula beredar. Semuanya ada urusan masing-masing.


Aku pula, ada misi yang perlu kuselesaikan.


Lantas aku bangun, mengatur langkah laju. Mindaku ligat berputar mencari penyelesaian. Sesampainya aku di bilik

Syu nampaknya sudah menunggu kepulanganku.


“Dah makan?”. Seperti lazimnya, itulah soalan pertama yang akan meluncur keluar dari mulutnya.


“Not yet! Syu?”


“Sama..”


Aku memerhati raut wajahnya. Kasihan, pasti dia sedang bertarung dengan hatinya. Ya Allah, kuatkan kami dalam

bermujahadah.


“Macam mana Nur?”


“Macam mana apa?”. Aku sengaja. Mahu memanjangkan perbualan.


“Nur ni.. ni yang malas ni. Orang serius dia main-main pula.”


Syuhada’ merungut manja dan aku hanya tersenyum.


“Laa.. Masa bila pula Syu Nampak Nur main ni, Nur pun serius tau. Pasal apa yang Syu tanya tadi?”


“Yang Syu cerita pada Nur tu. Takkan tak ingat, kecil-kecil dah pelupa ya. Mentang-mentang la sibuk 24 jam, kalah

Perdana Menteri.”


Aku mencubit lengannya, serentak kami berdua ketawa. Kadang kala rindu saat-saat bahagia itu, masa lapang yang kami sering kongsi bersama. Namun dek amanah perjuangan ini, aku perlu pandai meletakkan keutamaan. Seperti tips yang diberikan oleh Stephen R Covey dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective People, dia meletakkan tips ‘put first thing first’ antara perkara yang penting untuk menjadi seorang yang hebat. Ya, pejuang juga perlu begitu.


Malah, mereka mesti menjadi lebih luar biasa daripada insan lain daripada semua aspek.


“Oh, pasal tu.”


Aku menuju ke loker, mengambil pek milo dan Nestum 3 dalam 1 kegemaranku. Perut berkeroncong rasanya.


“Nur..”. Syu memanggilku.


“Ya?”


Diam. Sunyi.


Tanganku ligat membancuh air. Dan, kemudian aku terkesan sesuatu. Kudengar ada esak tangis di disitu. Aku

mengeluh halus dalam hati. Kasihan.


“Selama ni Syu jaga hati. Syu takut kalau hati Syu kotor dengan cinta nafsu. Walau beribu yang datang Syu masih berjaya jaga hati. Tapi sejak dia luahkan perasaan dia, Syu rasa tak kuat. Syu rasa seronok kalau dia ada selalu dengan Syu. Boleh minta nasihat, rujuk bila ada masalah. Dia boleh bimbing Syu.”


“Dia orang hebat, pimpinan yang ada karisma. Pandai berkata-kata, banyak ilmu. Syu perlukan dia. Tolonglah Nur, Syu buntu..”


“Subhanallah sayang. Istighfar banyak-banyak.”


“Syu tak kuat.”


“Nur faham.”


“Nur hebat. Nur pun dulu macam Syu, tapi Nur boleh lawan. Saifullah tu lagilah orang hebat, budak tahfiz lagi. Syu dah kalah,Syu malu dengan Nur.”


“Syu, dengar apa yang Nur nak cakap.”


Syuhada’ mengangguk lemah.


“Sejauh mana hebatnya seseorang lelaki, tapi bila dia dah kalah dengan cinta nafsu maka tiada lagi hebatnya. Lelaki yang hebat, meletakkan harapannya pada Allah. Meletakkan cintanya pada Allah. Kerana dia tahu, jika dia meletakkan segalanya kepada Allah, Allah akan memberikanya bidadari yang juga cintakan Allah..”


Esakannya semakin kuat, jiwaku juga merintih hiba.


“Lelaki yang hebat meletakkan masa depannya kepada Allah kerana dia tidak punya kuasa untuk menentukan masa depannya, siapa sayap perjuangannya. Dia hanya mampu menjaga hatinya, menjaga cintanya. Dengan harapan, jika dia jatuh cinta di hari yang pasti, dia boleh memberikan cinta yang tulus itu buat bidadarinya yang selalu dia damba.”


“Jadi, Syu tak perlu risau. Allah dah meletakkan sesuatu itu di tempatnya. Yang baik untuk yang baik. Jika dia dan Syu sama-sama menjaga hati, meletakkan cinta yang utama untuk Allah, meletakkan masa depan atas kekuasaan Allah dengan tawakal, insyaAllah Syu akan merasai indahnya cinta dia di saat-saat yang pasti.”


“Buat masa sekarang, tak ada gunanya menyemai cinta kerana kita tidak pasti adakah dimasa hadapan kita akan bersama. Masa depan bukan milik kita sayang. Sekarang masih awal lagi, tanggungjawab lain lebih utama dan sentiasa menuntut keutamaan dari kita. Mad’u kita sedang menunggu dengan penuh harapan. Adakah Syu mahu berdakwah dengan sia-sia? Berdakwah dengan hati yang penuh maksiat, penuh sarat rindu kepada yang bukan mahram. Perkara itu akan menghijab hati-hati mad’u dari dakwah kita.”


“Masakan tak ada sms, call, perasaan rindu, hadiah hari lahir ketika bercinta. Nur takut dalam Syu menyemai cinta Syu dan dia kerana Allah Syu terlanjur. Terlanjur menyintainya hingga lupa batas-batas yang ditetapkan Allah.”


“Daripada kita melanggar kanun Alah, baik kita bermujahadah. Kerana Allah sudah janjikan kepada sesiapa yang bermujahadah dengan pahala yang sangat besar. Mujahadah melawan hawa nasu. Melawan cinta insan yang belum pasti. Syu, sebenarnya semua itu indah. Indah itu bukan dicari, tapi ia hadir bila kita meletakkan Allah sebagai prioriti. Di mata orang pahit, di hati kita manis.”


“Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 7 yang bermaksud ;


Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”.


“Nyata, Allah mengasihani kita sebab Allah tahu jalan yang kita lalui ini berat. Mujahadah itu sukar. Betul kan Syu?”


“Ya, Syu faham. Terima kasih Nur.. Syu banyak susahkan Nur.”


“Dah tanggungjawab Nur. Syu kan sahabat baik Nur, sahabat dunia akhirat.”


‘Nur pun sedang bermujahadah’, bisikku di dalam hati.


Dulu aku juga sepertinya, aku tidak kuat untuk bermujahadah melawan hati. Susah, sukar dan tiada kata untuk kugambarkan. Aku tiada kekuatan.


Namun kusedar kekuatan itu tidak boleh ditunggu, tapi ia perlu dibina. Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah keadaannya sendiri. Itulah ayat yang Allah sebutkan dalam surah Ar-Ra'du,surah ke-13,ayat 11. Jelas, nasib diri kita ditentukan oleh kita sendiri.


Dalam 10 ciri-ciri Daie, antaranya ialah mujahadah ala nafsi yang bermaksud mampu melawan hawa nafsu. Jadi, tidak dapat tidak, seorang Daie perlu kuat.


Ya, cinta adalah fitrah. Manusia tidak boleh melawan fitrah yang tersedia untuknya sejak azali. Tapi itu bukan alasan untuk menjadikan cinta kita kearah maksiat. Cinta adalah fitrah yang suci, nikmat yang suci datang dari Allah.


Adakah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia?


Tidak!


Lantaran itu, kita sebagai manusia yang punya akal, kita perlu memimpin fitrah menyelusuri jalan yang benar dan diredhai. Cintai sesuatu mengikut jalan Allah, jangan ikutkan hati dan nafsu. Maka, jika kita punya masalah hati, jangan kita tanya nafsu. Pasti jawapan nafsu adalah cinta maksiat.


Justeru, tanyalah Allah. Allah lebih Mengetahui. Malah, Allah lebih dekat dengan hati manusia. Jika kita tanya Allah, Allah akan beri jawapan. Semestinya, jawapan Allah tidak mengecewakan.

Daie yang menjalani latihan dan pembelajaran di universiti tarbiyyah pasti lebih tahu untuk membimbing hatinya.


Walaupun sebenarnya kita yakin dan tahu Allah akan uji hati kita dengan ujian yang kita tidak akan tahu apa. Kita hamba biasa, daie juga hamba Tuhan. Tapi kita mesti ingat, cabaran seorang Daie lebih kuat. Allah tidak mahu sesiapa yang memartabatkan dirinya dengan title Daie hidup dengan selesa dan mudah. Allah sudah sediakan bermacam tribulasi yang mesti kita hadapi.


Mahu ke syurga Allah bukan mudah. Syurga Allah mahal harganya. Lantaran itu kita perlu membayarnya dengan mahar yang tinggi nilainya.


Penting untuk seorang pejuang Allah itu menjaga hatinya. Teringat aku kata-kata sahabatku, hati adalah tempat pandangan Allah. Hati kita cuma satu, jika hati yang satu ini kita kotori, manakan lagi tempat nilaian Allah pada kita. Jika hati yang satu ini kita kotori dengan cinta insan yang belum pasti, adakah lagi tempat kita di sisi Allah.


Hati pejuang mesti bersih. Bila daie tidak menjaga hatinya, maka rosaklah dirinya. Terfitnahlah Islam kerananya dan runtuhlah dakwah di tangannya. Kejayaan dakwah bukan terletak pada kepandaian seorang daie berkata-kata tetapi terletak pada keihlasan dan kebersihan hati.


“Tuhan, dalam langkahku lalu, sesungguhnya ia penuh dosa dan noda. Sering bersilih ganti antara godaan dan keinsafan. Walau seringkali godaan memburu, seringkali juga keinsafan berbisik di hati hina ini. Ku sedari cinta manusia cuma setitis dari lautan cintaMu yang Maha luas. Tuhan, janganlah kasih setitis dalam hati ini melalaikan aku dari mengingatiMu. Paukan aku pada dahan cintaMu agar tidakku hanyut dengan fitnah dunia..”.


Original Writing By : Layyinulharir

www.islamcintaku.blogspot.com

islamcintaku@gmail.com


p/s : cerpen pertama dari saya. saya alu-alukan komen anda..


2 comments:

ainun said...

seperti kisah hidup jiwa ini..
hahaha..
pernah tersungkur..
tp, alhamdulillah mampu bangkit..
tpai luka dr trsungkur itu
hingga kini..
masih belum sembuh..
ana x kuat bermujahadah..

Anonymous said...

saya amat2 memerlukan pertolongan Layyinulharir.
saya perlukan kekuatan atas apa yang betul.
selama ni saya banyak wat dosa.
dan saya sekarang sedang melawan nafsu syaitan yang mengajak saya bercinta semula.saya harap Layyinulharir akan contact saya dan memberi nasihat kepada saya.saya amat2 perlukan kata2 dari seorang teman seperjuangan.
ni email saya khaliesahrifin@yahoo.com
ni num hp saya 0172879934
saya perlu kuat demi Allah..
bantulah saya YA ALLAH..