Tiba-tiba teringat kalimah Murobbi dan Mutarobbi.
Saya yang dhaif kini menjadi Murobbi setelah baru sejenak menjadi Mutarobbi. Rasanya tak puas menjadi orang yang dididik, orang yang ditarbiyyah. Bila menjadi Murobbi kini, la budda kena selalu memberi. Namun, bila selalu memberi, diri yang hina ini tidak diisi. Menjadikan kadangkala bila ujian bertandang, mudah saja iman tercuit.
Menjadi orang yang ditarbiyyah, amat indah. Dengan nasihat, teguran dan tunjuk ajar kakak dan abang dulu selaku Murobbi, alhamdulillah. Rasa hari-hari hati diisi, rasa ada petunjuk jalan dan macam-macam lagi rasa yang sukar mahu digambarkan. Menghadiri usrah, liqo', tamrin, bengkel dan kuliah menjadikan hati ini hidup.
Apa khabar kakak dan abang di kota sana? Kota Kuala Lumpur yang maju dan mencabar.
Salam sejahtera dariku buat kalian..
Berbanding kami di Nilam Puri, mungkin kalian di sana sudah jauh berubah. Cara berfikir, bertindak dan bergerak. Anjakan paradigma pasti dapat kalian rasai. Kekadang rasa tidak sabar mahu menghabiskan pengajian di sini yang berbaki 1 semester saja lagi. Tapi bila memikirkan banyak perkara yang perlu diselesaikan, hati ini berkocak.
Bagaimana pelapis generasi Murobbi?
Bagaimana kondisi bumi tarbiyyah?
Bagaimana sambungan rantai perjuangan?
Masya Allah, berat sungguh. Rugi dan amat sedih jika saya dan sahabat-sahabat tidak berjaya meninggalkan bumi tarbiyyah ini dalam keadaan yang baik nanti. Apa yang patut kami jawab di hadapan Allah?
Kata seorang sahabat : "Bila di KL nanti kita akan jauh.."
Ya, kita akan jauh. Namun jangan lupa pada pertemuan yang pasti. Kita pasti dipertemukan kembali di mahkamah Allah dan amanah kita akan dipersoalkan. Malang jika ketika itu kita saling menyalahkan antara satu sama lain.
Sejenak saya muhasabah diri. Sepanjang memegang amanah ini apa ya yang saya dah buat untuk Islam?
Soalan yang sama saya tujukan buat semua pimpinan bumi tarbiyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri. Mari, mari.. Kita koreksi diri sebelum masa kita mencorak zaman tarbiyyah berhenti.
"Masih ada waktu.."
No comments:
Post a Comment