Wednesday, October 15, 2008

'Belajar dari Dua Umar..'



Sejenak kita merenung suatu malam di Madinah, malam yang tenang. Seorang lelaki berjalan menyusuri lorong-lorongsepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Dia keluar seorang diri menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu untuk mengalas perutnya. Dia khuatir jika ada urusan rakyatnya yang diabaikan.



Lelaki itu adalah Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab.



Setelah lama berjalan, dia bersandar di suatu tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah untuk beristirehat. Kemudian dia meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Masjid Nabawi. Dalam kebisingan suara binatang malam, dia terdengar suara dua wnita sayup-sayup di dalam rumah kecil.



Seorang anak berdebat dengan ibunya dan menolak mencampurkan susu perahan dengan air. Berkata si ibu,



“Campurkanlah susu itu dengan air!”



“Amirul Mukminin melarang perbuatan susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar larangan itu?”



“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mengetahui perbuatan kita di penghujug malam terakhir ini.” Jawab si ibu.



Seketika anak gadis itu menjawab, “Wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allh, aku tidak akan melakukannya. Allah melarang perbuatan itu.”



Pernyataan gadis itu menjadi penyejuk hati Umar. Umar mempercepatkan langkahnya menuju Masjid Nabawi bagi menunaikna solat subuh. Setelah itu dia kembali ke rumahnya.



Setibanya di rumah, Umar memanggil puteranya ‘Ashim yang ingin berkahwin. Lalu Umar menyarankan supaya mengunjungi rumah gadis itu seraya menceritakan apa yang telah dia dengar lewat malam tadi.



“Wahai anakku, pergilah dan nikahlah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan anak yang bakal memimpin arab.”



‘Ashim menikahi gadis yang warak itu. Namanya Ummu Ammarah bt Sufyan b Abdullah b Rabiah ats-tsaqafi. Daripada perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri yang dinamakan Laila dengan panggilan Ummu ‘Ashim. Kemudian puteri tersebut berkahwin dengan Abdul Aziz b. Marwan yang melahirkan Umar Abdul Aziz, seorang khalifah zuhud, bertaqwa dan wara’.



Dalam diri Umar Abdul Aziz ini, mengalirnya darah Umar Al-Khattab. Kedua-duanya adalah pemimpin yang Agung.



Berkata Umar Al-Khattab,

“Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang terakhir yang menikmatinya. Tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya.”



Berkata Imam Ahmad,

“Apabila anda melihat orang yang mencintai Umar Abdul Aziz dan menyebut kebajikan-kebajikannya serta menyebarkannya kepada orang lain, maka ketauilah bahawa di sebalik itu terdapat suatu budi luhur..”



-edited by combat-

1 comment:

AiMaN said...

salam.
sungguh menarik cerita y disampaikan ini...
agak lama tidak mendengar cerita ini...
penyampaian y mendalam...
ana saran kan pemimpin kita harus mencontohi kepimpinan seperti Amirul Mukminin...