Tuesday, May 20, 2008

Diet buat muslimah..


Diet hikmah buat insan yang bergelar MUSLIMAH..




Pertama: Jadilah permata bukan kaca, atau emas bukan loyang, atau sutera bukan benang.


Diet yang pertama ini memerlukan bahan-bahan mentah yang asli, bukan tiruan. Tentulah bahan-bahan asli terdiri daripada perkara-perkara berikut:

a) Ikhlas hati kepada Allah
b) Bersikap benar dalam segala keadaan.
c) Tetap pendirian dalam perjuangan.
d) Menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. atau hidup dalam lingkungan syara’.
e) Sentiasa redha dengan qada’ Allah.
f) Gigih berikhtiar sebelum bertawakal/berserah diri.
g) Meninggalkan jauh segala sifat-sifat nifak atau kepura-puraan.


Apabila bahan-bahan itu diadun baik, pastinya kau kelihatan sebagai sebutir permata di tengah-tengah pepasir, bukan kaca yang bakal cair mengalir. Biarlah pakaianmu ditenun dengan taqwa. Biarlah make-upmu dicampur dengan senyum mesra. Dan biarlah gerak langkahmu disulam dengan rendah diri sentiasa.


Kedua: Jadilah ubat bukan penyakit, atau mawar bukan racun.

Ramuan ubat tentulah bahan-bahan yang kebanyakannya pahit. Atau sekuntum mawar tidak mudah dipetik. Namun ia amat berguna. Ramuan ubat hendaklah disatukan daripada bahan-bahan berikut:

a) Sabar yang indah dalam menempuh tribulasi/mihnah/ujian. Tahan senafas!
b) Bersedia ditegur dan dikritik kerana orang yang berlapang dada itulah yang akan meningkat tinggi. Wau yang tinggi ialah wau yang sanggup menempuh angina bukan menurut angin!
c) Banyak memberi bukan menerima. Sudah tentu sebelum memberi perlu memiliki, sebab orang yang tidak punya sesuatu tidak mampu memberi sesuatu Berkhidmat dulu, hasil menyusul kemudian.
d) Sentiasa berfikiran besar dan mengatur persekitaran menjadi kelas pertama.
e) Bertindak mencari kejayaan dan mencipta peluang, bukan bersedia memberi alasan untuk sebuah kegagalan.
f) Membuang segala sifat orang-orang kecil sejauh mungkin, iaitu membuang masa, banyak menguruskan hal-hal kecil dan suka bertengkar dan berdebat.

Semua ramuan di atas berupa sabar, lapang dada, berkhidmat, berfikiran besar, bertindak dan membuang sifat orang-orang kecil merupakan ubat dan mawar kehidupan cemerlang.


Ketiga: Jadilah penyuluh bukan pembunuh.

Nama resepi ini sudah cukup menggambarkan betapa menariknya kuah hidangan. Jernih, tetapi berkilauan apabila tersentuh sedikit cahaya. Pantulan cahayanya kuat, mudah menerima sinar dan tembus oleh sinar itu. Antara bahan yang diperlukan ialah:

a) Ibadah syakhsiyyah.
b) Nasihat dan kata hikmat.
c) Budi pekerti dan adab sopan berharga.
d) Panduan sirah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
e) Petunjuk Allah yang utama iaitu Al-Quran yang mulia.


Adunan bahan-bahan itu menjadikan tenaga dinama yang berkualiti, cas yang sentiasa hidup, sesiapa yang berada dalam kegelapan tentu memerlukan sinar cahaya, maka inilah sinarnya untuk menyuluh jalan hidup; Al-Quran, Al-Hadis, Akhlak, Nasihat dan Ibadah. Cubalah, kau akan jadi penyuluh. Kalau bukan penyuluh maka yang lainnya tidak ada lagi selain pembunuh.


Keempat: Beberapa peringatan. Senjata lidah ialah bahasa.

Jadilah orang yang pandai berbahasa, kau akan hidup aman bahagia. Jadilah orang yang berakal minda, kau akan meraih kejayaan dan banyak harta. Lidah yang petah memerlukan perbendaharaan kata yang banyak, latihan yang berterusan dan berani membuktikan identiti mendalam dan pengalaman hidup sendiri.

Dengan ini aku kira cukuplah ‘diet’ atau penjagaan diri yang kau perlukan untuk menjadi gadis yang rupawan dan ratu pilihan hatiku. Berusahalah ke arah itu, sesungguhnya serbat yang kukumpulkan itu bisa menjadikan wajah hidupmu bersinar bagaikan bulan purnama, berkedip bagaikan bintang surayya.
Indahnya kau menjadi sebutir permata di tengah-tengah serpihan batu yang bertaburan.


ingatlah wahai muslimah!!


laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang mukmin.” (An-Nur: 3)


“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita wanita yang keji(pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula).....” (An-Nur: 26)

No comments: