Saturday, May 21, 2011

Murobbiyah hingga ke syurga



Pernahkah anda mengenali seseorang saat hari dia pergi dijemput Allah?


Saya pernah. Hari itu adalah hari ini. Seseorang itu adalah Bunda Yoyoh Yusra yang amat saya kagumi.


Pagi ini saya menyemak 'timeline' di twitter seperti hari-hari biasa. Macam-macam status dari rakan-rakan twitter. Saya tak lupa melihat tweet dari Salim A. Fillah, seorang penulis spiritual terkenal. Beliau asyik memperkatakan mengenai seseorang, Bunda Yoyoh Yusra.


Lalu saya menjejaki sosok itu. Subhanallah. Rupa-rupanya Bonda Yoyoh adalah seorang Ahli Parlimen DPR Republik Indonesia, yang mewakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Dengan itu jemari saya semakin ligat mencari siapa sebenarnya sosok hebat ini.


Bunda Yoyoh seorang ibu kepada 13 orang anak, 9 lelaki dan 4 perempuan. Beliau merupakan antara pengasas PKS pada saat revolusi 1998. Dalam hayatnya, Bunda Yoyoh terkenal sebagai aktivis masyarakat yang banyak mendepani isu wanita, keluarga dan pembangunan sosial.


Saya mengagumi Bunda Yoyoh setelah membaca 'Bonda Yoyoh dalam ingatan' oleh beberapa rakan dari Indonesia.


1. Apabila ditanya apakah beliau tidak letih menguruskan anak-anak. Jawab beliau sambil tersenyum, "Alhamdulillah, ramai anak itu malah meringankan!"


2. Ketika saat menanti majlis forum di mana beliau adalah di antara panelisnya, beliau berehat di belakang pentas bersama suami. Saat itu kelihatan Bonda Yoyoh dan suami sedang mengulang ayat-ayat suci Al-Quran bersama-sama. 


3. Apabila ditanya, berapa banyak halaman yang sudah dihabiskan, jawab beliau sambil tersenyum, "Masih sedikit berbanding apa yang harus kami tunaikan, hanya 3 juzuk." Ditanya apakah beliau sempat, jawab beliau "Berdepan dengan banyak masalah dan ramai orang memerlukan kita membaca Al-Quran dengan lebih kerap!"


4. Apabila ditanya, apakah beliau mempunyai masa yang diluagkan untuk anak-anak. Beliau menjawab, "Ternyata masa bersama anak-anak adalah sedikit tetapi kesedaran berdikari harus ditanamkan sejak kecil!"


5. Beliau sangat mementingkan persoalan pembinaan generasi buat bakal-bakal ibu. Lalu beliau berpesan, "Jaga suapan gizi. Jangan sampai Allah mengherdik kita jika generasi kebangkitan Islam lemah disebabkan ibunya makan sembarangan!"


6. Beliau juga selalu berbagi pesan dalam persoalan rumahtangga. Beliau pernah menasihat, "Hidup berumahtangga itu harus saling memberi.


Setelah membaca kenangan-kenangan insan yang mengenali beliau, saya jadi ingin sekali mengenali Bunda Yoyoh.


Bayangkan, mujahidah dakwah, sehingga tiada pun masih berdakwah, sehingga kembali pun masih mentarbiyah..


Moga Bonda Yoyoh menjadi murabiyyah hingga ke syurga Allah..


Masturah Abu Bakar

Thursday, May 19, 2011

Malaysiaku : Tayangan sampah versi Malaysia

Marah ni.. Grrrr!


Jika televisyen boleh bersuara atas pilihan sendiri (bukan disebabkan rancangan yang sudah dijadual) saya pasti kita semua akan pengsan mendengar jeritan dan maki hamunnya. Saya rasa jika tv diberi pilihan, mesti sudah lama dia resign dari membebani pundak dengan tanggungjawab dan fitnah.


Sebab apa saya berfikir begitu?


Kerana rancangan tv di Malaysia sudah semakin bertambah-tambah-tambah melampau. Maaf kerana tatabahasa yang salah, tapi ini saja yang dapat menggambarkan realiti sebenar hiburan melampau di Malaysia.


Isu ini bukan isu baru. Tapi isu ini adalah isu lama yang tidak ada penyelesaian. Ditambah pula dengan penerbit-pengarah yang meletakkan otak di lutut, bukannya di kepala. Ya, ia menambah barah yang parah!


Tatkala negara-negara yang lain sibuk menerbitkan filem yang sarat dengan gagasan pemikiran dan budaya, Malaysia masih terkapai-kapai mencari identiti di samping asyik meniru hasil usaha orang. Penerbitan, filem dan drama di Malaysia menjadi karya picisan yang layak saja dibakulsampahkan.


Kenapa negara membangun seperti Malaysia masih memilih jalan-jalan yang merosakkan dalam membangunkan negara dan anak bangsa? Mengapa idea sekularisme, hegemoni budaya Barat, doktrin hedonisme masih di jaja di negara ini?


Melihat iklan saja membuatkan kita mual, apatah lagi mahu menghadap berjam-jam. (Perkara yang paling membuatkan darah hingga naik ke kepala adalah : DIARI AKADEMI FANTASIA yang dirakamkan di PUSAT BELI BELAH! Formula jijik apakah ini?)


Apalah nasib anak bangsa kita. Sudahlah persekitaran sudah memberi pengaruh buruk, kembali ke rumah juga mendapat tayangan mata dan halwa telinga yang tidak ubah seperti sampah. Lalu apakah lagi jalur yang bermanfaat buat mendidik anak bangsa abad ini?


Oh Malaysiaku!


Rintih anak muda,
Masturah Abu Bakar

Wednesday, May 18, 2011

Cinta dan Rumi



Puisi.


Melaluinya, rasa diterjemah melalui butir-butir huruf yang kemudiannya membentuk kata. Tidak perlu berangkai-rangkai memenuhi selembar muka. Mungkin memadai sehingga rasa itu dapat diterjemah dengan baik. 


Tetapi yang menulis tak sama seperti yang membaca. Adakalanya rasa itu tidak dapat ditafsir dan dinilai sama seperti hakikat maksud yang tersirat.


Apa saja rasa yang dirasai. Rasa bertuhan. Rasa kehambaan. Rasa sedih atau kecewa. Rasa suka atau gembira. Adakalanya berkongsi rasa tentang alam semulajadi dan ciptaan. Dan semuanya terpantul melalui suatu rasa : Cinta.


Cinta dan Ar-Rumi.


Ar-Rumi begitu puitis sehingga kadangkala saya tidak berjaya menangkap maksud tersirat di sebalik yang tersurat. Puisi agung Ar-Rumi mengenai ketuhanan dan kehambaan tidak dapat ditandingi. 


Kecintaan tahap apakah yang menjadikan jiwa hamba ini terlalu halus sehingga berjaya menawan hati yang angkuh, mensuci hati yang ternoda, memutih hati yang hitam, menyuluh jiwa yang kelam?


Setinggi manakah hamba ini menggunakan seluruh deria, anggota dan tubuh bagi melangkah mencari Tuhan? Sehingga setiap apa yang dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, disentuh oleh tangan dan ditapaki oleh kaki membawanya menuju Tuhan.


Saya hanya mahu menjadi sehalus Ar-Rumi; tidak melihat sesuatu melainkan melihat Allah padanya,  tidak melihat sesuatu melainkan Allah bersamanya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah sebelumnya, tidak melihat sesuatu melainkan Allah selepasnya!


Ar-Rumi : Keajaiban Cinta 


"Jika engkau bukan seorang pencinta, maka jangan pandang hidupmu adalah hidup. Sebab tanpa Cinta, segala perbuatan tidak akan dihitung pada Hari Perhitungan nanti. 


Setiap waktu yang berlalu tanpa Cinta, akan menjelma menjadi wajah yang memalukan dihadapanNya.


Burung-burung Kesedaran telah turun dari langit dan terikat pada bumi sepanjang dua atau tiga hari. Mereka merupakan bintang-bintang di langit agama yang dikirim dari langit ke bumi. Demikian pentingnya Penyatuan dengan Allah dan betapa menderitanya Keterpisahan denganNya.

Wahai angin, buatlah tarian ranting-ranting dalam zikir hari yang kau gerakkan dari Penyatuan. Lihatlah pepohonan ini! Semuanya gembira bagaikan sekumpulan kebahagiaan. Tetapi wahai bunga ungu, mengapakah engkau larut dalam kepedihan? Sang lili berbisik pada kuncup : “Matamu yang menguncup akan segera mekar. Sebab engkau telah merasakan bagaimana Nikmatnya Kebaikan.”

Di manapun, jalan untuk mencapai Kesucian Hati adalah melalui Kerendahan Hati. Hingga dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan : “Bukankah Aku ini Rabbmu ?”



Masturah Abu Bakar
Baiti Jannati

Saturday, May 07, 2011

Kau mencintaiku. . .

Khas buat ummiku tercinta.. Sempena HARI IBU.


Kau mencintaiku
Seperti rumput mencintai hujan..
Memberi nafas dalam kesusahan
Menumbuhkan harapan dalam ketidakberdayaan

Kau mencintaiku
Seperti manusia mencintai malam..
Mendinginkan saat lelah
Menenangkan saat gelisah

Kau mencintaiku
Seperti bulan mencintai matahari..
Menyuluh cahaya dalam kegelapan
Memancar terang dalam kesesatan

Kau mencintaiku
Seperti pantai mencintai ombak..
Hadir menyentuh saat sayu
Hadir mengisi saat sendu

Kau mencintaiku wahai ibu

Sampai kau kenalkan aku pada cintamu

Ibuku
Cintamu adalah cinta perjuangan
Jatuh bangunmu memeritkan
Sehingga aku tak ragu memilih jalan ini
Jalan yang kau citakan tuk gapai redha Ilahi

Masturah Abu Bakar
Sayang UMMI :)

Friday, May 06, 2011

KPWKM, Muslimat PAS perlu serius bincang isu wanita



Isu perdagangan wanita telah menjadi isu biasa di dalam masyarakat. Secara percuma bahagian-bahagian  tubuh badan wanita didedahkan kepada umum terutamanya dalam aktiviti periklanan, hiburan, perfileman dan sebagainya. 


Isu ini menjadi semakin kritikal apabila langkah penyelesaian gagal dibincangkan dengan lebih serius di peringkat organisasi-organisasi besar yang berlatarbelakangkan wanita khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mewakili organisasi wanita Islam.


Dua organisasi gergasi yang berbasiskan wanita ini seharusnya lebih terkehadapan dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Saya tidak menafikan mungkin ada usaha di pihak kedua organisasi ini dalam aspek pembangunan wanita tetapi tindakan mereka masih dalam lingkungan yang sama. Mereka gagal dilihat tampil memberi pencerahan mahupun idea di dalam isu-isu yang lebih bersifat kontroversi di pentas massa.


Di Indonesia misalnya, gerakan feminisme atau gerakan memperjuangkan hak-hak wanita dijalankan secara agresif. Walaupun orientasi gerakan feminisme di Indonesia terlalu bersifat liberal dan radikal, organisasi-organisasi wanita di negara tersebut memberikan perhatian yang khusus dalam membincangkan isu-isu wanita.


Yayasan Jurnal Wanita dengan berani menerbitkan siri-siri Jurnal Wanita yang membincangkan hak-hak wanita dari sudut pelbagai aspek seperti wanita dan politik, pemulihan konflik wanita, wanita di pentas media dan lain-lain yang memberi pencerahan secara kritikal kepada golongan wanita. Mereka juga aktif memainkan peranan penting dalam mengubah nasib wanita menjadi lebih baik.


KPWKM dan Dewan Muslimat PAS perlu mengubah rentak penglibatan dalam isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Diskusi, wacana dan perbincangan kritikal perlu diadakan untuk menstrukturkan kembali peranan organisasi-organisasi berbasiskan wanita.


Berkaitan isu peraturan baru yang diperkenalkan oleh pihak Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang mewajibkan pemakaian skirt kepada pemain badminton wanita, dua organisasi ini berama pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain perlu segera duduk semeja membincangkan tindakan drastik sebelum peraturan itu dikuatkuasakan 1 Jun ini di dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura. Sisters in Movement (SIM) sebagai pertubuhan wanita muda bersedia duduk semeja membincangkan isu ini dengan lebih serius.

Masturah Abu Bakar
Pengerusi
Sisters in Movement (SIM)