Wednesday, December 21, 2011

Terima kasih suamiku...


Dalam hujan lebat

Dalam malam pekat

Menyelusuri jalan
Membelah dingin angin

Aku dengar suaramu ceria

Menyanyi-nyanyi kecil

Dan kau..
Kau terus tersenyum..
Hanya kau minta
Aku memelukmu erat
Kau terus bersabar
Menjagaku
Melindungiku
Menafkahiku
Menguatkanku



Kau bersabar

Atas semua karenahku
Rajukku
Marahku
Kurangnya aku
Buruknya aku
Hanya kau minta
Aku kasihmu dengan cinta

Kau terus tersenyum dan bersabar
Tanpa pernah sekali pun aku dengar
Keluhanmu, rintihanmu
Atas kesusahan yang terpaksa kau lalui
Membahagi masa, nyawa dan cinta
Yang kau ada
Untuk jalan jihad dan cinta kita

Terima kasih duhai suamiku yang amat kucintai
Moga Allah janjikan syurga sebagai tempat istirehatmu...

...

Permaisurimu
30.11.11

Monday, August 01, 2011

Ramadhan : Tinggalkan dunia dan kembalilah....

Istirehat sementara....


Pernahkah kau merasakan bahawa dunia ini terlalu meletihkan...

Urusan dunia sangat meletihkan bagi orang-orang yang merindukan istirehat di syurga Allah. Ujian yang tidak putus-putus membuatkan hamba putus asa. Masalah yang tiada pengakhiran membuatkan hamba putus harapan. Setiap kali merasakan semua ini, hamba mulai bertanya bilakah akan sampai waktu istirehat yang telah dijanjikan.

Kini Ramadhan yang dirindui sudah tiba.

Bagi hamba yang mencari-cari istirehat sebentar, inilah masanya. Benar, urusan dunia terlalu meletihkan. Lalu Allah hadiahkan kepada kita sebuah rumah pengistirehatan sementara. Allah hadiahkan kepada kita sebuah bulan yang penuh ketenangan agar kita tidak berputus harap dari rahmat Allah. Allahurabbi, betapa lembutnya Allah kepada kita.

Ramadhan adalah sebaik-baik bulan untuk manusia kembali kepada Allah. Kembali menilai di manakah letaknya Allah di hati, kembali menilai setinggi apakah cintaNya sudah kita kecapi.

Ramadhan adalah sebaik-baik masa untuk kita bersendiri merenung diri. Tinggalkanlah sebentar dunia yang terlalu meletihkan. Tinggalkanlah sebentar ujian yang terlalu memeritkan.

Kembalilah kepada Allah yang sangat mencintai esak tangis hamba. Kembalilah kepada Allah yang sangat merindui pujuk rayu hamba.

Janganlah bersedih dengan kehidupanmu dan apa yang telah menimpamu. Ketahuilah, Allah terlalu lembut menyantunimu. Pandanglah ramadhan ini sebagai hadiah dari Allah, agar kita kembali merasai nikmatnya menjadi hamba.

Ramadhanmu, sibukkanlah ia dengan ibadah. Agar kau benar-benar kembali kepada Allah.

Benar kan? Allah itu tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Moga-moga dengan hadirnya Ramadhan memberi peluang untuk kita beristirehat sebentar dalam kembara mencari petunjuk dan hikmah Allah dalam setiap ujian yang menimpa.

Demi Allah, Allah terlalu Lembut menyantuni hamba-hambaNya..

Demi bulan yang penuh ketenangan, tinggalkanlah dunia dan kembalilah.. Moga nanti kau temui kemanisannya..


Saturday, July 16, 2011

Tahniah Bakal Mahasiswa Universiti Malaya!




Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera.


Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi 2010/2011 sukacitanya mengucapkan sekalung tahniah kepada seluruh bakal mahasiswa yang berjaya mendapat tawaran kemasukan ke Universiti Malaya bagi program Ijazah Pertama bagi sesi 2011/2012. Tahniah dan selamat datang diucapkan.


Untuk pengetahuan bakal mahasiswa Universiti Malaya, MPMUM merupakan sebuah badan kesatuan mahasiswa yang merupakan pertubuhan utama mahasiswa di Universiti Malaya. Pada sesi kali ini, MPMUM mengangkat kebajikan mahasiswa sebagai agenda utama dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh mahasiswa.


Oleh itu, jika saudara/i mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Universiti Malaya atau mempunyai sebarang permasalahan yang lain, MPMUM dengan sukacitanya menjemput saudara/i melayari laman sosial rasmi (Facebook) MPMUM dengan mengakses Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 2010/2011.


Saudara/i juga boleh terus menghubungi ahli MPP yang berkenaan seperti berikut :


Hawari bin Zakaria, Setiausaha Agung MPMUM (0148397481)


Mohammad Syafiq bin Rohaizad, Exco Kebajikan MPMUM (0133235478)


Intan Syafinaz binti Sharifudin, Exco Kolej Kediaman (0194401495)


Kami bagi pihak MPMUM sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat anda seluruh bakal mahasiswa Universiti Malaya.


Sekian terima kasih.


Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Malaya
Sesi 2010/2011

Monday, July 11, 2011

Hinanya sebuah Cinta


Hinanya sebuah cinta....


Mengingati Allah dalam kesunyian menjadkan kita mampu membuang segala pengharapan terhadap makhluk. 

Seketika, bila hamba terlalai daripada mengingati Allah dan lupa menyantuni KalamNya, menjadikan seorang hamba secara tidak sedar meletakkan sepenuh harapan kepada makhluk. 

Seketika, bila makhluk hilang dalam harinya menjadikan hamba tersedar lalu kembali mencari Allah dalam sunyinya.

Allah. Betapa mahal nilai sebuah istiqomah.

Hati tidak terlupakan saat mendapatkan nikmat khusyuk dalam beribadah. Cinta dan rindu yang membuak-buak membuatkan diri asyik membasahkan diri berwudhuk tanda pembersihan hati. Cinta dan rindu yang meluap-luap membuatkan diri asyik dalam takhalli, khusyuk merelakan dahi mencium sejadah.

Tapi pabila nikmat itu ditarik, hati tidak lagi asyik dalam takhalli. Bersunyi-sunyian seorang hamba tidak lagi mengingati Allah. Berkeseorangan seorang hamba tidak lagi membuatkannya mencari Allah. Pabila nikmat itu ditarik, sunyi kita memikirkan manusia, seorang kita mencari manusia.

Allah. Betapa mahal nilai sebuah istiqomah.
Apakah begitu murah cinta dan rindu kita kepada Allah sehingga terus melupakannya dalam bahagia?

Apakah begitu hina cinta dan rindu kita kepada Allah sehingga hanya mengingatinya saat berduka?

Ya Allah, begitu mahalkah sebuah istiqomah sehingga tiap kali aku bahagia aku akan melupakanmu? Kemudian Kau tarik nikmat beribadah dari diriku?

Ya Allah, begitu hinakah sebuah cinta sehingga aku hanya kembali mencarimu saat aku kehilangan manusia dalam hariku?

Ya Allah, betapa hinanya cintaku.

Monday, May 23, 2011

Malaysiaku : Utopiakah sebuah Negara Islam?


Apabila Khilafah Turki Uthmaniyah runtuh pada tahun 1924, para ulama dan sarjana Islam mencari-cari formula baru sebagai alternatif atau 'ganti' kepada khilafah. Pada ketika inilah wujud istilah 'Negara Islam' yang awalnya digagaskan oleh Rashid Ridha, tokoh islah pada zaman tersebut.

Para Fuqaha' mensyaratkan dua asas penting dalam sesebuah negara Islam iaitu melaksanakan undang-undang Islam serta adanya kekuasaan dan ketenteraan milik orang Islam. Dr. Rumaizuddin Ghazali berpendapat selain daripada kedua syarat tersebut, umat Islam juga bebas mengamalkan ajaran Islam tanpa gangguan.

Walaubagaimanapun definisi dan syarat-syarat bagi sesebuah negara Islam ini tidak disepakati oleh para ulama'. Justeru definisi bagi sebuah negara Islam cenderung berbentuk 'ijtihadi' atau termasuk dalam perkara yang boleh diijtihad kerana tidak wujud nas yang qat'ie dalam menerangkannya.

Malaysia negara Islam?

Untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebenarnya agak rumit. Dari satu sisi, Malaysia dilihat memenuhi beberapa syarat yang disebutkan oleh beberapa ulama' dalam perbahasan negara Islam.

Malaysia mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam di mana mereka bebas mempraktik syariat Islam tanpa gangguan. Negara ini juga diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam. Malah, kita menerima undang-undang Islam untuk digunapakai dan dilaksanakan di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.

Jadi mengapa ada sesetengah pihak berpendapat Malaysia masih tidak menepati syarat Negara Islam? Pada pandangan saya, hal ini disebabkan praktik Perlembagaan Malaysia yang tidak menggunapakai syariat Islam secara keseluruhannya. Pakar pelembagaan, Prof Abdul Aziz Bari dalam kertas kerjanya mengakui bahawa dari segi kuantiti memang benar peruntukan Islam itu kecil dan disebut secara minimum.

Negara Islam Malaysia sebuah Utopia?

Namun, faktor tidak wujud pelaksanaan syariat dan undang-undang Islam secara menyeluruh tidak boleh dijadikan alasan untuk kita bertindak secara ekstrem menuntutnya tanpa memberikan perhatian kepada konteks dan realiti negara Malaysia.

Pada pandangan saya, Negara Islam Malaysia bukanlah sebuah utopia dan ia tidak patut ditanggapi secara pesimis. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah untuk bekerja ke arah pelaksanaan negara Islam yang ideal dalam konteks Malaysia.

Negara Islam Malaysia yang ideal ini perlulah mengambil kira latarbelakang dan ciri-ciri negara Malaysia yang antaranya mempunyai komposisi masyarakat yang pelbagai. Kepelbagaian ini dilihat dari aspek keagamaan, etnik, kebudayaan dan lain-lain.

Kemampuan masyarakat Islam di Malaysia juga perlu diambil kira. Apa yang saya maksudkan dengan kemampuan ini ialah antaranya tahap pemahaman mereka terhadap agama islam dan bagaimana praktikal pemahaman mereka di dalam kehidupan seharian.

Pertimbangkan maslahah yang lebih utama

Kenyataan di atas bukanlah bermaksud saya menganggap negara Islam adalah sebuah maslahah yang tidak penting. Tetapi maslahah pembaikan masyarakat Islam serta usaha mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam adalah lebih utama.

Di samping itu, tidak salah untuk kita memandang perlembagaan Malaysia dengan sisi pandang yang positif. Umat Islam boleh memanfaatkan peruntukan-peruntukan yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Masturah Abu Bakar
Sains Politik Islam