Monday, May 23, 2011

Malaysiaku : Utopiakah sebuah Negara Islam?


Apabila Khilafah Turki Uthmaniyah runtuh pada tahun 1924, para ulama dan sarjana Islam mencari-cari formula baru sebagai alternatif atau 'ganti' kepada khilafah. Pada ketika inilah wujud istilah 'Negara Islam' yang awalnya digagaskan oleh Rashid Ridha, tokoh islah pada zaman tersebut.

Para Fuqaha' mensyaratkan dua asas penting dalam sesebuah negara Islam iaitu melaksanakan undang-undang Islam serta adanya kekuasaan dan ketenteraan milik orang Islam. Dr. Rumaizuddin Ghazali berpendapat selain daripada kedua syarat tersebut, umat Islam juga bebas mengamalkan ajaran Islam tanpa gangguan.

Walaubagaimanapun definisi dan syarat-syarat bagi sesebuah negara Islam ini tidak disepakati oleh para ulama'. Justeru definisi bagi sebuah negara Islam cenderung berbentuk 'ijtihadi' atau termasuk dalam perkara yang boleh diijtihad kerana tidak wujud nas yang qat'ie dalam menerangkannya.

Malaysia negara Islam?

Untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebenarnya agak rumit. Dari satu sisi, Malaysia dilihat memenuhi beberapa syarat yang disebutkan oleh beberapa ulama' dalam perbahasan negara Islam.

Malaysia mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam di mana mereka bebas mempraktik syariat Islam tanpa gangguan. Negara ini juga diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam. Malah, kita menerima undang-undang Islam untuk digunapakai dan dilaksanakan di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.

Jadi mengapa ada sesetengah pihak berpendapat Malaysia masih tidak menepati syarat Negara Islam? Pada pandangan saya, hal ini disebabkan praktik Perlembagaan Malaysia yang tidak menggunapakai syariat Islam secara keseluruhannya. Pakar pelembagaan, Prof Abdul Aziz Bari dalam kertas kerjanya mengakui bahawa dari segi kuantiti memang benar peruntukan Islam itu kecil dan disebut secara minimum.

Negara Islam Malaysia sebuah Utopia?

Namun, faktor tidak wujud pelaksanaan syariat dan undang-undang Islam secara menyeluruh tidak boleh dijadikan alasan untuk kita bertindak secara ekstrem menuntutnya tanpa memberikan perhatian kepada konteks dan realiti negara Malaysia.

Pada pandangan saya, Negara Islam Malaysia bukanlah sebuah utopia dan ia tidak patut ditanggapi secara pesimis. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah untuk bekerja ke arah pelaksanaan negara Islam yang ideal dalam konteks Malaysia.

Negara Islam Malaysia yang ideal ini perlulah mengambil kira latarbelakang dan ciri-ciri negara Malaysia yang antaranya mempunyai komposisi masyarakat yang pelbagai. Kepelbagaian ini dilihat dari aspek keagamaan, etnik, kebudayaan dan lain-lain.

Kemampuan masyarakat Islam di Malaysia juga perlu diambil kira. Apa yang saya maksudkan dengan kemampuan ini ialah antaranya tahap pemahaman mereka terhadap agama islam dan bagaimana praktikal pemahaman mereka di dalam kehidupan seharian.

Pertimbangkan maslahah yang lebih utama

Kenyataan di atas bukanlah bermaksud saya menganggap negara Islam adalah sebuah maslahah yang tidak penting. Tetapi maslahah pembaikan masyarakat Islam serta usaha mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam adalah lebih utama.

Di samping itu, tidak salah untuk kita memandang perlembagaan Malaysia dengan sisi pandang yang positif. Umat Islam boleh memanfaatkan peruntukan-peruntukan yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Masturah Abu Bakar
Sains Politik Islam

3 comments:

FARISZ@AZ.Com said...

Berlaku khilaf Ulama' berkaitan ketetapan sebuah negara Islam namun Malaysia bukanlah sebuah negara Islam.Bukan kerana demokrasi pilihanraya kerana demokrasi pilihanraya selagi mana ia mampu diguna pakai oleh gerakan Islam untuk memastikan gerakan Islam memimpin Malaysia maka selagi itu boleh diguna pakai (selagi belum tertubuhnya khilafah Islamiah).
Faktor undang2 syariah yang kurang syariah dan pelaksanaan undang2 syariah yang tidak menyeluruh tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak secara "keras" tetapi umat Islam dan gerakan Islam perlu "berhikmah" untuk memastikan negara sekular ini suatu hari nanti akan menjadi negara Islam.

Secara pandang sisi secara positif perlembagaan mampu menjadi "alat" untuk menjadikan Malaysia negara Islam namun secara sudut praktikal dan realiti ia perlu diperbaiki untuk tidak menjadi alat propaganda Umno/Barisan Nasional.

Wallahua'lam.

Anonymous said...

Negeri Islam Kelantan macam mane? Ok je...

abu idris said...

Ar Rayah World News
http://www.arrayah.info/
Berita Terkini Kebangkitan Negara Islam Global - Khilafah Islamiyah