Friday, May 06, 2011

KPWKM, Muslimat PAS perlu serius bincang isu wanita



Isu perdagangan wanita telah menjadi isu biasa di dalam masyarakat. Secara percuma bahagian-bahagian  tubuh badan wanita didedahkan kepada umum terutamanya dalam aktiviti periklanan, hiburan, perfileman dan sebagainya. 


Isu ini menjadi semakin kritikal apabila langkah penyelesaian gagal dibincangkan dengan lebih serius di peringkat organisasi-organisasi besar yang berlatarbelakangkan wanita khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mewakili organisasi wanita Islam.


Dua organisasi gergasi yang berbasiskan wanita ini seharusnya lebih terkehadapan dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Saya tidak menafikan mungkin ada usaha di pihak kedua organisasi ini dalam aspek pembangunan wanita tetapi tindakan mereka masih dalam lingkungan yang sama. Mereka gagal dilihat tampil memberi pencerahan mahupun idea di dalam isu-isu yang lebih bersifat kontroversi di pentas massa.


Di Indonesia misalnya, gerakan feminisme atau gerakan memperjuangkan hak-hak wanita dijalankan secara agresif. Walaupun orientasi gerakan feminisme di Indonesia terlalu bersifat liberal dan radikal, organisasi-organisasi wanita di negara tersebut memberikan perhatian yang khusus dalam membincangkan isu-isu wanita.


Yayasan Jurnal Wanita dengan berani menerbitkan siri-siri Jurnal Wanita yang membincangkan hak-hak wanita dari sudut pelbagai aspek seperti wanita dan politik, pemulihan konflik wanita, wanita di pentas media dan lain-lain yang memberi pencerahan secara kritikal kepada golongan wanita. Mereka juga aktif memainkan peranan penting dalam mengubah nasib wanita menjadi lebih baik.


KPWKM dan Dewan Muslimat PAS perlu mengubah rentak penglibatan dalam isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Diskusi, wacana dan perbincangan kritikal perlu diadakan untuk menstrukturkan kembali peranan organisasi-organisasi berbasiskan wanita.


Berkaitan isu peraturan baru yang diperkenalkan oleh pihak Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang mewajibkan pemakaian skirt kepada pemain badminton wanita, dua organisasi ini berama pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain perlu segera duduk semeja membincangkan tindakan drastik sebelum peraturan itu dikuatkuasakan 1 Jun ini di dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura. Sisters in Movement (SIM) sebagai pertubuhan wanita muda bersedia duduk semeja membincangkan isu ini dengan lebih serius.

Masturah Abu Bakar
Pengerusi
Sisters in Movement (SIM)

No comments: