Monday, April 04, 2011

Nenek kena tipu



Gambar nenek baca surat khabar - Sekadar hiasan


Saya pernah dengar, orang kata politik sekarang per-jam. Saya rasa mungkin betul. Jadi kalau politik per-jam, tentulah banyak persaingan. Bila banyak persaingan tentulah banyak taktik. Taktik-taktik ini bolehlah dilihat melalui berita-berita. Saya fikir apabila politik jadi per-jam maka berita mestilah lebih laju. Mungkin juga per-minit.


Bagi mereka yang tidak mampu mengakses internet, mereka boleh digolongkan dalam golongan yang mundur sehari. Bertambah hari tidak akses internet, bertimbunlah maklumat yang tertinggal. 


Maka, mereka yang termasuk dalam golongan ini mungkin datuk, nenek, pakcik dan makcik kita di kampung-kampung. Yang mana mereka hanya boleh membeli akhbar berita berhari-hari atau berutuskan Melayu yang harganya pun murah. Lebih malang jika datuk membeli akhbar populis dan gila laris seperti nama sebiji bas di KL dan bersama-sama membuat bedah akhbar di warung kopi.


Oh ya, kalau setiap jam 1.30 petang atau jam 8 malam, datuk nenek pakcik dan makcik bolehlah menonton televisyen bersama seisi keluarga. Sambil mencicah biskut kering bersama air kopi pekat, seisi keluarga menonton siaran tiga suku yang dilihat lebih warna-warni daripada siaran yang lain. Nenek sambil menggumam sireh sampai terherot-herot bibirnya mendengar penuh khusyuk dan taat. Wah, baiknya Pak Menteri kita, bisik nenek di dalam hati.


Tapi nenek yang giginya sudah kuning keorenan akibat mengulum sireh tidak tahu bahawa siaran tiga suku banyak untung. Nenek hari-hari menjamah nasi dan ikan bilis, tapi tv tiga suku dapat makan mewah sebab untung berjuta-juta. Tv tiga suku puas hati dapat memuaskan hati pak menteri. Terasa lega dapat menyiarkan berita terbaik. Padanya berita-berita ini dapat menjana wang. Bodek dan jana. Mudah saja.


Maka bila tiba pilihanraya nenek pun undi pak menteri. Nenek tidak tahu di Syria ada revolusi. Oh ya, nenek tahu. Tapi nenek kata rakyat di Syria jahat sebab memberontak melawan kerajaan. Di Malaysia aman damai sebab nenek dapat maklumat daripada tv tiga suku. Jadi nenek pun suka undi Pak Menteri (lagipun nenek dapat duit boleh beli beras gula.)


Nenek tidak tahu nenek sudah ditipu hidup-hidup. Hingga mati pun nenek tak tahu yang nenek dah tertipu. Tapi tak mengapa, itu nenek.


Cucu nenek yang duduk di KL dah pandai main internet. Umurnya 22 tahun. Nak akses internet memang mudah. Cucu nenek tak tengok tv tiga suku sebab di rumah sewa tak ada tv. Nak tengok berita kena pasang laptop. Sambil-sambil ralit belek facebook, lampu led berry hitam terkedip-kedip menandakan ada new feed dalam twitter. Oh, berita lagi rupanya.


Cucu nenek dapat tahu yang Muammar Ghadafi memang jahat. Dia tahu daripada Youtube. Tapi nenek tak ada Youtube. Nenek hanya ada tv tiga suku lalu nenek kena tipu.


Burung-burung di langit optimis, bila generasi seperti nenek dah dijemput ke alam kubur, mungkin negara Tanah Melayu ini akan dapat angin revolusi. Tapi lepas 20 tahun.


Lambat. Lambat lagi.




Masturah Abu Bakar
Soul of Martyr

No comments: