Monday, February 07, 2011

Hantu dan angin Nil





Di atas angin kah, di daratan kah, di air kah?


Penguasa negeri menggumam. Badan serasa seram sejuk. Terkena angin negara Nil mungkin.


Lalu tangan menapung dagu, bibir dijuih, dahi dikerut-kerut, mata disepet-sepet.


Diberitakan seluruh penguasa negeri takut-takut mahu keluar, kalau-kalau terserempak hantu di jalanan. Boleh pengsan atau terus 'jalan'.


Hantu jenis apakah yang berani menakutkan sekalian penguasa negeri. Nanti kalian aku jampi dengan mantera akta sakti, 'apca' namanya.


Maka si Penglipur Lara pun berkisah, si penguasa negeri rupanya takutkan tiga jenis hantu moden.


Hantu berkepak (www), hantu ekor bergulung (@) dan hantu FB.


Oh, itukah punca penguasa jadi pucat lesi.


Nanti. Ada satu lagi.


Diberitakan satu negeri diarahkan menutup tingkap dan semua lubang-lubang. Rakyat termangu-mangu hairan mendengar kabaran utusan.


Apa hajatnya penguasa sampai rakyat jelata diarahkan menutup tingkap dan semua lubang-lubang.


Oh, rupanya. Penguasa khuatir angin Nil sampai ke negeri ini. Jika negeri ini dilanda angin Nil, seluruh negeri dan pemerintahan akan berantakan. Rakyat tersenyum kenyang, tiada lagi sampul surat berisi wang tebal yang dikirim kepada wanita utama negeri, tiada lagi soldadu biru tua yang mengherdik dan memukul, tiada lagi acara-acara Pasti Heboh di seantero negeri, tiada lagi, tiada lagi dan tiada lagi.


Sekarang mantera apca sudah dijampi, tetapi penguasa negeri runsing pening. Hantu-hantu ini masih berpesta ria.


Sekarang seluruh rakyat negeri sudah diarah menutup tingkap dan lubang, tetapi penguasa negeri runsing pening. Hantu-hantu masih boleh lepas masuk ke dalam rumah, merasuk rakyat negeri untuk berubah.


Sekarang pemuda-pemudi sudah meloncat-loncat menunggu semboyan angin Nil sampai ke Negeri ini.




Masturah Abu Bakar
School of thought

No comments: