Sunday, January 30, 2011

Mesir : Angan, Harapan dan Perubahan



Dalam beberapa dekad ini, Mesir masih tidak berubah. Bayi kecil yang melihat dunia Mesir pada tahun 1981 terkejut melihat Mesir apabila umurnya mencecah 30 tahun. Bukan kerana pesatnya pembangunan, tetapi kerana mundurnya negara tanpa perubahan.


Kehidupan rakyat, pembangunan, prasarana, pendidikan, malah negara itu sendiri masih dalam keadaan yang sama. Mesir pada tahun 2011 ini sama sahaja seperti Mesir ketika 30 tahun dahulu. Tarafnya masih sama.


Dengan jumlah populasi penduduk yang sudah hampir mencapai 78 juta, negara itu sudah tidak lagi mampu berdiri. Lebih malang, rakyat dicengkam di bawah pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, yang tercatat dalam sejarah kini sebagai Bapa Pemunduran Mesir.


Rumah-rumah dibina di atas kuburan, perkhidmatan pengangkutan menggambarkan kebejatan tamadun, kemudahan kesihatan tidak diendah, pendidikan anak-anak terbiar, media disekat, mulut rakyat digam, tangan masyarakat digari, institusi sosial tercalar. Oh, apakah tamadun yang digunapakai Hosni Mubarak ketika ini?


Pasti anak kecil menyimpan angan untuk bermain-main di taman dengan aman pada suatu hari nanti.


Pasti anak muda menyimpan angan untuk berdiri di dalam negara yang maju dan bebas dari cengkaman pada suatu hari nanti.


Pasti orang dewasa menyimpan angan untuk menghirup udara segar di taman-taman perumahan, bukan di atas kuburan pada suatu hari nanti.


Pasti orang tua menyimpan angan untuk melihat anak bangsa berteriak bangga melaungkan kebebasan dan keadilan pada suatu hari nanti.


Ya. Kerana angan mereka tekad bangkit dalam perjuangan. Kerana harapan mereka tegar berdiri menuntut perubahan. Mesir, angan, harapan dan perubahan. Teruskanlah usaha kalian. Moga sejarah mencatat 'Reformasi Mesir' sebagai titik mula kebahagiaan kehidupan yang sudah lama kalian dambakan.




Soul of Reformasi
Masturah Abu Bakar

3 comments:

ema said...

selamatkan bumi ISLAM...hanya doa d kejauhan..amin..

Masturah Abu Bakar said...

inshaAllah, sesungguhnya kemenangan itu dekat dan pertolongan Allah itu dekat..

tinta hati said...

semoga terbela