Tuesday, December 28, 2010

Muhammad Abduh, Islam dan Barat



Pernah saya tanyakan kepada seorang penceramah mengenai Islam dan ideologi Barat. Adakah wujud pengintegrasian antara nilai-nilai Barat dan Islam? Saya juga tanyakan hal ini kepada seorang rakan facebook, jawapannya negatif, lebih kurang begini :


"Islam itu apa? Apakah begitu rendahnya Islam sehingga terpaksa mencedok nilai-nilai Barat?"


Muhammad Abduh dan keterbukaan


Kebetulan saya sedang membaca buku nipis mengenai tokoh modern reform movement, Muhammad Abduh. Tajuk buku tersebut ialah "Muhammad Abduh : Pengaruhnya kepada pembaharuan politik Islam di Malaysia" karya Zulkifli b. Hj Mohd Yusoff, terbitan Al-Bayan.


Muhammad Abduh tampil dengan idea pembaharuan dalam sistem pendidikan, akibat daripada pengalaman beliau melalui proses pembelajaran dalam sistem pendidikan yang dianggap konservatif dan tidak berkesan. Muhammad Abduh mencadangkan idea sistem pendidikan moden yang selaras dengan perkembangan zaman dan berteraskan Islam.


Namun, idea pembaharuan ini mendapat tentangan dari dalam dan luar. Penentangan dari dalam adalah dari kalangan orang Islam sendiri. Penentangan ini bersifat warisan berikutan penolakan terhadap pengajian falsafah yang boleh merosakkan aqidah Islamiyah kerana terlalu banyak menggunakan rasional akal. Bahkan, ada di antara ilmuwan yang menyebut bahawa tiada ilmu yang lebih hina daripada ilmu falsafah.


Muhammad Abduh berpendapat bahawa ilmu-ilmu seperti falsafah, mantiq dan hisab patut dipelajari oleh umat Islam kerana Islam sendiri bersifat menyeluruh. Namun, dalam keadaan masyarakat yang konservatif, idea islah dalam bidang pendidikan ditolak. Sebagai contoh, masyarakat umat Islam ketika itu tidak mahu menggunakan alat pencetak buku kerana ianya direka oleh Barat.


Tokoh-tokoh agama juga bersikap rigid dan tidak terbuka sehingga menganggap sesuatu yang datang dari luar daripada kerangka Islam adalah menjijikkan. Ada di antara mereka yang berkata :


"What kind of a Shaikh is this who speaks French, travels in European countries, read European books and teaches the ideas of European philosophers?"


Ilmu sains juga adalah antara ilmu kontroversi dalam kalangan ulama. Tidak ramai di antara mereka yang mahu memperkatakan mengenai sains apatah lagi mengharuskannya. Dalam hal ini, Muhammad Abduh mengharuskannya dengan mengangkat peranan akal yang dikurniakan oleh Tuhan dengan dipandu oleh wahyu.


Abduh tokoh integrasi Islam dan Barat


Penulis membuat kesimpulan bahawa Muhammad Abduh adalah seorang yang berjiwa besar tampil ke lapangan masyarakat Islam untuk mengintegrasi Islam dan Barat yang selama ini bertentangan di antara satu sama lain.


Sikap umat terdahulu terhadap permasalahan ini terbahagi kepada dua pendirian. Pertama, menolak mentah-mentah apa sahaja yang datang daripada Barat tanpa menilai terlebih dahulu baik atau buruk. Kedua, bersikap menerima bulat-bulat kebaikan atau keburukan yang datang dari Barat yang dianggap serba maju.


Muhammad Abduh hadir dengan satu formula baru dengan berpandangan umat Islam tidak patut menolak terus sesuatu yang datang dari Barat. Hal ini disebabkan banyak nilai tamadun Barat sebenarnya dicedok daripada Timur yang kebetulan berada dalam keadaan lemah setelah menguasai dunia suatu masa dahulu. Umat Islam juga tidak boleh menerima secara terus apa yang datang dari Barat kerana tidak semuanya mendatangkan kebaikan.


Muhammad Abduh berpendirian untuk membuat pengolahan semula sesuatu yang datang dari Barat dengan nilai-nilai kejiwaan Islam sehingga lahir suatu integrasi yang unggul dan bermanfaat buat umat Islam. Beliau hakikatnya bersifat terbuka terhadap dunia Barat tanpa mengenepikan prinsip Islam.


Apa yang menarik, penulis menyatakan sebenarnya Muhammad Abduh telah melakukan kesilapan besar apabila beliau tidak meletakkan sekatan atau garis panduan sejauh manakah reformasi itu harus berlaku dalam pengajaran Islam dan sejauh manakah peradaban Barat itu boleh diterima.


Tetapi, pada zaman ini, idea 'islamisasi ilmu' ini telah diolah dengan baik oleh beberapa tokoh ilmuan Islam seperti Ismail al-Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ziauddin Sardar.




Masturah Abu Bakar

No comments: