Wednesday, September 22, 2010

Tribute buat Airmata Nursalina



Hakikatnya, fikir dan zikir itu membuatkan kita lebih menghargai kehidupan yang sedang kita jalani. Di sekeliling kita, banyak hikmah yang boleh kita ambil sebagai renungan dan pengajaran. Moga-moga kalaulah ditimpa ujian sebegitu (nauzubillah), kita dapat menghadapinya dengan sabar dan tabah.




Drama Airmata Nursalina


Alhamdulillah, saya berkesempatan menonton drama Airmata Nursalina yang ditayangkan di TV3 pada 18 September lalu. Dengan sentuhan bonda Erma Fatima yang sangat saya kagumi, drama ini sangat hidup dan menghidupkan hati-hati yang jarang menghargai kehidupan yang sedia ada.


Mungkin kerana saya meminati drama/cerita/filem/novel genre wanita, yang mengisahkan tentang kehidupan wanita, masalah rumah tangga, persoalan-persoalan mengenai hak wanita, penceraian dan kesengsaraan wanita dalam kehidupan perkahwinan. Jadi sehingga kini saya sangat teruja mengikuti perkembangan drama seterusnya hasil sentuhan bonda Erma Fatima melalui laman sosialnya facebooknya, di sini.


Karya bonda Erma Fatima ini merupakan karya yang kedua setelah filem Indonesia 'Perempuan berkalung sorban'. Bagi anda yang tidak berkesempatan menonton drama hebat ini, saya tinggalkan petikan ulasan Airmata Nursalina buat anda :)

HANYUT dengan cinta dan pujuk rayu sang arjuna sering menjerat si jelita untuk bertindak melangkaui imaginasi. Ada yang sanggup lari meninggalkan keluarga, sesetengahnya sanggup menyerahkan apa saja kerana ketagih dengan janji manis.

Mengangkat subjek sama dan diterjemah ke sebuah naskhah drama sempena Aidilfitri ini memberikan kelainan buat pencetus idea dan pengarahnya, Erma Fatima.

Air Mata Nur Salina yang bakal menyingkap nasib seorang wanita yang terlalu taksub akan cinta agungnya kepada kekasih menjerat dirinya hingga ke tali gantung. Siapa sangka, di sebalik kekuatan dan ketabahan seorang insan lembut gemalai, Salina yang juga ibu dan isteri yang taat, memiliki sifat mudah tewas pada pujukan suami.

Menurut Erma yang menyimpan idea ini sejak lima tahun lalu berpaksi pada nasib kebanyakan gadis dan wanita yang terperangkap dengan cinta hingga mengheret menjadi mangsa atas kebodohan sendiri sebagai inspirasinya. Selain menonjolkan sebuah sisi berbeza pada setiap wataknya, pelakon terkenal yang juga aktivis teater ini menyentuh aspek emosi wanita yang tidak mampu digambarkan atas selembar nota.

“Salina seorang yang baik dan setia pada cintanya namun tiada siapa dapat mengagak yang rasa sayangnya mampu bertukar sekelip mata kerana ikutkan perasaan. Itu yang cuba disampaikan secara keseluruhan. Tidak hanya berfokus pada mainan jiwanya, sebaliknya sentuhan drama penuh ranjau saya terapkan dalam pembangunan karakternya supaya penonton dapat merasakan keperitan dilalui Salina."
  
“Jika kita lihat sinopsis kebanyakan drama atau filem lain, babak penderaan keluarga, perbalahan dalam perkahwinan, gejala dadah dan judi serta episod air mata dalam penjara banyak kali dipaparkan."

“Namun Salina menonjolkan sisi kelemahan seorang wanita apabila terlalu setia dan percaya janji manis lelaki. Apa yang cuba disampaikan akan membuka maksud tersirat di sebaliknya. Persepsi penonton pasti akan bertentangan daripada kebiasaannya."

“Saya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan skripnya dan drama istimewa ini menggunakan sebanyak 37 lokasi bagi menghidupkan keseluruhan kisahnya,” katanya.

Air Mata Salina mengisahkan jurnal perjalanan Salina (lakonan Umie Aida) yang sanggup meninggalkan keluarga bagi mengahwini lelaki idamannya, Afkar (Remy Ishak). Kemudian dalam meniti saat bahagia bersama sepasang cahaya mata, Afkar mula meneroka sesuatu yang tidak pernah difikirkannya dengan melakukan dagangan dadah dan berjudi bagi mendapat pendapatan lebih semata-mata untuk terus membahagiakan isteri tersayang.

Lantas selepas Afkar tersilap langkah hingga terpaksa menggadai isterinya sendiri, Salina tidak mampu menyorokkan perasaan marahnya. Demi tidak mahu terus bersubahat, Salina meminta dilepaskan, namun Afkar menceraikannya.
Lemahnya seorang wanita apabila emosi sudah menyelubungi diri serta keputusan, Salina tidak sengaja membunuh suaminya. Meskipun terlalu sayangkan suaminya, Salina gagal mengawal perasaan. Namun dia tidak lari, sebaliknya mengaku akan tindakannya hingga mengheretnya ke tali gantung.

Tribute buat Airmata Nursalina!
Masturah Abu Bakar
Rumah Sumayyah, Petaling Jaya 

No comments: