Tuesday, August 31, 2010

Isu rasis dan politik nilai



Politik adalah kebijakan

1. Sejak akhir-akhir ini saya merasakan bahang polemik rasis semakin rancak dimainkan dalam pentas politik negara. Bermula dengan isu kritikan Chua Soi Lek yang mengatakan Islam dan Melayu tidak progresif, kemudian isu sebutan nama Lim Guan Eng dalam khutbah jumaat di Pulau Pinang dan kini timbul pula isu ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mengunjungi surau.

2. Ya, mungkin padang permainan politik negara hari ini agak membosankan. Budaya saman menyaman, dakwa mendakwa, tuduh menuduh sudah menjadi kelaziman. Lalu dalam kebosanan padang politik kini, ada pihak yang cuba memanaskan kembali pentas politik.

3. Namun saya kira polemik rasis ini bukan strategi baru pemain-pemain politik. Dahulu, sebelum merdeka pun isu rasis dan perkauman ini juga merupakan isu terlaris yang boleh dimainkan oleh mereka.

4. Saya tertanya-tanya, bilakah masanya padang politik negara Malaysia ini akan berubah daripada politik kotor kepada politik nilai? Bilakah saatnya politik negara Malaysia akan berubah daripada politik perebutan kuasa kepada politik perjuangan suara?

5. Tetapi, hakikatnya dalam politik, teori dan praktis jarang sekali bergandingan. Teoritikal tidak sama dengan praktikal. Sebab itu tidak hairan jika terdapat ahli falsafah politik yang mengatakan bahawa politik adalah suatu perkara yang unik.

6. Sehingga ke hari ini, saya ternanti-nanti pendidikan politik nilai yang seharusnya diberi kepada masyarakat. Pendidikan politik nilai secara mudah meliputi pemahaman dan kesedaran sebenar mengenai politik yang jauh daripada anasisr politik kekuasaan atau politik kepartian.

7. Secara lebih praktikal, andaikan anda selaku mahasiswa. Persoalannya, bagaimana seharusnya peranan mahasiswa dalam politik negara? Apa kepentingan pilihanraya? Bagaimana memilih pemimpin? Mengapa harus mengundi? Persoalan-persoalan in merangkumi idea politik nilai.

8. Tetapi ingat, jika pendidikan politik nilai tidak diberi pun, sebenarnya tanggungjawab kita adalah untuk mencari dan mempelajari. Sehingga suatu masa, anda mengundi bukan kerana semangat perkumpulan. Tetapi di atas pendirian dan prinsip anda sendiri.

9. Selamat beramal :)

Masturah Abu Bakar
Petaling Jaya

No comments: