Thursday, December 31, 2009

Speaker's Corner dan Gerakan Mahasiswa




Memoir Gerakan Mahasiswa


"Kekuasaan ada di JALANAN, bukan di PARLIMEN!"

Kalimat di atas adalah slogan keramat mahasiswa, yang dilaungkan ketika gerakan mahasiswa bangkit memperjuangkan isu pendidikan seawal tahun 1960-an lalu. Slogan keramat tersebut menggambarkan betapa mahasiswa mempunyai kuasa bersuara yang agung, hingga memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat umum. Akibatnya, berlaku perkembangan Revolusi Perancis, iaitu rombakan sistem pendidikan dan sistem politik oleh pemerintahan Barat.

Di Malaysia, gerakan mahasiswa pada awalnya didominasi oleh ketombokon mahasiswa Universiti Malaya. Oleh kerana universiti ini adalah institut pengajian tinggi yang tunggal, maka mereka lebih mudah mendapat perhatian masyarakat. Misalnya, lewat tahun 1967, mahasiswa memimpin rakyat menyuarakan isu Hamid Tuah. Bermula daripada suara dari dalam kampus, mahasiswa berjaya meraih sokongan rakyat. Akibat daripada desakan daripada mahasiswa dan rakyat, akhirnya Hamid Tuah dan rakan-rakannya dibebaskan.

(Entah kali ke berapa sejarah ini diulang, walaupun anda sudah bosan, saya tetap akan menulis tentang sejarah gerakan mahasiswa. Mengapa? Lakaran sejarah mampu menyuntik motivasi, agar kita mampu membuat perubahan yang lebih baik daripada generasi terdahulu.)





Mahasiswa dan Speaker's Corner

Tahukah anda? Gelombang gerakan mahasiswa yang sangat besar ini hanya dimulai dengan suatu institusi yang kecil, yang dinamakan Speaker's Corner (Selepas ini ditulis dengan singkatan SC). Pada tahun 1966, gerakan mahasiswa di UM mewujudkan SC, hasil daripada rasa tidak puas hati terhadap peperangan yang dilakukan oleh Amerika ke atas Vietnam. Bermula daripada saat itu, SC menjadi sudut intelektual, sudut perbahasan, sudut perbincangan dan sudut pencerahan. SC yang dilakukan secara konsisten pada setiap hari minggu, mengumpulkan majoriti mahasiswa yang sensitif tentang apa sahaja isu yang berlaku di sekitar mereka.

Mahasiswa ketika itu sangat lantang, tegas, berani dan tidak tahu takut. Mahasiswa akan berbicara tentang apa sahaja tanpa disekat. Mahasiswa akan melaungkan tentang apa sahaja tanpa diganggu. Sehinggakan pada dekad itu, mahasiswa berjaya menyumbangkan hadiah 'perubahan' kepada rakyat bermula dengan hanya perbahasan dan perbincangan di dalam SC.


Saat mulut mahasiswa dikunci

Namun akibat 'takut' dengan kelantangan suara-suara ini, SC akhirnya dilenyapkan daripada kamus mahasiswa. MAGERAN yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei yang berperanan sebagai jawatankuasa perpaduan, rupa-rupanya mempunyai hidden agenda. MAGERAN menubuhkan Panel Pelajaran pada 14 Ogos 1969 bagi mengkaji kehidupan pelajar kampus Universiti Malaya. Implikasinya, mahasiswa dihadiakan 'AUKU' oleh kerajaan dan hilanglah warisan SC sekaligus meracuni sedikt demi sedikit minda aktivis. Dan kini, gerakan mahasiswa hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. (Mujur ada kelompok minoriti aktivis yang masih 'hidup'.)




SC kembali, namun masih samakah?

Hari ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberi 'hadiah istimewa'(perlu difikirkan semula sama ada benar-benar istimewa atau tidak) buat mahasiswa. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas (SC) bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa. Katanya,

“Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata."

Namun, katanya juga,

"Sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif."


Prejudis saya

Persoalannya apakah HEP dengan mudah memberikan persetujuan? Apakah definisi beretika dan berhemah? Adakah HEP hanya memberi persetujuan jika isu yang dibahaskan hanya sekitar isu pro-kerajaan? Dan perbahasan tentang isu pro-kerajaan sahaja kah yang diangkat sebagai perbahasan beretika dan berhemah? Bebaskah mahasiswa mengkritik dan menggagaskan? Wujudkah jaminan bahawa sudut itu memberi peluang kepada mahasiswa sebagai badan check & balance dan bebas daripada pengaruh kepartian?


Harapan dan Perubahan.

Mungkin anda mengatakan saya prejudis. Tidak mengapa, kita tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku. Setuju? Harapan saya, moga ada perubahan.



" Memoir, Harapan & Perubahan "

Masturah Abu Bakar
Departmen of Islamic Political Science
University of Malaya

No comments: