Tuesday, December 22, 2009

Motivasi dari Langit







Saat genting yang mencemaskan. 

“Dan ketika orang-orang yang beriman melihat tentera-tentera gabungan, mereka berkata: Inilah apa yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya, dan benarlah Allah dan RasulNya, dan pemandangan itu tidak menambahkan mereka melainkan keimanan dan penyerahan diri (kepada Allah).” (Al-Ahzab : 22)

Al-Quran menggambarkan kemelut dan kesusahan yang dihadapi oleh para Mujahidin di medan Ahzab. Peperangan ini amat besar dan menakutkan, hingga menggoncangkan hati. Dengan tenaga yang terbatas dan tanggungjawab yang berat, jiwa mereka ketika itu sangat cemas. Persoalan demi persoalan bermain di benak mereka, apakah ada buat mereka kemenangan?  

Mari kita imbas kisah Huzayfah, kisah yang menggambarkan suasana Ahzab.

Suatu ketika, dalam keadaan genting dan mencemaskan, Rasulullah s.a.w bersabda :

"Wahai para mujahidin, siapakah di antara kalian yang sanggup keluar untuk mengintip keadaan musuh dan kemudian pulang kembali? Barangsiapa yang sanggup akan kupohon kepada Allah agar dia dijadikan temanku di syurga."

Suasana senyap dan sunyi. Tiada seorang pun yang berani menyahut seruan Rasulullah s.a.w.

"Huzayfah!"

Rasulullah menyebut nama Huzayfah. Beliau tersentak.

"Aku tidak dapat mengelak lagi."

Kemudian Huzayfah tampil berdiri di hadapan Rasulullah, dengan penuh keyakinan. 


Rasulullah, Salman Al-Farisi dan percikan api. 

Suatu hari di medan Ahzab, ketika kaum muslimin yang lain sibuk memerah keringat, Salman Al-Farisi juga tidak ketinggalan. Beliau bekerja keras, mencangkul parit sambil berdoa moga Allah memberi kemenangan. Namun ketika asyik mencangkul, tiba-tiba beliau mendapati tempat yang dicangkul terlalu keras. Beberapa kali beliau mencuba, namun masih gagal.

Lalu Rasulullah s.a.w dengan rasa kasih mengambil cangkul daripada tangan sahabat yang dicintai. Baginda menghayun cangkul tersebut dengan hayunan yang kuat. Ketika itu, Salman Al-Farisi mendapati terdapat percikan api pada hayunan Rasulullah s.a.w. Dengan perasaan hairan dan ingin tahu, lalu beliau bertanya kepada Rasulullah :

"Wahai Rasul, demi ayah dan bondaku, apakah cahaya yang aku lihat itu?"

"Engkau nampak cahaya itu wahai Salman?", tanya Rasulullah.

"Benar Rasulullah, aku nampak cahaya itu."

Lalu Rasulullah bersabda,

"Sesungguhnya cahaya pertama itu memberi petunjuk bahawa Allah akan memberi kemenangan padaku untuk menakluk Yaman."

"Cahaya yang kedua, memberi alamat bahawa Allah akan memberi kemenangan padaku menakluki Syam dan negeri sebelah Barat."

"Dan, cahaya yang ketiga adalah isyarat bahawa Allah akan memberikan kemenangan padaku untuk menakluu negeri sebelah Timur." 


Khabaran gembira dari langit. 

Maka saat itu, bergembiralah hati para mujahid yang sedang goncang dan goyah. Khabaran gembira itu membuatkan hati yang resah dan gelisah menjadi tenang dan tenteram. Khabaran gembira itu menjadikan semangat yang lemah menjadi gagah. Saat itu, saat letih dan lesu merajai diri, khabar dari Rasulullah penyejuk hati para mujahid. Rasulullah sumber keamanan, keyakinan dan harapan.

Dengan semangat luar biasa, para mujahidin masih tidak berganjak. Biarpun hati merasa cemas dan jiwa merasa goncang, mereka masih bersama Rasulullah. Bahkan para mujahidin membulatkan keyakinan bahawa pasti akan ada kemenangan yang dijanjikan Allah. Firman Allah s.w.t :

“Di antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang benar-benar menunaikan apa yang telah mereka janjikannya kepada Allah. Di antara mereka ada yang gugur syahid dan di antara mereka pula ada yang menunggu (mati syahid). Dan mereka tidak mengubahkan janji mereka sedikit pun.” (Al-Ahzab : 23)

Berita kemenangan dari langit akhirnya sampai. Motivasi kemenangan tersebut memberi pengaruh yang besar terhadap moraliti tentera-tentera Allah. Kata-kata azimat tersebut membangkitkan semangat juang mereka, hingga rasa tidak sabar untuk menggapai syahid. Begitulah gambaran keimanan yang teguh, yang menjadikan para mujahidin tidak berpaling dan berundur.

Wallahu a'lam 



Masturah Abu Bakar

No comments: