Wednesday, May 06, 2009

Syukur



"Sungguh luarbiasa keadaan orang mukmin itu, tiada seorang pun seluruh kehidupannya adalah kebaikan baginya kecuali orang mukmin. Apa tidaknya, jika memperoleh KESENANGAN dia BERSYUKUR dan itu menjadi kebaikan baginya. Jika ditimpa KESUSAHAN dia BERSABAR dan itu menjadi kebaikan baginya." HR Muslim.


Saya belajar sesuatu daripada pengalaman menjadi 'tukang masak' sebuah program tarbiyah minggu lalu. Sebenarnya ia menjadi suatu kepelikan bagi diri saya disebabkan sebelum ini tidak pernah pula saya ditugaskan menjadi 'tukang masak' dalam mana-mana program atau aktiviti sepanjang saya di Nilam Puri. Bukan tidak tahu memasak, tetapi disebabkan lambakan tukang masak professional di sana maka saya tidak berminat mahu menunjukkan bakat memasak saya.

Mudah. Itu sahaja kesimpulan awal saya apabila diberi tugasan tersebut. Apa tidaknya, menu yang perlu dimasak hanya menu yang biasa-biasa sahaja. Maksud saya, menu yang sudah lazim. Jadi memang ketika itu saya tidak menjangkakan apa-apa yang extraordinary akan berlaku.

Saya jangka yang kami hanya tukang masak di dapur sahaja. Rupa-rupanya kami tukang masak fleksibel. Kesana-kesini. Di darat, kemudian di hutan, kemudian pula di pantai. Ah, letihnya. Bukan saja tukang masak, kami juga terlibat dalam sesi brainstorm, bengkel, night trekking, teknikal dll. Uih, sungguh memenatkan. Kata sahabat saya (Rohayu),

"Kita pejuang fleksibel,"

Bila sibuk dengan itu dan ini di sana, saya baru tersedar apa erti REHAT yang sebenar. Rehat 8, 9 atau 10 jam tidak bermakna jika dibandingkan dengan beban tugas yang hanya sedikit. Manakala rehat 10, 20 atau 30 minit adalah berharga dibandingkan dengan beban tugas yang banyak. Bila ada kekangan masa dan lambakan tanggungjawab, maka kita sebagai manusia biasa sering mengeluh. Maka, di sini kita perlu bersyukur.

Syukur. Memang mudah untuk disebut, tetapi pelaksanaannya cukup payah. Mana tidaknya, apakah kita sebagai manusia biasa ini mampu mengucap syukur tika keadaan cukup menekan, tika kita benar-benar dalam kesusahan, tika kita diuji dugaan. Telus, saya sendiri tidak mampu.

Makanya, mahu atau tidak kita perlu belajar bersyukur. Mungkin pada awalnya cukup sukar, tetapi lama kelamaan kita perlu dan pasti kembali kepadaNya. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk kita belajar bersyukur? Apa yang cuba saya ringkaskan ialah :

1. Cari hikmah.

Memandang semua perkara yang berlaku di dunia ini dengan meyakini bahawa pada setiapnya mengandungi hikmah adalah cara yang terbaik untuk belajar bersyukur. Setiap takdir, baik atau sebaliknya merupakan ketentuan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :

"Apakah Zat yang menciptakan itu sama dengan yang tidak menciptakan? Mengapa kamu tidak memperhatikan?" Q.16: 17

Di dalam ayat tersebut Allah menempelak manusia, adakah manusia ini memandang Allah itu sama seperti makhluk? Adakah ciptaan Allah sama seperti ciptaan makhluk? Jawapannya pasti tidak. Setiap ciptaan makhluk pasti ada kelemahan. Sebaliknya setiap ciptaan Allah pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Cuba kita renungi pula ayat ini :

"Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Bagi Nyalah segala puji didunia dan akhirat, dan bagiNyalah segala penentuan dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan. Katakanlah: Apa pendapatmu sekiranya Allah menjadikan malam buat selama-lamanya hingga ke Hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang sanggup memberikan cahaya kepadamu, tidakkah kamu mendengar? Katakanlah: Apa pendapatmu sekiranya Allah menjadikan siang pula tetap buat selama-lamanya hingga ke Hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang sanggup mendatangkan malam untuk merehatkan diri, tidakkah kamu memperhatikan? Q.28: 70-72.

2. Bersangka baik dengan Allah taala.

Seringkali kita terdengar rungutan,

"Mengapalah aku yang diuji?"
"Apalah nasib aku"
"Kenapalah Allah buat aku dalam kesusahan sebegini"

Dan banyak lagi. MasyaAllah. Maha Suci Allah daripada segala sifat yang buruk. Mungkin kadangkala timbul dalam benak kita persoalan-persoalan dan rungutan-rungutan sedemikian. Cuba kita renungkan kembali, betapa aturan Allah itu Maha Hebat, dalam kejadian malam dan siang, penciptaan langit dan bumi, lautan dan daratan serta pelbagai lagi. Allah Maha Kuasa menjadikan semua itu dengan kemahuanNya. Maka, tidak adakah daya bagi Allah untuk menjadikan kita semua hambaNya dalam kesenangan?

Ya, atas kemahuan Allah segalanya boleh terjadi. Tetapi atas kemahuan Allah juga, Dia mahu menguji sejauhmana keimanan hamba padaNya (Rujuk awal surah Al-Ankabut). Apakah mereka hanya beriman ketika senang dan mewah? Ketika pangkat tinggi dan gaji besar? Ketika bahagia dan aman? Apakah mampu mereka masih beriman kepada Allah ketika dilemparkan kesusahan? Kepada siapakah mereka mahu meminta pertolongan ketika diuji bala dan dugaan?

Nah. Ini persoalannya yang perlu kita rungkaikan sendiri.

Renungilah ayat cinta Tuhanmu :

"Jika kamu bersyukur, akan aku tambahkan. Jika kamu kufur, maka bagi kamu azab yang pedih."

"Maka nikmat Tuhanmu yang mana satu kamu hendak dustakan?"

Wallahua'lam.

Layyinulharir
ApiumNP
1:51 am

No comments: